[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Rakyat Juga Mahu Tahu

Date: 24 Aug 1999
Time: 03:33:38
Remote User: -

Comments

DAP MAHU BANK NEGARA BERI LAPORAN HUTANG TIDAK BERBAYAR

KUALA LUMPUR, 24 Ogos (Bernama) -- DAP berkata Bank Negara harus memberikan laporan lengkap berkaitan salah pengurusan, salah guna kuasa dan pecah amanah dalam sistem kewangan yang menyebabkan Danaharta terpaksa mengambil alih RM40 bilion hutang tidak berbayar (NPL).

Setiausaha agungnya Lim Kit Siang berkata orang ramai berhak tahu berapa peratus daripada NPL itu disebabkan faktor di luar kawalan sistem kewangan.

Juga peratusan NPL berikutan transaksi tidak betul, salah guna kuasa dan pecah amanah.

"Keyakinan orang ramai terhadap arahan penggabungan bank oleh Bank Negara akan terjejas jika bank pusat itu tidak memperbaiki sistem perbankan dan menghalang salah pengurusan, salah kuasa dan pecah amanah yang menyebabkan berpuluh bilion ringgit NPL dalam sistem kewangan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau bertanya sama ada Bank Negara telah memulakan penyiasatan berkaitan 2,000 NPL oleh juruaudit dan akauntan profesional. --BERNAMA


Last changed: August 24, 1999