[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Penswastaan Syarikat Air Johor Mengapa Dipertikaikan?

Date: 24 Aug 1999
Time: 20:11:37
Remote User: -

Comments

Penswastaan Syarikat Air Johor Mengapa Dipertikaikan? Teks Ucapan Hassan Karim dalam Forum Rakyat pada 22 Ogos lalu di Johor Bahru. Pendahuluan

Bekalan air di negeri Johor selama ini diselenggarakan oleh Bahagian Air di Jabatan Kerja Raya (JKR). Keadaan itu berterusan sehinggalah pada tahun 1988. Pada tahun 1989 Jabatan Bekalan Air (JBA) telah ditubuhkan. Kemudian pada 2 Februari 1994, JBA telah diperbadankan dan dinamakan Syarikat Air Johor, ringkasnya SAJ.

Memperbadankan JBA kepada SAJ merupakan langkah pengkorporatan. Seperti yang dibimbangkan rakyat, pengkorporatan akan disusuli pula dengan penswastaan sepenuhnya. Inilah yang telah berlaku di Johor sekarang dalam hal pembekalan air.

Kebimbangan utama rakyat dan pengguna ialah kadar atau tarif bayaran akan dinaikkan. Pada hari ini kadar bayaran bagi rumahtangga adalah seperti beriku:

15 meter padu pertama 30 sen semeter padu 16 meter padu hingga 30 meter padu 70 sen semeter padu 31 meter padu hingga 45 meter padu 95 sen semeter padu lebih 45 meter padu RM 1.15 semeter padu

Langkah Ke arah Penswastaan SAJ

Pada awal tahun 1997 kerajaan negeri Johor telah menerima cadangan penswastaan daripada syarikat Lambang Optima Sdn Bhd. (LOSB). Pada 19 April 1999 Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri Johor yang diketuai oleh Menteri Besar Datuk Abd Ghani Osman meluluskan secara muktamad akan terma dan syarat penswastaan itu.

Menerusi penswastaan SAJ ini, LOSB akan memiliki 80% saham dalam SAJ Holding. Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) yang mewakili kepentingan kerajaan Johor mempunyai 15% saham. Manakala 5% bakinya akan dimiliki oleh kakitangan SAJ. Kerajaan negeri Johor akan memegang satu saham istimewa Golden share. Tempoh konsesi SAJ Holding ialah 30 tahun.

Tiga alasan utama yang diberikan oleh kerajaan negeri Johor mengapa LOSB dipilih ialah (i) LOSB mempunyai kepakaran; (ii) LOSB mempunyai pengalaman dalam bidang air dan (iii) kemampuan kewangan LOSB untuk melaksanakan penswastaan SAJ.

Ketiga-tiga alasan ini boleh dipertikaikan. Pertama,LOSB tidak mempunyai kepakaran. LOSB adalah sebuah syarikat baru. Ia ditubuhkan pada 18 Julai 1995. Semenjak ditubuhkan LOSB tidak berfungsi (dormant). Ahli pengarah LOSB terdiri daripada Dato Hamdan Bin Mohamad, Ahmad Zahdi Bin Jamil dan Mohd Hanif Bin Koslan.

Kedua, LOSB juga tidak mempunyai pengalaman dalam bidang air. Untuk mengendalikan penswastaan air ini, LOSB telah membeli sebuah syarikat lain bernama Sempurna Pelita Sdn Bhd (SPSB). Syarikat ini kemudian dinamakan SAJ Holding. Apakah Sempurna Pelita Sdn Bhd ini ada pengalaman dalam kerja membekalkan air? Jawapannya tidak. Sempurna Pelita adalah sebuah syarikat yang tidak beroperasi. Syarikat ini mempunyai modal berbayar sebanyak RM 2.00 sahaja. Pengarah-pengarah asal Sempurna Pelita sebelum dibeli oleh LOSB ialah Yeoh Suan Phaik dan Teng Mee Leng. Pengambilan LOSB terhadap Sempurna Pelita ialah semata-mata untuk mempercepatkan penubuhan syarikat baru (SAJ Holding) bagi mengendalikan penswastaan bekalan air di Johor. Para pengguna air di negeri Johor akan dapat melihat pada bil air yang mereka terima setiap bulan tertera nama syarikat SAJ Holding dan dibawahnya disebut dalam bahasa Inggeris berbunyi, “Formely known as Sempurna Pelita Sdn Bhd).

Ketiga, LOSB juga tidak mempunyai kemampuan kewangan untuk melaksanakan penswastaan SAJ. LOSB yang ditubuhkan empat tahun lalu itu mempunyai syer yang dibenarkan sebanyak RM 500,000.00 (lima ratus ribu) dan syer yang diterbitkan secara tunai sebanyak RM 150,000.00 (seratus lima puluh ribu) sahaja. Ahli pengarahnya, Datuk Hamdan Bin Mohamad merupakan pemegang syer yang terbanyak iaitu 149,999 syer.

Untuk mengambil alih SAJ, LOSB perlu membuat suntikan wang pendahuluan pemegang saham (share holders advance) sebanyak RM 545 juta atau membuat suntikan tunai (cash injection) sebanyak RM 65 juta.Adakah LOSB mampu?

Kerja-kerja membekalkan air ke seluruh negeri Johor ini satu tugas yang besar. Ia melibatkan pembersihan dan agihan air secara menyeluruh kepada pengguna di seluruh Johor. Keperluan bekalan air di negeri Johor terus meningkat. Pada tahun 1995, 243 juta gelen sehari (JGH) diperlukan. Ia akan mencapai 583 JGH menjelang tahun 2020.

Thames Water Menguasai SAJ

Oleh kerana LOSB sebenarnya tidak mempunyai ketiga-tiga syarat yang disebutkan itu, maka akhirnya sebahagian besar saham SAJ Holding dijual kepada sebuah syarikat asing dari Britain yang bernama Thames Water. Datuk Abd Ghani Osman, Menteri Besar Johor telah mengaku pada 8 Jun 1999 (lihat Utusan Malaysia 9 Jun 1999) bahawa Thames Water terlibat dalam merawat dan membekalkan air ke seluruh Johor.

Daripada 80% saham milik LOSB dalam SAJ Holding, 49% telah dijual kepada Thames Water. Sementara 51% masih dipegang oleh LOSB. Ghani Osman mengulangi lagi hujahnya mengapa Thames Water terlibat dalam penswastaan SAJ. Menurut Ghani, pertama, kerana Thames Water mempunyai banyak pengalaman dalam bidang air seperti penglibatannya di Portugal, Chile, Indonesia, Turki, China dan Thailand. Tetapi Ghani Osman lupa Kerajaan PAS Kelantan telah membatalkan perjanjiannya dengan Thames Water kerana syarikat itu gagal membekalkan air yang sempurna di negeri Kelantan.

Kedua, menurut Ghani, Thames Water mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh. Dulu Ghani berkata LOSB mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh. Sebenarnya tidak begitu. Sebenarnya yang kukuh kedudukan kewangan ialah syarikat asing. Kerana syarikat asing ini banyak wang, maka Ghani membenarkan syarikat Inggeris itu memiliki kepentingan dalam bekalan sumber air di Johor melalui pintu belakang iaitu dengan menguasai 49% saham LOSB dalam SAJ Holding. Syarikat dari negara bekas penjajah kini datang kembali ke Johor untuk menguasai sumber air. Seratus dua ratus tahun lalu mereka datang untuk menguasai rempah ratus, bijih timah dan getah.

Ketiga, Ghani berkata Thames Water mempunyai teknologi tinggi. Adakah mendapatkan bekalan air di negeri monsun (hujan sepanjang tahun) dan banyak sungai seperti di Johor ini memerlukan teknologi tinggi yang mesti dibawa dari Britain? Tidakkah sebelum ini Ghani berkata LOSB dipilih kerana syarikat tempatan ini mempunyai kepakaran? Ghani sudah lupa apa yang beliau cakapkan sebelum ini.

Bagaimanapun isu yang utama perlu diketengahkan di sini ialah adakah Ghani Osman membawa perkara penglibatan Thames Water dalam penswataan SAJ ke Dewan Undangan Negeri Johor untuk dibincangkan. Adakah Dewan Undangan Negeri Johor yang mempunyai 40 Ahli Dewan semuanya dari Barisan Nasional ( tiada pembangkang) bersetuju bahawa 49% saham LOSB dijual kepada Thames Water (sebuah syarikat asing)?

Tidakkah penguasaan 49% itu bermakna Thames Water memiliki 39.2% dari keseluruhan saham SAJ Holding yang menguasai sumber pembekalan air di Johor? Tidakkah ini terlalu tinggi bagi sebuah syarikat asing menguasai sumber sepenting air itu? Tidakkah ini bermakna kerajaan Johor pimpinan Ghani Osman telah membenarkan sebuah syarikat asing menguasai saham melebihi paras 30% yang ditetapkan oleh Dasar Ekonomi Baru?

Kalau Dewan Undangan Negeri ada membincangkan hal ini, kita ingin tahu bila masanya? Pada tarikh berapa haribulan? Adakah semua setuju? Berapa jam dibincang? Ada yang menentang? Ada catatan persidangan yang boleh dibaca oleh rakyat? Kenapa soal penglibatan Thames Water ini tidak diberitahu kepada umum, iaitu rakyat negeri Johor. Kenapa semacam ada rahsia. Seperti ada sesuatu yang hendak disembunyikan? Ghani Osman dan kerajaan Johor harus bersikap telus dalam soal penswastaan SAJ.

Nota Senarai lengkap ahli penal bagi Forum Rakyat yang diadakan di Jalan Rebong, Johor Bahru, pada 22 Ogos 1999 jam 9.00 malam, anjuran Gagasan Demokrasi Rakyat Malaysia Peringkat Johor ialah

Sdr Zulkifli Ahmad (PAS – membincangkan Pengkorporatan IPT) Sdr Ismail Hj Awab (KeADILan – membincangkan KPRJ) Sdr Norman Fernandez (DAP – Analisis terhadap isu penswastaan) Hj Saari Hj Sungib ( JIM – membincangkan Pengkorporatan Hospital) Dr Ibrahim Ngah (ABIM – Analisis terhadap isu penswastaan) Hassan Karim (PRM – membincangkan Penswastaan SAJ) Dato’ Zainal Abidin Zin ( Exco kerajaan Johor mewakili UMNO dan BN, tidak hadir)


Last changed: August 24, 1999