[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Kes Rahim Ketua Lanun Akan Tangguh Lagi.

Date: 24 Aug 1999
Time: 20:18:42
Remote User: -

Comments

KES BEKAS KETUA POLIS NEGARA DISEBUT ESOK

KUALA LUMPUR, 24 Ogos (Bernama) -- Kes bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Rahim Noor yang mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan dengan sengaja cuba menyebabkan kecederaan pada Datuk Seri Anwar Ibrahim, akan disebut semula esok.

Karpal Singh yang merupakan peguam pemerhati bagi Anwar memberitahu pemberita yang beliau menerima faks semalam memaklumkan yang kes itu akan disebut semula esok untuk menetapkan tarikh baru perbicaraan kerana hakim Mahkamah Sesyen, Hamdan Indah yang mendengar kes itu akan berkursus.

Apabila kes itu pertama kali disebut Mei lepas, Hamdan telah menetapkan perbicaraan selama lima hari bermula 20 Sept, tepat setahun selepas insiden itu.

Abdul Rahim, 56, yang meletakkan jawatannya pada 8 Jan lepas, didakwa telah melakukan kesalahan itu di sel no 6, lokap polis, tingkat bawah bangunan podium ibu pejabat polis Bukit Aman di sini, pada lebih kurang 10.45 malam, 20 Sept lepas.

Beliau dituduh di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum selama tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan. Bagimanapun, tuduhan itu dibaca bersama Seksyen 511 Kanun Keseksaan dengan hukuman maksimum adalah separuh daripada yang dikenakan di bawah Seksyen 325.

Abdul Rahim, pada 2 Mac lepas memberitahu Suruhanjaya Siasatan yang ditubuhkan untuk menyiasat kecederaan pada Anwar semasa di bawah tahanan yang beliau telah memukul Anwar pada malam bekas Timbalan Perdana Menteri itu ditahan.

Bagaimanapun, Abdul Rahim memberitahu siasatan itu yang beliau memukul Anwar selepas beliau membangkitkan kemarahannya dengan memanggilnya "bapa anjing" (father of dogs).

Abdul Rahim diwakili oleh K.Kumaraendran dan V.Sithambaram sementara Timbalan Pendakwa Raya Tun Abdul Majid Tun Hamzah mewakili pihak pendakwa.

Hamdan telah mengarahkan supaya Abdul Rahim dibebaskan tanpa ikat jamin kerana ia kes saman.

Bagaimanapun, hakim itu mengingatkan Abdul Rahim yang mahkamah itu tidak akan teragak-agak mengeluarkan waran tangkap dan mengenakan ikat jamin jika beliau tidak hadir di mahkamah nanti. -- BERNAMA


Last changed: August 24, 1999