[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Rahim Ketua Lanun Boleh Main Golf Hingga Mac 2000

Date: 25 Aug 1999
Time: 05:14:09
Remote User: -

Comments

Ulasan

Seperti yang dijangkakan kes ini ditangguhkan lagi hingga Mac tahun depan. Bolehlah Si Rahim Ketua Lanun main golf hingga Mac tahun depan.

Inilah contoh sistem kehakiman Malaysia. Bagi kes Rahim KL mahkamah begitu lembab. Kalau kes bersabit DSAI, kes boleh diputuskan dalam masa setengah jam.

============================================================================================================================== PERBICARAAN RAHIM AKAN DIADAKAN PADA 6 MAC TAHUN DEPAN

KUALA LUMPUR, 25 Ogos (Bernama) -- Perbicaraan bekas ketua polis negara Tan Sri Abdul Rahim Noor yang dituduh dengan sengaja cuba menyebabkan kecederaan parah pada Datuk Seri Anwar Ibrahim telah ditetapkan selama lima hari mulai 6 Mac tahun depan.

Kes itu disebut semula di Mahkamah Sesyen hari ini.

Hakim Akhtar Tahir yang mengambil alih kes daripada hakim Hamdan Indah, bagaimanapun memberitahu pihak yang terlibat dalam perbicaraan itu bahawa walaupun beliau menetapkan lima hari untuk mendengar kes itu, perbicaraan akan diteruskan sehingggakan kes selesai.

Abdul Rahim diwakili oleh K.Kumaraendran dan V.Sithambaram sementara timbalan pendakwa raya Tun Abdul Majid Tun Hamzah mewakili pendakwaan.

Abdul Rahim, 56, didakwa melakukan kesalahan itu di sel nombor 6, lokap polis, tingkat bawah blok podium Ibu pejabat Polis Bukit Aman di sini, kira-kira pukul 10.45 malam, 20 Sept tahun lepas.

Beliau dituduh mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun memandangkan tuduhan itu dibaca bersama Seksyen 511 Kanun Keseksaan, hukuman maksimum adalah separuh daripada yang dikenakan mengikut Seksyen 325.

Terdahulu, Akhtar berkata tarikh baru ditetapkan bagi perbicaraan kes itu kerana beliau akan menghadiri satu persidangan bagi para pegawai kehakiman dari 20 hingga 22 Sept.

Chew Swee Yoke, yang menjadi peguam pemerhati bagi Anwar, memberitahu mahkamah bahawa beliau telah menulis dua pucuk surat kepada Peguam Negara Tan Sri Mohtar Abdullah untuk bertanyakan kenapa tuduhan terhadap Abdul Rahim hanya untuk cubaan menyebabkan cedera parah.

Chew berkata mereka juga mahu Peguam Negara menimbangkan semula tuduhan itu.

Akhtar berkata mahkamah bukan merupakan forum sesuai bagai Chew untuk membangkitkan perkara itu kerana ia terpulang kepada Peguam Negara untuk membuat keputusan.

Semasa mahkamah mahu ditangguhkan, Karpal Singh seorang lagi peguam pemerhati bagi Anwar, masuk ke mahkamah.

Di luar mahkamah, Karpal Singh memberitahu pemberita bahawa beliau telah mengemukakan rayuan kepada Mohtar berhubung tuduhan yang sepatutnya dikenakan terhadap Abdul Rahim, tetapi tiada jawapan.

Karpal Singh berkata Abdul Rahim sepatutnya didakwa dengan cubaan membunuh atau sekurang-kurangnya menyebabkan cedera parah.

Katanya beliau mungkin memfailkan satu permohonan bagi perintah mandamus di Mahkamah Tinggi meminta Mohtar menggunakan budi bicaranya dalam perkara itu.

Sementara itu, Sithambaram memberithau pemberita bahawa tuduhan yang dihadapi Abdul Rahim merupakan yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Diraja yang dibentuk untuk menyiasat kecederaan Anwar semasa beliau dalam tahanan polis.

Katanya memandangkan kecederaan yang dialami Anwar tidak serius, Abdul Rahim perlu dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Bagaimnapun Sithambaram menekankan bahawa beliau tidak mengatakan yang Abdul Rahim mengaku terhadap mana-mana kesalahan pun. -- BERNAMA


Last changed: August 25, 1999