[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Al Kataki Kena Saman Lagi.

Date: 25 Aug 1999
Time: 05:15:27
Remote User: -

Comments

MENTERI BESAR KELANTAN DAN TIMBALANNYA SAMAN IBRAHIM ALI

KOTA BAHARU, 25 Ogos (Bernama) -- Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan timbalannya Abdul Halim Abdul Rahman hari ini memfailkan notis saman fitnah terhadap Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paduka Ibrahim Ali.

Saman itu dikemukakan di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini melalui peguam Takiyuddin Hassan yang juga Ketua Pemuda Pas Kelantan dan ahli panel peguam Pas Kelantan.

Melalui notis saman itu, kedua-dua plaintif mendakwa defendan (Ibrahim) secara palsu dan berniat jahat telah mengeluarkan fitnah mengenai mereka apabila memberitahu kepada sekumpulan wartawan dan media tempatan di Pasir Mas bahawa telah berlaku krisis antara Nik Aziz dan Abdul Halim.

Kenyataan Ibrahim itu kemudian disiarkan oleh Berita Harian dalam laporan bertarikh 20 Julai 1999 bertajuk "Krisis antara 2 pemimpin Pas".

Fail saman fitnah itu juga turut menamakan Berita Harian (M) Sdn Bhd dan Manzaidi bin Mohd Amin (wartawan sambilan) sebagai defendan kedua dan ketiga.

Laporan berita itu menyatakan berlaku krisis antara Nik Aziz dan Abdul Halim dan kedua-dua mereka sedang mengatur strategi untuk menjatuhkan antara satu sama lain.

Takiyuddin yang ditemui berkata tuntutan saman itu dibuat kerana defendan pertama cuba merendah-rendahkan kedudukan dan peribadi kedua-dua plaintif yang mempunyai kedudukan tinggi dalam kerajaan negeri Kelantan dan parti Pas.

Beliau berkata sehubungan itu plaintif memohon gantirugi kompensetori dan gantirugi teladan daripada kesemua defendan itu.

Menurutnya jumlah kos gantirugi itu belum ditentukan tetapi beliau akan memaklumkan kepada mahkamah bahawa perkara itu serius kerana kedua-dua plaintif yang mempunyai kedudukan dan jawatan tinggi dalam kerajaan telah diburuk-burukkan hingga terjejas maruah mereka di dalam negara dan luar negara.

Takiyuddin berkata pihaknya juga akan memohon injunksi mahkamah bagi menghalang defendan dan agennya serta pekerjanya daripada terus mengulangi perkataan fitnah itu pada masa akan datang.

Sebelum ini plaintif telah mengemukakan notis tuntutan undang-undang terhadap kesemua defendan itu bertarikh 17 Ogos lepas di sini.

Takiyuddin berkata fail saman itu dibuat selepas tamat tempoh seminggu notis tuntutan undang-undang apabila defendan pertama melalui peguamnya Apandi Ali enggan menarik balik kenyataan dan dakwaaan yang dibuatnya itu.

Defendan selepas ini dikehendaki mengeluarkan notis pembelaan dalam tempoh 12 hari mulai sekarang bagi membolehkan plaintif memohon kepada mahkamah tinggi untuk menetapkan tarikh mendengar kes itu. -- BERNAMA


Last changed: August 25, 1999