[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

LIM GUAN ENG DIBEBASKAN DARIPADA PENJARA KAJANG

Date: 25 Aug 1999
Time: 05:22:31
Remote User: -

Comments

Ulasan

Hebat sungguh hebat. Kebangkitan rakyat tidak dapat disekat. Kita bangkit tanpa mengira kaum, ugama dan keturunan.

Yang rakyat nampak, BN akan mainkan berulang-ulang kali perkataan " Malaysian Malaysia" yang diperkatakan oleh Guan Eng.

Rakyat sudah faham perkara ini. Yang tidak faham dan tidak mahu faham adalah BN.

============================================================================================================================== LIM GUAN ENG DIBEBASKAN DARIPADA PENJARA KAJANG

KAJANG, 25 Ogos (Bernama) -- Bekas anggota Parlimen Kota Melaka dan timbalan setiausaha agung DAP Lim Guan Eng dibebaskan daripada Penjara Kajang hari ini selepas menjalani tempoh setahun daripada hukuman penjara 18 bulannya kerana kesalahan menghasut dan fitnah.

Guan Eng dibawa keluar daripada penjara dengan sebuah van penjara yang diiringi sebuah kereta polis peronda pada kira-kira pukul 7.50 pagi ke satu destinasi yang tidak diketahui di bandar Kajang.

Para pemberita yang membuat liputan pembebasan beliau kemudian mendapat tahu Guna Eng telah dibawa ke sebuah hotel berhampiran.

Satu jam selepas beliau meninggalkan penjara, kira-kira 2,000 penyokong yang membawa sepanduk dengan diiringi persembahan tarian singa, paluan kompang dan pukulan tabla, berkumpul di luar penjara untuk menyambut Guan Eng.

Pada kira-kira pukul 9 pagi, Guan kembali semula dengan kereta Mercedes Benz bapanya Lim Kit Siang untuk bertemu dan berucap pada para penyokongnya di luar pintu masuk utama penjara itu.

Guan Eng, seorang anggota Parlimen selama tiga penggal, memulakan hukuman penjara pada 26 Ogos apabila rayuannya terhadap pensabitan mengikut Akta Hasutan dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, ditolak oleh Mahkamah Persekutuan.

"Saya amat terharu dengan sambutan yang merangsangkan untuk saya pagi ini," kata Guan Eng yang kelihatan riang dan sihat, berucap di atas kereta itu.

Guan Eng memberitahu orang ramai yang berkumpul bahawa walaupun berada dalam penjara selama setahun, "semangat Malaysian Malaysianya tidak hilang."

Katanya ini adalah kali kedua beliau dipenjarakan, yang pertama 12 tahun lalu apabila beliau ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) berikutan isu keruntuhan Multi-Purpose Cooperative MCA.

Meminjam kata-kata pemimpin kulit hitam Amerika yang dibunuh, Martin Luther King Jr, Guan Eng memberitahu mereka bahawa "impiannya" juga adalah "satu hari nanti akan wujud keadilan bagi semua rakyat Malaysia."

"Saya akan memberitahu Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad bahawa saya tidak akan melepaskan impian ini dan saya sanggup masuk ke dalam untuk kali ketiga bagi Malaysian Malaysia," katanya.

Tidak ramai polis yang berada di luar penjara itu dan tiada insiden yang tidak diingini dilaporkan. -- BERNAMA


Last changed: August 25, 1999