[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

KINI HARI INI

Date: 25 Aug 1999
Time: 20:02:30
Remote User: -

Comments

KINI HARI INI Penggabungan Bank:Mahathir Hilang Sokongan Masyarakat Cina Kerana Tamak Langkah kerajaan untuk menggabungkan bank-bank dan syarikat-syarikat kewangan di Malaysia kepada enam buah saja telah menimbulkan kesan yang buruk kepada Mahathir dan BN. Usaha Dr Mahathir ke China dengan tujuan sampingan untuk mendapatkan simpati dan sokongan masyarakat Cina di Malaysia untuk menyokongnya dan BN dalam pilihanraya akan datang tidak berhasil. Ini kerana langkah terbaru Mahathir melalui Bank Negara untuk menggabungkan 58 institusi kewangan di Malaysia hanya kepada enam sahaja telah dilihat oleh masyarakat perniagaan Cina dan masyarakat Cina umumnya sebagai usaha kroni Mahathir menguasai bank-bank milik orang Cina.

UMNO Kehilangan Sokongan Sudah diketahui umum bahawa Mahathir sangat mengharapkan sokongan masyarakat Cina dalam menghadapi pilihanraya umum ke10 tidak lama lagi. Ini disebabkan masyarakat Melayu sekarang menentang Mahathir. Kesan penyingkiran Anwar Ibrahim dan kes-kes selanjutnya selepas pemecatan itu, telah menyebabkan kebanyakan orang Melayu menolak Mahathir, UMNO dan BN kali ini. Mereka melihat Mahathir berlaku zalim terhadap Anwar. Isu Anwar itu telah menyebabkan UMNO pecah hingga ke akar umbinya, di kebanyakan tempat, terutama di Lembah Kelang dan di negeri-negeri sebelah utara. Orang-orang muda UMNO keluar parti dan masuk parti-parti pembangkang seperti PAS, PRM dan KeADILan. Malah, ada juga yang masuk DAP. Pergerakan Pemuda UMNO kucar-kacir. Hishamudin Tun Hussein dianggap lemah dan sebagai boneka. Begitu juga dengan kontroversi dalam Wanita UMNO baru-baru ini. Ia menunjukkan bahawa Mahathir mahu berkuasa di mana-mana juga sehingga hilang autonomi Wanita UMNO itu.

Mahathir Mengharapkan Undi Cina Jadi dengan jentera UMNO yang berpecah dan lemah itu, maka Mahathir sangat mengharapkan sokongan pengundi Cina. Hatta kerana itu, Mahathir sanggup memburuk-burukkan masyarakat Melayu di dalam majlis MCA dengan menuduh pelajar-pelajar Melayu lemah, malas dan asyik berpolitik. Seterusnya, Mahathir sanggup mendakwa bahawa profesor Melayu di universiti mendapat kedudukannya bukan kerana merit, tetapi kerana mereka bumiputera. Penghinaan oleh Mahathir ini semakin memburukkan kedudukannya di mata orang Melayu, khususnya kaum pelajar, belia dan cendikiawan Melayu.

Ramai Pekerja Akan Kehilangan Kerja Tetapi langkah Bank Negara mahu menggabungkan bank-bank dan institusi kewangan yang mempunyai 2,712 cawangan di seluruh negara kepada enam gabungan, bukan sahaja akan menyebabkan lebih 15,000 orang pekerja bank akan kehilangan pekerjaan, tetapi Mahathir juga akan kehilangan sokongan masyarakat Cina, malah mungkin menyebabkan Mahathir sendiripun akan hilang jawatan Perdana Menteri.

Kroni Mahathir Tamak, Rakus Langkah Mahathir itu dilihat oleh sesetengah golongan dalam masyarakat Cina, sebagai satu langkah ekonomi yang mencerminkan ketamakan orang Mahathir. Mereka membaca langkah penggabungan itu sebagai usaha kroni Mahathir merampas secara halus kepentingan orang Anwar dan kaum Cina dalam perbankan. Ada anggapan bahawa tokoh-tokoh kewangan dan perbankan yang rapat dengan Anwar Ibrahim mulai tumbang. Mereka curiga apabila melihat Hong Leong Bank dan Phileo Allied Bank, dua institusi bank yang agak berjaya, akan dikuasai Daim nanti kerana pernah dianggap dekat dengan Anwar. Orang Mahathir, terutamanya Daim, dilihat oleh sesetengah pihak sebagai ahli politik Melayu tamak, yang menggunakan kerajaan untuk mendapatkan harta ekonomi bagi kroni rapatnya dengan merampas daripada orang lain, khususnya orang Cina.

Mahathir Bermain Api Ini perkembangan yang amat berbahaya dalam kestabilan dan keharmonian politik Malaysia kini, terutama pilihanraya yang akan menjelang tiba. Mahathir yang sering bercakap perlunya kestabilan, sekarang dia sendiri yang cuba merosakkan. Adakah Mahathir memang sengaja supaya isu penggabungan bank-bank itu menjadi sedemikian rupa bagi dia, UMNO dan BN mendapatkan kembali sokongan orang Melayu dengan memainkan sentimen cauvinis Melayu yang melampau? Tidakkah Mahathir ada berkata sebelum ini bahawa pilihanraya umum ke10 ini adalah pilihanraya yang terkotor. Adakah ini maksud terkotor itu? Adakah Mahathir bersedia wujudnya ketegangan kaum semata-mata untuk kembali muncul kononnya sebagai hero kepentingan Melayu? Mahathir amat menyedari bahawa kekuatan parti-parti alternatif, terutama PAS, sangat kuat di negeri-negeri majoriti Melayu, khususnya di Kelantan, Trengganu, Kedah dan Perlis. Mahathir bermain api sebenarnya.

Rakyat Sudah Celik Tetapi rakyat, sama ada orang Melayu, Cina, India dan lain-lain sekarang sudah celik. Bagi orang Melayu, Mahathir tidak akan diterima kembali sebagai pemimpin mereka yang berwibawa. Kesalahannya kepada orang Melayu sangat banyak. Jika penggabungan bank ini dikatakan untuk meninggikan penguasan kepentingan ekonomi orang Melayu, hujah tersebut akan disangkal oleh orang Melayu sendiri. Penggabungan bank itu hanya untuk kepentingan kroni-kroni Mahathir, terutamanya Daim. Orang Melayu lainnya tidak mendapat faedah apa pun. Sebaliknya, mungkin ramai anak-anak Melayu yang menjadi kakitangan bank akan kehilangan pekerjaan akibat penggabungan bank-bank itu. Jadi langkah parti-parti alternatif menolak cadangan penggabungan bank-bank itu adalah wajar.


Last changed: August 25, 1999