[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

KENYATAAN MEDIA (24 OGOS 1999)

Date: 25 Aug 1999
Time: 21:30:08
Remote User: -

Comments

KENYATAAN MEDIA (24 OGOS 1999) BN PERALAT GURU UNTUK KEPENTINGAN POLITIK Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) merasa hairan atas kenyataan dangkal Pemangku Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Datuk Hishamuddin Hussien yang mencabar guru-guru yang terlibat dengan parti politik pembangkang agar meletak jawatan dan berhadapan secara serius dengan parti BN di arena politik. DPP Pusat mempertegaskan bahawa selama ini Umno/BNlah yang mempergunakan guru-guru dan pelajar untuk kepentingan politik sempit mereka.

Tuduhan yang mengatakan guru-guru tertentu telah terlibat menghasut pelajar agar menyokong pembangkang adalah ibarat meludah ke langit yang akhirnya jatuh ke batang hidung sendiri. Sejarah telah membuktikan bahawa BN sejak sekian lama memperalatkan guru-guru dan pelajar untuk matlamat politik mereka. Majlis-majlis PIBG telah dijadikan pentas politik oleh pemimpin BN yang digunakan untuk berkempen terutama menjelang pilihanraya. Pelajar-pelajar juga dipaksa memenuhkan majlis-majlis yang dihadiri oleh pemimpin BN apabila majlis mereka tidak mendapat sambutan rakyat.

Penutupan sekolah untuk membolehkan pelajar memenuhi Stadium Indera Mulia di Ipoh ketika lawatan Perdana Menteri ke Perak baru-baru ini membuktikan dakwaan ini. Pensyarah dan pelajar juga dipaksa menghadiri majlis Alumni ITM kerana dibimbangi tiada hadirin akan memenuhi Stadium Malawati 26 Ogos ini. Ini semua adalah rangkaian penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan tugas guru-guru serta pelajar yang ditaja oleh BN.

DPP Pusat mempunyai bukti yang kukuh bahawa BN selama ini menghasut pelajar untuk membenci pembangkang dan menyokong kerajaan. Apa yang berlaku di IPTA pada Jun lalu jelas menggambarkan bahawa BN menyalahgunakan kedudukan mereka untuk menghasut pelajar. Kenyataan dangkal Pemuda Umno ini jelas menggambarkan kebimbangan mereka terhadap pengaruh PAS di kalangan pelajar. Apabila kanak-kanak pun membenci Umno, bermakna Umno sudah tidak ada masa depan lagi dalam kancah politik di negara ini.

Cabaran yang dibuat Hishamuddin agar guru-guru meletak jawtan dan bergiat secara aktif dalam politik jelas menggambarkan bahawa Umno hanya tahu mencabar sahaja tetapi melenting apabila guru-guru menolak perjuangan mereka. Guru-guru yang dicabar untuk menentang Umno diugut dengan pelbagai cara, agar mereka takut menentang kerajaan. Jika guru-guru ini turun ke padang sudah tentu Pemuda Umno akan sekali lagi dimalukan sebagai mana mereka dimalukan akibat takut berdebat.

DPP Pusat menyeru seluruh rakyat terutama guru-guru agar menolak perjuangan Umno/BN yang ternyata telah memperalatkan pelajar,guru dan sekolah untuk kepentingan mereka tetapi sebaliknya menuduh guru-guru yang tidak bertanggungjawab. Pemimpin BN sudah tidak lagi relevan untuk negara ini dan sewajarnya mereka ditolak untuk membolehkan sebuah kerajaan baru yang adil dapat dibentuk.

HAJI MAHFUZ HAJI OMAR

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat


Last changed: August 25, 1999