[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Fadzil dakwa sambutan Hari Kebangsaan mirip Kristian.

Date: 25 Aug 1999
Time: 21:46:28
Remote User: -

Comments

Fadzil dakwa sambutan Hari Kebangsaan mirip Kristian

ALOR SETAR 25 Ogos - Presiden Pas, Datuk Fadzil Noor berkata, parti itu tidak mahu menyertai sambutan Hari Kebangsaan yang dianjurkan oleh kerajaan negeri kerana acara itu mirip sambutan tahun baru yang diraikan oleh orang Kristian.

Menurutnya, Pas tidak boleh menyertai sambutan itu kerana salah satu acara sambutan ialah perhimpunan pada malam 31 Ogos dengan lampu di tempat sambutan ditutup apabila menjelangnya pukul 12 malam.

Keadaan itu, katanya, sama dengan sambutan tahun baru yang diraikan oleh orang Kristian yang juga menutup lampu beberapa minit sebelum pukul 12 malam.

''Antara acara sambutan Hari Kebangsaan ialah pada malam 31 Ogos satu perhimpunan diadakan dan menjelang 12 malam, semua lampu akan dipadam dan dibuka semula pada pukul 12 malam,'' katanya ketika berceramah di Sungai Baru dekat sini malam tadi.

Menurut Fadzil, beliau bimbang dalam keadaan yang gelap gelita dengan macam-macam orang berada di tempat sambutan, pelbagai perkara boleh berlaku.

Tanpa menjelaskan perkara tersebut beliau berkata, sebab itulah Pas tidak mahu menyertai sambutan Hari Kebangsaan yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Kedah.

''Sebagai sebuah parti politik, kita buat (sambutan Hari Kebangsaan) untuk mengajak rakyat mengingati dan mengisi perjuangan kemerdekaan,'' ujarnya.

Katanya, sambutan Hari Kebangsaan yang dianjurkan oleh Pas akan diisi dengan pelbagai program antaranya sukaneka kanak-kanak dan program ceramah.

Pas Kedah dikatakan telah merancang untuk mengadakan sambutan Hari Kebangsaan yang ke-42 secara berasingan daripada yang dianjurkan oleh kerajaan negeri.

Ekoran itu, Timbalan Pengerusi Sambutan Hari Kebangsaan Negeri Kedah, Datuk Abdullah Hasnan Kamarudin membidas tindakan Pas kerana ia boleh memecah belahkan rakyat negeri ini.

Hasnan berkata, cadangan tersebut agak menghairankan kerana Pas bukanlah parti yang berjuang menentang Inggeris semasa menuntut kemerdekaan.

Dalam pada itu Fadzil menuduh Abdullah Hasnan 'buta sejarah' dan cuba menipu rakyat kerana menafikan perjuangan pemimpin parti tersebut dalam memperjuangkan kemerdekaan negara.

Menurutnya, peranan ulama seperti Burhanuddin Helmi tidak boleh diketepikan kerana beliau juga berjuang menuntut kemerdekaan sehingga dipenjara berkali-kali sedangkan tidak ada pemimpin UMNO yang ditangkap oleh Inggeris.

''Inggeris beri kemerdekaan kepada UMNO kerana UMNO menerima segala syarat yang ditetapkan,'' katanya sambil memberitahu antara syarat yang diterima oleh UMNO adalah menerima semua kaum di negara ini sebagai warganegara.

Oleh: NIZAM ABDUL HAMID


Last changed: August 25, 1999