[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Majlis Talqin Untuk Pemuda UMNO

Date: 25 Aug 1999
Time: 23:31:37
Remote User: -

Comments

SAMBUTAN 50 TAHUN PEMUDA UMNO SECARA SEDERHANA ESOK

KUALA LUMPUR, 25 Ogos (Bernama) -- Sambutan ulang tahun ke-50 Pergerakan Pemuda Umno esok akan diadakan secara sederhana dengan majlis tahlil dan sembahyang hajat di Masjid Putrajaya.

Pemangku Ketua pergerakan itu, Datuk Hishammuddin Tun Hussein dalam satu kenyataan hari ini berkata, sembahyang hajat itu bertujuan memohon ke hadrat Allah supaya dikurniakan kesejahteraan, keberkatan dan petunjuk kepada pejuang Umno dan dihindarkan negara ini daripada apa juga sengketa dan malapetaka.

"Adalah menjadi harapan agar acara-acara yang diadakan akan dapat menyatupadukan serta menyelaraskan pergerakan Pemuda dalam menghadapi setiap ancaman dan ganggu gugat dari dalam mahupun luar yang melanda negara," katanya.

Beliau juga mengajak semua anggota Pemuda supaya terus mendukung dan menjulang obor perjuangan sebenar Umno kerana mereka adalah pelapis dan pewaris kepimpinan Umno masa akan datang.

Anggota pergerakan itu dari seluruh negara terutama dari Melaka, Negeri Sembilan, Selangor dan Wilayah Persekutuan dijadual mula berkumpul pukul 6 petang di Masjid Putrajaya.

"Orang ramai yang berminat untuk sama-sama menjayakan majlis ini dipelawa ke Masjid Putrajaya kerana majlis ini terbuka kepada semua yang sayangkan keamanan dan perpaduan," kata Hishammuddin.

Sambutan ulang tahun itu tambah bermakna dengan sambutan ke-42 tahun kemerdekaan negara dan satu perhimpunan, "Perhimpunan Jiwa Merdeka" akan diadakan di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra pada Isnin ini.

Ia akan turut dihadiri oleh anggota Pemuda parti-parti komponen Barisan Nasional bagi melafazkan "Sumpah Jiwa Merdeka" sebagai janji taat setia generasi muda yang akan terus berjuang dan mempertahankan kedaulatan negara. -- BERNAMA


Last changed: August 25, 1999