[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Najib Kata Lain, Shahidan Kata Lain

Date: 26 Aug 1999
Time: 01:36:18
Remote User: -

Comments

Ulasan

Walau apapun laporan-laporan ini menggambarkan bahawa ada perbezaan antara Najib dan Shahidan. Yang kita tahu urusan pendidikan adalah bawah Najib. Oleh itu, kita kena pakai cakap Najib.

Maka kata-kata Shahidan adalah pembohongan-pembohongan yang terang dan nyata. Ia mengelirukan rakyat.

Kita melihat ada usaha-usaha halus untuk menjatuhkan Najib.

============================================================================================================================== 10 guru kena tindakan disiplin

KANGAR, Rabu - Sepuluh guru di negeri ini, termasuk seorang wanita, dikenakan tindakan disiplin kerana aktif berpolitik dan memburuk-burukkan kerajaan ketika di sekolah.

Menteri Besar, Datuk Seri Shahidan Kassim, berkata sebahagian besar daripada mereka adalah guru berprestasi rendah dan ada di antaranya mengalami masalah mental.

"Memang ada guru di Perlis yang dikenakan tindakan disiplin kerana aktif berpolitik dan memburuk-burukkan kerajaan tapi jumlahnya tidak ramai iaitu hanya 10 berbanding kira-kira 4,000 guru di seluruh negeri ini," katanya, di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas gesaan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, supaya tindakan disiplin dikenakan terhadap guru yang terbabit dengan politik di sekolah.

Kenyataan beliau itu ekoran pendedahan seorang wakil majlis Dialog Pergerakan Wanita Barisan Nasional (BN) Kedah, bahawa ada guru sekolah rendah bertanya kepada murid mengenai pendirian ibunya dalam politik.

Dalam perkembangan lain, Shahidan meminta pihak berkuasa menyiasat kenyataan Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri, Dr Aziz Hanafi, yang mendakwa kemudahan diberi kepada pelabur dari China memasuki negara ini bertujuan menjadikan mereka pengundi hantu oleh Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata, kenyataan bersifat fitnah bagi memburuk-burukkan kerajaan itu bukan saja boleh menjejaskan usaha meningkatkan pelaburan oleh usahawan China di negara ini, malah mengganggu hubungan baik dengan negara itu.

"Saya mahu mengingatkan pemimpin Pas supaya berhati-hati ketika membuat kenyataan, jangan suka tabur fitnah asalkan boleh mendapat undi daripada orang ramai," katanya.

Dr Aziz dalam ceramahnya di Kampung Che Ok, Simpang Empat, Isnin lalu, berkata BN mahu menjadikan rakyat China sebagai pengundi hantu kerana mereka sukar dikesan disebabkan hampir seiras dengan penduduk Cina negara ini.

Dalam lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, ke China baru-baru ini, kerajaan bersetuju memberi kemudahan kepada pelabur dari negara itu mendapatkan visa di mana-mana pintu masuk di Malaysia.

Langkah itu bertujuan memudah dan menggalakkan pelaburan oleh usahawan China di negara ini tanpa mereka perlu terlebih dulu ke Beijing untuk mendapatkan visa.

==============================================================================================================================

Guru tanya hal politik di kenal pasti

KUALA LUMPUR, Rabu - Menteri Pendidikan, Datuk Seri Najib Tun Razak, berkata kementeriannya sudah mengenal pasti guru sekolah rendah yang didakwa mencampuradukkan soal politik dan pendidikan.

Beliau berkata, siasatan sudah dimulakan untuk mengumpul bukti kukuh sebelum sebarang tindakan diambil terhadap guru terbabit.

Menurutnya, tindakan tatatertib seperti penurunan pangkat, buang kerja, tahan gaji atau denda, boleh diambil terhadap mana-mana guru yang didapati melanggar peraturan, termasuk menyebarkan semangat antikerajaan di kalangan pelajar.

Bagaimanapun, katanya, siasatan terperinci perlu dilakukan supaya kementerian dapat mempertahankan keputusan yang dibuat apabila pihak terbabit bertindak mengemukakan dakwaan di mahkamah.

Tambahan pula, katanya, masyarakat sekarang sudah tidak ragu-ragu untuk mengambil tindakan menyaman kerajaan sekiranya tidak berpuas hati dengan suatu perkara.

Setakat ini, katanya, kebanyakan laporan diterima kementerian berhubung tindakan guru menyemai semangat antikerajaan di kalangan pelajar adalah tidak khusus atau sering disebut secara umum dalam dialog.

"Walaupun kadang-kadang ada nama diberi, masalah timbul ialah untuk mendapatkan bukti boleh diterima oleh Lembaga Tatatertib yang dipengerusikan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia.

"Jika bukti mencukupi, memang kementerian akan mengambil tindakan tegas," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Kementerian Pendidikan di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, semalam, yang kesal dengan sikap guru yang tergamak bertanyakan muridnya mengenai pendirian politik ibu bapa mereka.

Mengenai cabaran Pemangku Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Datuk Hishammuddin Tun Hussein, supaya guru yang ingin berpolitik melepaskan jawatan dan turun gelanggang untuk menghadapi orang politik, Najib berkata:

"Kita patuh kepada peraturan. Maknanya jika bersalah, kita ambil tindakan tatatertib. Itu langkah yang kita ambil sebagai sebuah kerajaan."

Najib turut mengumumkan bahawa beliau sudah memperolehi laporan polis berhubung dakwaan seorang pegawai kanan Kementerian Pertahanan bahawa ada gerakan menentang kerajaan menyusup ke dalam sebuah badan berseragam di sekolah menengah negara ini.

Beliau berkata, laporan polis mengesahkan tidak berlaku penyebaran fahaman antikerajaan dalam badan berseragam di sekolah menengah seperti dilaporkan sebuah akhbar berbahasa Inggeris, baru-baru ini.

Malah, kata Najib, laporan berkenaan hanya memperbesarkan perkara yang tidak berlaku, sebaliknya polis sudah menahan tiga lelaki berhubung kes itu.

"Lelaki berkenaan mendakwa dirinya sebagai pegawai tentera dan sebagainya walhal dia tidak berhak berbuat demikian. Dia memakai pakaian seragam yang dia tidak berhak pakai. Malah dia dijumpai memiliki kad pengenalan angkatan tentera yang palsu.

"Tiada bukti berlaku penyebaran fahaman antikerajaan itu dan polis sudah merumuskan bahawa kegiatan lelaki berkenaan lebih bersifat penipuan dan kepentingan material.

"Bagaimanapun, siasatan kementerian berhubung kegiatan kadet remaja di sekolah masih berterusan," katanya.


Last changed: August 26, 1999