[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

KEGAGALAN  PELAJAR  MELAYU: Kaitannya Dengan Proses Penilaian

Date: 26 Aug 1999
Time: 01:49:34
Remote User: -

Comments

KEGAGALAN PELAJAR MELAYU: Kaitannya Dengan Proses Penilaian

Kebolehan dan keupayaan pelajar Melayu, dan bangsa Melayu itu sendiri, yang diukur melalui proses penilaian banyak menimbulkan isu dan perbahasan hangat di kalangan pelbagai pihak. Hujah-hujah yang diutarakan sebelum ini ada kebenarannya, namun agak longgar kerana persoalan pokoknya masih tidak terjawab. Dalam artikel ini, penulis ingin menjelaskan mengapa kekusutan dan mungkin kekeliruan ini timbul akibat daripada ketidakjelasan persoalan pokok. Untuk itu, huraian akan tertumpu kepada memahami isu-isu konseptual dan praktikal yang berhubung dengan proses/sistem penilaian itu sendiri dalam menjelaskan kekeliruan tadi.

Bermula dengan Perdana Menteri (PM) kita yang sedih dan menangis apabila melihat ramai pelajar Melayu yang kurang setanding dibandingkan dengan pelajar kaum lain dari segi peperiksaan, seterusnya gagal mencapai prestasi atau tergolong dalam kumpulan paling cemerlang. Seterusnya (masih lagi dalam persoalan penilaian), beliau (PM) mungkin menyindir atau ikhlas dengan mengatakan bahawa jika diadakan Ujian Kebolehan Khas (Special Aptitute Test), atau lebih khusus lagi mungkin dimaksudkan Ujian Kognitif Khas(yang dibuat secara snap-shot), tidak ramai Profesor atau golongan bijak-pandai Melayu yang akan melepasi ujian tersebut dan seterusnya dapat mengisi jawatan-jawatan penting yang diperlukan. Kritikan, teguran dan anjuran PM ada juga kebenarannya jika tafsiran beliau ini dilihat dari sudut yang sempit dalam memahami proses penilaian itu sendiri.

Kemudian terdapat susulan pendapat dan hujah daripada tokoh-tokoh tertentu (Awang Had Salleh, Taib Osman, Ungku Aziz dan Pengarang Akhbar) sama ada menyokong atau memberi hujah baru berhubung dengan kenyataan PM. Ini diikuti oleh kumpulan tertentu (Kumpulan Akademik, Persatuan Pelajar dan individu tertentu) yang melahirkan rasa terharu, marah, terkilan akan kenyataan PM. Mereka mengeluarkan hujah serta pendapat yang mungkin bernas, mungkin penuh emosi dan adakalanya nampak keliru. Namun kita jangan mengenepikan pelbagai pendapat daripada semua pihak yang terlibat ini kerana ia masih boleh dicerap sebagai sumber data kuantitatif untuk digunakan kemudian bagi tujuan penyelidikan dari pelbagai kaedah, lebih-lebih lagi dalam memahami isu-isu yang berkaitan penilaian dan, kegagalan serta kejayaan pelajar Melayu dalam bidang pendidikan.

Masalah utama dalam usaha menangani persoalan penilaian sebagai alat pengukuran pendidikan ialah kegagalan memperjelaskan konsep penilaian dari aspek teoretikal dan praktikal. Aspek teoretikal dan praktikal ini amat sesuai dihuraikan dari perspektif falsafah penilaian itu sendiri. Kegagalan memahami atau menyentuh aspek-aspek ini mungkin menjadikan hujah serta penafsiran seseorang itu agak longgar walaupun tujuan asal hujah atau idea itu murni. Hasilnya, kita akan melihat persoalannya tidak terjawab, tidak berfokus dengan tidak cuba mengupas persoalan asas. Lebih memburukkan lagi keadaan apabila penafsiran ini dianggap sebagai penyelesaian kepada masalah, lantas dipolitikkan khususnya untuk memenuhi agenda tertentu.

Untuk mengupas konsep penilaian sebagai alat pengukuran pendidikan dari sudut teoretikal dan praktikal memerlukan penghuraian yang agak kompleks. Ini disebabkan penghuraian ini boleh dilakukan dari pelbagai aliran pandangan atau ‘schools of thought’ yang terdapat dalam aliran mahzab pendidikan. Namun untuk tujuan artikel ini, penulis akan cuba mengupas dari sudut falsafah penilaian. Ini disebabkan sudut falsafah ini adalah asas untuk memahami konsep penilaian dan seterusnya boleh dikaitkan dengan pendidikan khususnya pembelajaran.

Seseorang itu belajar sesuatu (daripada belajar mengikat tali kasut, mengenal adab, membaca, menulis hinggalah kepada belajar menyelesaikan masalah fizik-nuklear) dengan mempunyai niat dan tujuan yang berbeza. Namun bagi kebanyakan orang yang ingin belajar, mereka tidak boleh tidak ingin mengetahui sejauhmanakah kemampuan, kebolehan dan keupayaan mereka dalam bidang yang dipelajari. Mereka mungkin ingin mengetahui samada pada yang dipelajari itu mencapai kriteria atau paiwai yang ditetapkan; benar atau salah (baik atau buruk) akan apa yang dilakukan; lulus atau gagal dari segi kecapaian dan kebolehan; dan sejauhmana kedudukan kebolehan dan pencapaian mereka itu jika dibandingkan norma (norm) kebolehan dan pencapaian kumpulan atau orang lain yang melakukan kerja yang sama. Oleh yang demikian, secara lojiknya proses penilaian bukan lagi sesuatu yang optional dan dengan sendirinya proses penilaian itu tidak dapat dielakkan. Untuk itu, proses penilaian itu diperlukan dan boleh diaplikasikan dalam pelbagai bentuk, keadah dan jenis.

Namun keperluan bagi proses penilaian ini bergantung kepada motif atau tujuan. Misalnya, bagi seorang pelajar proses penilaian ini amat berkaitan dengan tujuan dan hasrat mereka belajar. Ada yang hanya belajar semata-mata untuk lulus peperiksaan (sekadar lulus atau lulus cemerlang), ada yang belajar semata-mata kerana cintakan ilmu yang akan dipelajari dan menganggap kelulusan sebagai syarat sahaja. Tidak kurang juga terdapat pelajar yang mengutamakan kelulusan yang cemerlang dan melupakan apa yang telah dipelajari setelah tamat peperiksaan mereka. Untuk itu, pendekatan dan gaya mereka belajar itu berbeza-beza di antara seorang pelajar dengan pelajar yang lain. Terdapat pelajar yang belajar secara permukaan (surface learning) iaitu belajar dengan cara menghafal dan memuntahkan kembali fakta dengan baik dan tersusun dengan tujuan mendapat markah yang tinggi dalam peperiksaan tanpa pengertian yang mendalam. Ada pelajar yang belajar secara dalaman (deep learning) iaitu belajar untuk pemahaman dan pengertian mendalam bidang yang dipelajari dan kurang mengutamakan pembelajaran bentuk hafalan. Biasanya pelajar ini boleh lulus peperiksaan mereka dengan baik tetapi kurang cemerlang kerana biasanya gagal memenuhi sebahagian syarat dalam skima peperiksaan. Tidak kurang juga pelajar yang belajar secara strategik (strategic learning) iaitu pengabungan kedua-dua bentuk pembelajaran tadi berdasarkan keperluan bidang yang dipelajari. Terdapat juga pelajar yang belajar secara taktikal ‘tactical learning’ dengan melihat apakah yang diutamakan (cue-seekers) semasa pengajaran iaitu sama ada proses penilaian mengutamakan pemahaman atau penghafalan untuk diberi keutamaan dalam pembelajaran mereka. Begitulah kompleksnya bagaimana seseorang pelajar itu belajar yang dikaitkan dengan proses dan sistem penilaian.

Tidak lupa juga faktor-faktor lain yang berkait rapat dengan proses dan sistem penilaian seperti kemampuan, daya dan tumpuan seseorang pelajar (kelompok dan bangsa pelajar) itu berbeza antara satu sama lain. Walaupun kajian telah dilakukan di kalangan pelajar minoriti etnik di UK, di Hong Kong dan Australia tentang kemampuan pelajar Cina dan tentang prestasi peperiksaan mereka berbanding pelajar bangsa lain, kajian juga boleh dilakukan di Malaysia untuk melihat sejauhmana atau apakah faktor-faktor (kognitif dan budaya) yang mempengaruhi keupayaan, kemampuan dan tumpuan yang berkaitan dengan prestasi peperiksaan. Dengan itu, kita akan mengetahui sedikit sebanyak tentang mengapa pelajar Melayu sejak merdeka lagi terlalu kecil bilangannya yang mendapat Kepujian Kelas Pertama. Atau, mengapa pelajar Melayu yang menulis begitu banyak (tebal skrip jawapan) mendapat markah yang sedikit untuk sesetengah kertas peperiksaan yang mereka ambil. Persoalan yang timbul di sini, adakah pelajar Melayu terlalu kreatif hingga memakan diri sendiri, atau skima yang disediakan tidak dapat memenuhi keperluan pelajar Melayu itu sendiri atau majoriti pelajar Melayu itu dari sifat semulajadinya tidak mempunyai kekuatan dari segi menduduki peperiksaan yang bersifat akedemik (kognitif)atau ada sesuatu yang tidak kena pada sistem penilaian jenis ini yang gagal menguji keupayaan dan kebolehan pelajar Melayu itu sendiri. Begitu juga kita ingin mengetahi sejauhmana pegaruh budaya ‘konfucius ethik’ serta budaya menghadapi peperiksaan formal yang bermula sejak tahun 1115 SM (Dinasti Zhou China) mempengaruhi pelajar Cina dari segi tumpuan, pengalaman dan kebolehan menghadapi peperiksaan.

Di samping itu juga, kita juga harus tahu tentang proses dan sistem penilaian pendidikan dari segi fungsi dan tujuan penggunaannya. Kita tahu bahawa sistem penilaian ini digunakan dan diperlukan oleh pihak-pihak tertentu untuk disesuaikan dengan motif dan agenda mereka, misalnya bagi pihak yang menyalur dan mentadbir sistem pendidikan itu sendiri. Begitu juga pelajar, ibu-bapa dan majikan memerlukan proses dan sistem penilaian untuk memenuhi hasrat mereka. Bagi pihak pengguna sistem pendidikan ini mereka cuba mentafsir sistem dan proses penilaian mengikut kepentingan mereka.

Walau apapun tujuan dan motif sesuatu penilaian itu diperlukan dan digunakan (sama ada untuk tujuan pemilihan, penentuan piawai dan persijilan; pemulihan, motivasi dan diagnostik), proses ini harus dilakukan dengan penuh sedar bahawa proses penilaian ini tidak lari dari sifat keterbatasannya. Ini disebabkan hasil sesuatu proses penilaian pendidikan yang digunakan itu tidak mungkin memberi jawapan 100% tepat tentang kekuatan dan kelemahan sebenar seseorang hasil daripada pembelajarannya. Dengan kata lain, lulus cemerlang atau gagal dalam sesuatu ujian dan peperiksaan itu tidak semestinya mengambarkan seseorang itu berjaya atau gagal dalam hidupnya sebagai manusia. Begitu juga jika seseorang itu lulus cemerlang dalam matapelajaran Biologi tidak semestinya menjamin seseorang itu aklan menjadi doktor yang baik. Contoh lain, seseorang yang lulus dalam ilmu Pedagogi tidak semestinya menjamin mereka akan menjadi seorang pendidik yang cemerlang. Ini disebabkan proses dan sistem penilaian pendidikan itu sendiri adalah proses yang hanya membuat andaian atau tafsiran bahawa dengan mendapat markah atau gred yang cemerlang seseorang itu sudah mampu mempelajari pelajarannya dengan baik; boleh menguasai bidang yang dipelajari dengan sempurna; berkeupayaan melaksanakan tugas atau kerja yang berkaitan dengan bidang tersebut; dan sesuai untuk dipilih bagi mengikuti kursus atau pengajian yang lebih tinggi. Begitulah beratnya andaian dan tafsiran dari segi pengiktirafan kita bahawa sesuatu keputusan peperiksaan atau ujian yang dinilai dari perspektif akademik mampu menjawab segala persoalan yang berkaitan dengan prestasi, kemampuan ,keupayaan dan juga masa depan sesorang pelajar. Mampukah kita mengenepikan andaian-andaian lain seperti kebolehan melakukan aktiviti-aktiviti praktikal dan juga kualiti-kualiti personal yang boleh digarapkan dalam proses penilaian itu di samping kualiti-kualiti akademik dalam menentukan kejayaan dan keupayaan seseorang pelajar.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa sistem penilaian yang digunakan sekarang banyak tertumpu kepada menguji unsur-unsur keintelelektualan yang bersifat akedemik baik di peringkat sekolah mahupun di peringkat pengajian tinggi. Pengajaran dan pembelajaran yang bersifat akademik ini biasanya amat bergantung kepada penggunaan pemikiran yang berbentuk abstrak (abstract thinking). Tidak dinafikan bahawa hasil dari pemikiran sebegini amat diperlukan kerana tanpanya tidak mungkin kita dapat menikmati kemajuan hasil dari pemikiran para saintis, pakar matematik dan para jurutera. Namun pemikiran jenis ini adalah terbatas jika tidak disertakan dengan pemikiran konkrit (concrete thinking), kebolehan-kebolehan praktikal dan juga penampilan kualiti serta nilai personal dan interpersonal dalam mengukur kebolehan sebenar seseorang. Sebagai contoh mudah jika dikaitkan dengan penilaian untuk menjadi seorang juruterbang dan pakar bedah, adakah memadai penilaian yang berbentuk akademik(yang dicapai melalui peperiksaan) sahaja mampu dijadikan sebagai alat ukur atau penentu kejayaan dan keupayaan seseorang. Dengan kata lain, siapakah yang sanggup menjadi penumpang atau pesakit yang pertama kepada seseorang bakal juruterbang dan doktor bedah yang dipilih hanya berdasarkan kepada keputusan cemerlang atau markah yang paling tinggi dalam peperiksaan. Shakespeare, seorang pujangga Inggeris yang terkenal dalam drama-dramanya “Othello” dan “As You Like It” amat menyangsikan keupayaan institusi sekolah dalam menekankan aspek akademik untuk melahirkan individu sempurna.

Namun apa yang dapat kita lihat ialah tanggapan yang mengatakan bahawa penilaian aspek akademik ini begitu penting. Hasil daripada proses penilaian ini biasanya dimartabatkan dengan begitu tinggi. Sebagai contoh yang jelas, sudah menjadi tugas rasmi Menteri Pendidikan Malaysia untuk membuat publisiti meluas tentang pengumuman keputusan peperiksaan SPM dan STPM. Biasanya sekolah-sekolah yang mendapat keputusan 100% dan pelajar-pelajar yang mendapat gred-gred cemerlang akan diumumkan nama-nama mereka melalui media massa. Bagi ramai pendidik ini adalah satu perkara biasa kerana sekolah-sekolah yang baik keputusannya adalah sekolah-sekolah yang telah dipilih khas dari segi kualiti akademik pelajar dan kualiti kemudahan pembelajaran yang disediakan. Adalah menjadi kehairanan jika prestasi akademik sekolah-sekolah dan pelajar-pelajar ini tidak mencapai keputusan yang cemerlang. Namun apa yang lebih penting jika Menteri Pendidikan merasakan prestasi akademik ini masih penting ialah sekurang-kurangnya melihat dari sudut ‘nilai bertambah’ (value-added) akan prestasi sekolah dan pelajar. Adalah lebih bermakna jika sesebuah sekolah yang sebelum ini hanya lulus 20% meningkat kelulusannya kepada 60% (terdapat peningkatan 300%) atau sebuah sekolah yang sebelum ini keputusan matapelajaran Bahasa Inggeris 5% lulus meningkat kelulusannya kepada 40%. Inilah yang sepatutnya diberi penghargaan atau tempat yang sewajarnya oleh Menteri Pendidikan. Inilah sekolah-sekolah yang sebenarnya telah menunjukkan prestasi peningkatan peperiksaan yang membanggakan hasil daripada usaha kegigihan pelajar dan juga guru mereka dan patut dipertimbangkan oleh pihak tertentu jika pengumuman keputusan peperiksaan masih lagi dianggap penting. Ini juga merupakan satu cara untuk meningkatkan prestasi dan yang penting meningkatkan motivasi serta meniup semangat pelajar dan guru yang khususnya berada di luar bandar dari segi sumbangan mereka terhadap proses pendidikan anak bangsa.

Di samping itu juga, kita harus melihat tentang tujuan sesuatu penilaian pendidikan itu diadakan. Adakah ujian yang diadakan itu mempunyai keesahan yang tinggi? Ini disebabkan sesetengah ujian itu, baik formal atau tidak formal kadang-kala gagal mengukur apa yang diuji. Contoh yang jelas berlaku dalam bilik darjah apabila ada guru ingin menguji kebolehan menulis dengan baik, kemas dan tulisan yang boleh dibaca. Setelah diberi latihan penulisan muridpun diuji. Kriteria ditetapkan oleh guru berkenaan iaitu hanya seorang murid sahaja dipilih dan diberi ganjaran, di samping itu menggunakan objektif lain semasa menilai iaitu untuk melihat murid yang mempunyai tulisan yang cantik. Di sini kita akan lihat objektif asal tujuan menguji itu telah ditafsir secara berlainan. Dari segi sudut yang lain penilaian jenis ini boleh menjejaskan minat, tumpuan, sikap serta motivasi pelajar yang sepatutnya diperjelaskan keupayaan dan kemampuan mereka yang sebenar. Ini disebabkan penilaian yang dilihat dari sudut moral jarang dilihat sebagai adanya seorang pemenang tetapi lebih mengutamakan pendidikan, pengajaran dan semangat untuk belajar seterusnya. Inilah yang sepautnya diambil ikhtibar dalam memahami proses penilaian.

Di peringkat pendidikan tinggi penilaian prestasi akedemik juga diberi tempat yang cukup tinggi. Pelajar dikatakan telah berjaya dalam bidangnya dengan hanya melihat keputusan peperiksaan mereka. Lebih tinggi keputusan peperiksaan mereka lebih tinggi kepujian dan kedudukan pelajar itu diutamakan. Begitu juga bagi pelajar yang yang tidak mendapat keputusan akademik yang cemerlang dianggap sebagai pelajar yang bermasalah. Mereka ini dikatakan sebagai tidak berminat dalam pelajaran mereka, tidak berfokus dan tidak bercita-cita tinggi, suka berfoya, banyak berpersatuan dan menghabiskan masa dengan membazir dan bermacam-macam alasan lain. Berbagai-bagai alasan boleh diberi namun sebab atau punca sebenar harus dicari. Adalah lebih sesuai jika kita dapat memahami proses dan sistem penilaian itu sendiri sebelum kita dapat memberi jawapan yang tepat. Sebagai contoh, adakah kita mengutamakan hasil (output) atau proses pendidikan pelajar sebagai kriteria semasa membuat penilaian; adakah proses dan sistem penilaian yang digunakan itu dapat mengukur apa yang hendak diukur atau selaras dengan tujuan dan falsafah pendidikan itu sendiri; adakah kita lebih mengutamakan sifat penentuan(judgemental) mengatasi sifat perkembangan/pengukuhan (developmental) dalam membuat penilaian pelajar; dan banyak lagi persoalan penilaian pendidikan yang boleh difikirkan.

Sebagai kesimpulan sebelum kita membuat tafsiran, teguran, pandangan, kritikan tentang proses penilaian pendidikan itu kita mestilah sedikit sebanyak mempunyai ilmu tentang bidang berkenaan. Ini bertujuan supaya apa yang diperkatakan itu mempunyai asas yang kukuh. Oleh itu, jika kita ingin menangis, sedih atau marah mestilah disertakan dengan ilmu agar sesuai dengan keadaan dan luahan perasaan itu bertempat. Teringat penulis akan filem “Ibu Mertuaku” karya allahyarham P. Ramlee dalam adegan Kassim Selamat menangis di kuburan. Andaikata Kassim Selamat sedih dan menangis dan memang benar pusara yang ditangisi itu pusara Sabariah, kita seharusnya tumpang berasa sedih dan terharu mengenangkan nasib Kassim Selamat. Tetapi kita berasa pelik dan merasa amat malang nasib Kassim Selamat kerana marah, menangis dan sedih di atas kuburan orang lain. (Oleh: Jay Tee, London)


Last changed: August 26, 1999