[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

KEADILAN TERENGGANU BERTANDING ENAM KERUSI

Date: 26 Aug 1999
Time: 04:23:55
Remote User: -

Comments

Ulasan

Ini laporan berita sahaja. Kita tidak pasti samada beliau yang cakap atau tidak sebab verbatimnya tiada. Tapi tiada salahnya mereka beri gambaran untuk peningkan kepala BN.

============================================================================================================================== KEADILAN TERENGGANU BERTANDING ENAM KERUSI NEGERI, DUA PARLIMEN

KUALA TERENGGANU, 26 Ogos (Bernama) -- Parti Keadilan Nasional dijangka meletakkan calon di enam kawasan Dewan Undangan Negeri dan dua kawasan Parlimen di Terengganu pada pilihan raya umum akan datang.

Pengerusi Keadilan Terengganu Abdul Rahman Yusof berkata dua kawasan parlimen itu ialah Setiu yang kini diwakili oleh Timbalan Menteri Pertanian Datuk Dr Tengku Mahmud Mansor dan Kemaman yang dipegang Naib Ketua Pemuda Umno Terengganu Dr Ramli Taib.

Beliau bagaimanapun enggan memberitahu enam kerusi negeri yang akan ditandingi parti itu.

"PAS pada prinsipnya telah menyatakan persetujuan mengenai pembahagian kerusi itu," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Bagaimanapun Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri, Wan Abdul Muttalib Embong ketika ditanya mengenai perkara itu, berkata beliau tidak mengetahui mengenai pembahagian kerusi antara PAS dan Keadilan pada pilihan raya umum ke 10 nanti.

"Saya tak tahupun mengenai itu (pembahagian kerusi)," katanya.

Terengganu merupakan antara empat negeri selain Kedah, Perlis dan Kelantan yang menjadi sasaran untuk ditawan oleh PAS pada pilihan raya umum nanti.

Keadilan Terengganu yang mendakwa ia kini mempunyai 7,000 anggota berdaftar telah menubuhkan cawangannya di semua bahagian parlimen Terengganu kecuali Marang dan Dungun.

Bahagian Marang dijangka dilancarkan 4 Sept ini oleh Pengerusi Keadilan Bahagian Gombak Azmin Ali yang juga bekas Setiausaha Sulit Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketika ditanya mengenai rangka manifesto PAS Terengganu yang diedarkan sejak 16 Ogos lepas, Abdul Rahman berkata Keadilan Terengganu akan mengguna pakai manifesto itu bagi memastikan kemenangan gabungan parti pembangkang pada pilihan raya umum nanti sekaligus menunjukkan perpaduan di kalangan parti pembangkang di negeri ini.

Semalam, Wan Abdul Muttalib berkata PAS negeri yang mensasarkan matlamat untuk menawan Terengganu pada pilihan raya umum nanti menyediakan manifesto sendiri dengan berjanji mendaulatkan negeri itu berdasarkan pemerintahan berasaskan Al-Quran dan Sunnah. -- BERNAMA


Last changed: August 26, 1999