[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Setelah Bank-Bank Milik Kroni Di Selamatkan.

Date: 26 Aug 1999
Time: 10:43:08
Remote User: -

Comments

Ulasan

Penipuan demi penipuan telah dilakukan oleh Si Diam. Mula-mula dia lenyapkan Bank Bumiputra. Sekarang Multipurpose Bank milik kroninya telah memakan bank-bank yang lebih besar darinya.

Selepas itu, mana ada bank lagi yang perlu diselamatkan?

Dalam diam Si Diam tipu kita. Rakyat melihat dan menyaksikan kedangkalan perkara ini.

========================================================================================================================================================

KERAJAAN TIDAK BERCADANG SELAMATKAN LEBIH BANYAK BANK, KATA DAIM

KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Bernama) -- Kerajaan tidak akan menyelamatkan lebih banyak bank pada masa depan, kata Menteri Kewangan Pertama Tun Daim Zainuddin, hari ini.

Bagaimanapun, beliau menambah kerajaan akan terus melakukan yang terbaik bagi memperkukuhkan sektor perbankan kerana sekiranya bank gagal, keseluruhan ekonomi akan gagal.

Bercakap pada sesi dialog yang dianjurkan oleh Institut Perhubungan Awam di sini, beliau berkata kerajaan tidak dapat mengelak daripada usaha menggabungkan bank-bank tempatan kerana terdapat banyak bank yang lemah.

Saiz tidak penting, tetapi bagaimanakah ia diuruskan, katanya. Negara tidak boleh menghadapi situasi di mana terdapat terlalu banyak bank kerana mereka tidak akan mampu hidup pada masa depan dalam pasaran global, katanya.

Daim berkata dalam banyak kes, sebab itulah kerajaan menubuhkan Pengurusan Danaharta Nasional Bhd, Danamodal Nasional Bhd dan Jawatankuasa Penyusunan Semula Hutang Korporat, iaitu bagi menyelesaikan masalah.

Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan tidak pernah campur tangan dalam keputusan penggabungan bank.

Mengenai pertumbuhan ekonomi, Daim berkata kerajaan percaya bahawa tanpa sebarang keadaan yang tidak disangka, ekonomi Malaysia akan selesa dengan pertumbuhan positif tahun ini.

Semua petunjuk ekonomi adalah positif, katanya dan menambah bahawa angka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi Julai adalah lebih baik daripada Jun.

"Kami mempunyai angka Julai yang lebih baik dari Jun, (bagaimanapun) saya tidak dapat memberikan gambaran keseluruhan pertumbuhan KDNK tahun ini sehingga saya lihat semua angka-angkanya," katanya.

Beliau menambah bahawa beliau tidak terlalu optimis.

Daim turut memberi jaminan bahawa kerajaan akan meneruskan dasar-dasar pemulihan ekonomi dan jika semua pihak menyokong penuh, "kita akan mempunyai pertumbuhan positif tahun ini dan pertumbuhan yang lebih baik tahun depan." -- BERNAMA


Last changed: August 26, 1999