[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

KINI (26.8.99)

Date: 26 Aug 1999
Time: 23:26:07
Remote User: -

Comments

KINI demi keadilan, kemajuan, perpaduan Isu No. 19 – 26 Ogos 1999 Rahim Cuba Tutup Bangkai Gajah Abd Rahim Thamby Chik mencuba untuk mendapatkan injunksi untuk menghalang Setiausaha Agung DAP, Lim Kit Siang dan dua lagi daripada terus mencetak dan mengedar buku serta poster yang kononnya memfitnahnya. Buku itu bertajuk Lim Guan Eng – MP in Jail, Second Edition: Malaysian Dream from Kajang Prison.

Tidak dapat dinafikan bahawa Rahim mempunyai hak membuat permohonan itu. Undang-undang membenarkan. Anwar Ibrahim pun dulu pernah memohon supaya injunksi diberikan kepadanya untuk menahan pengedaran buku 50 Dalil Mengapa Anwar Ibrahim Tidak Boleh Jadi Perdana Menteri. Anwar telah menang kes itu. Injunksi diberi. Tetapi Hakim yang membuat keputusan itu kemudiannya ditukarkan dari Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ke tempat lain.

Malangnya, biarpun injunksi telah diperolehi oleh Anwar, tetapi buku kontroversi itu terus diedarkan, termasuk semasa persidangan Perhimpunan Agung UMNO pada tahun 1998, iaitu semasa Anwar masih lagi menjadi Timbalan Presiden UMNO. Buku 50 Dalil itu didapati telah dimuatkan ke dalam beg para perwakilan UMNO! Ruslan Kassim telah membangkitkan perkara itu dan menyatakan secara umum bahawa Rahim Thamby Chik terlibat dengan penerbitan buku tersebut.

Sekarang, Rahim cuba menahan penerbitan dan pengedaran buku bertajuk Lim Guan Eng – MP in Jail itu kononnya kerana dia hendak menjaga nama baik dan maruahnya daripada tercemar dan dikutuk di dalam masyarakat. Dalam perbicaraan kes tuduhan rasuah ke atas Anwar Ibrahim yang berlalu, yang kesudahannya Anwar dijatuhi hukum penjara 6 tahun, ada saksi-saksi yang secara tidak langsung menerangkan bahawa Rahim terlibat dalam konspirasi menjatuhkan karier politik Anwar.

Rahim, Ghafar Baba dan Umi Hafilda pernah dilaporkan berkeliling negara untuk memberi penerangan kononnya Anwar membuat salahlaku seks. Ketika itu, kes Anwar baru saja dibawa ke mahkamah. Belum pun perbicaraan berjalan sepenuhnya, Rahim tak sabar-sabar hendak menjatuhkan hukuman Anwar bersalah.

Ertinya Rahim tidak tahu agaknya bahawa Anwar juga ada air muka dan maruah untuk dijaga. Tetapi Rahim tidak peduli. Dia jaja segala tuduhan aib yang belum dipastikan benar sahihnya lagi oleh mahkamah. Rahim telah membuat apa saja untuk mencemarkan nama baik Anwar, orang yang pernah membantunya untuk turut berjaya dalam Team Wawasan untuk memenangi jawatan Ketua Pemuda UMNO pada pemilihan tahun 1993 ketika dia ditentang oleh Isa Samad, Menteri Besar Negeri Sembilan.

Sekarang, Rahim sedang dikejar oleh bayang-bayang silamnya sendiri. Anwar tidak takut untuk diheret ke mahkamah. Diarak tilam setiap hari, tetapi Anwar sanggup hadapi. Dipanggil pakar DNA dari Jabatan Kimia dalam negeri dan pakar DNA dari luar negeri, Anwar tetap menghadapinya dengan berani. Kalau dia benar, tetap benar.

Kerana Rahim orang kesayangan Mahathir, maka tiada sebarang pertuduhan dibawa oleh Peguam Negara walaupun pihak polis telah menjalankan siasatannya. Sebaliknya, yang diheret ke mahkamah ialah pemuda lelaki yang dituduh merogol budak perempuan itu.

Budak perempuan bawah umur itu yang mengandung dihukum secara tidak langsung dengan diletakkan di Pusat Pemulihan. Tetapi Rahim bebas lepas. Sebaliknya, Lim Guan Eng dipenjarakan selama 18 bulan kerana membela nasib budak perempuan Melayu itu.

Hari ini, Lim Guan Eng telah keluar dari Penjara Kajang sebagai hero. Tetapi Rahim masih tidak bersih namanya. Selagi Rahim Thamby Chik tidak bersikap berani untuk membenarkan dirinya dibicarakan secara telus, maka ramai orang masih percaya bahawa dia adalah seorang perogol berkanun (statutory rapist).

***** Mengapa Malaysia Mesti Jadi Pengemis? Untuk melaksanakan program pemulihan, ekonomi Malaysia terpaksa berhutang. Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) menjelaskan bahawa Malaysia sekarang berhutang RM33.82 bilion daripada pelbagai sumber asing, termasuk: 1) Sumitomo Nomura Bank 2) Export-Import Bank of Japan 3) Tabung Kerjasama Ekonomi Seberang Laut (OECF) Jepun 4) Bank Dunia 5) Bank Pembangunan Islam (IDB) 6) Pinjaman bersindiket dari bank asing di Malaysia

Baru-baru ini, kerajaan Malaysia juga meraih modal menerusi terbitan Bon Global berjumlah AS$1 bilion (RM3.8 bilion). Apakah yang kita dapat simpulkan dari pernyataan dan statistik terkini yang dikeluarkan oleh MTEN sehari dua ini? Kesimpulan pertama: Walaupun Malaysia menolak IMF, tetapi ia tetap perlu mengemis dari negara asing. Pinjaman ertinya berhutang. Terbitan bon juga bererti hutang. Malaysia di bawah Mahathir dan BN pada penghujung dekad 1990-an ini berhutang keliling pinggang. Sedangkan, berhutang bukanlah perbuatan yang baik bagi mana-mana pentadbiran negeri. Kesimpulan kedua: Untuk apa Malaysia perlu berhutang? Mahathir akan menjawab: Untuk memulihkan ekonomi. Apakah yang Mahathir maksudkan pemulihan ekonomi itu? Jawapannya ialah untuk memulihkan syarikat-syarikat besar kroni-kroni Mahathir yang hampir jatuh bangkerap akibat gawat.

Syarikat-syarikat itu banyak berhutang dengan pihak bank. Kedudukan kewangan mereka bermasalah, lalu hutang bank tidak dapat dibayar. Berlakulah hutang lapuk atau non- performing loans (NPLs). Akibat dari hutang tidak berbayar, bank-bank pula jatuh muflis dan menanggung kerugian. Contoh terbaik ialah keruntuhan Bank Bumiputera dan Sime Bank.

Pengurusan Danaharta Nasional Bhd (Danaharta) telah membeli RM40 bilion NPL dari institusi kewangan di Malaysia yang bermasalah. RM8.4 bilion dari Sime Bank dan RM 6.2 Bilion dari Bank Bumiputera (iaitu 22% dan 16% masing-masing dari keseluruhan NPL yang dibeli oleh Danaharta).

Kesimpulan Ketiga: Sebenarnya, Mahathir telah berbelanja boros dan membazir. Malaysia tidak perlu berhutang berpuluh bilion ringgit dari negara asing jika Mahathir mendengar nasihat Anwar Ibrahim, bekas Menteri Kewangan ketika itu, bahawa projek-projek mega dibekukan dulu ketika ekonomi Malaysia mengalami krisis kewangan yang parah. Tetapi Mahathir berdegil dan mengambil pendekatan harakiri dan bersikap membujur lalu melintang patah. Kesudahannya tiang-tiang seri ekonomi Malaysia telah patah.

Tamat


Last changed: August 26, 1999