[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Diam Mengaku Dia Perlu Selamatkan Banknya

Date: 27 Aug 1999
Time: 02:29:46
Remote User: -

Comments

Ulasan

Atas kepentingannya dalam Commerce Asset yang menelan Bank Bumiputra, maka berita ini mengesahkan bahawa tujuan penggabungan bank-bank ini adalah untuk selamatkan bank-bank termasuk banknya.

============================================================================================================================== Penggabungan untuk selamatkan bank: Daim

KUALA LUMPUR, Khamis - Kerajaan mendesak penggabungan bank dilaksanakan kerana tidak mahu lagi menggunakan wang negara untuk menyelamatkan bank yang lemah atau bermasalah, kata Menteri Kewangan Pertama, Tun Daim Zainuddin.

Beliau berkata, pengalaman sekitar tahun 70-an dan 1980-an yang mana kerajaan terpaksa memperuntukkan berbilion ringgit wang negara untuk menyelamatkan institusi kewangan bermasalah berulang lagi pada krisis ekonomi baru-baru ini.

Beliau yang juga Menteri Tugas-tugas Khas berkata, dalam tempoh krisis baru-baru ini lebih RM40 bilion diperuntukkan bagi mengambil alih hutang tidak berbayar (NPL) dalam sistem perbankan tempatan.

"Justeru, pengukuhan bank tempatan melalui penggabungan adalah amat perlu selaras arah aliran penggabungan industri perbankan sejagat.

"Memang ada pihak tidak mahu bergabung, tetapi mereka perlu sedar bahawa bank perlu diuruskan oleh sekumpulan ahli profesional bukan lagi diuruskan sesebuah keluarga saja," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi dialog selepas memberi ucapan bertajuk 'Peranan Perhubungan Awam Dalam Pemulihan Ekonomi Negara: Perspektif Kerajaan' anjuran Institut Perhubungan Raya Malaysia (IPRM), di sini hari ini.

Bank Negara Malaysia sudah menetapkan sehingga akhir September ini supaya semua institusi kewangan milik tempatan meliputi bank perdagangan, bank saudagar dan syarikat kewangan memeterai memorandum persefahaman untuk bergabung dalam enam kumpulan kewangan teras.

"Bank Negara mahu melihat bank tempatan dikukuhkan bagi mengelakkan bank yang lemah lenyap kuasa pasaran kerana ketidakcekapan mereka sendiri," katanya.

Menjawab soalan sama ada penggabungan akan menyebabkan pihak tertentu mempunyai pengaruh terhadap enam bank teras yang diwujudkan, Daim berkata tidak ada siapa boleh mempengaruhi bank.

"Saya sendiri tidak mampu mempengaruhi bank. Memang saya ada menyuarakan di majlis terbuka supaya bank memberikan pinjaman kepada sektor produktif, tetapi mereka tetap tidak berbuat demikian.

"Ini jelas terlihat daripada peratusan pemberian pinjaman sekarang. Walaupun sudah hampir September, saya tidak nampak bank akan mencecah sasaran pertumbuhan pemberian pinjaman sebanyak 8 peratus tahun ini," katanya.

Daim berkata, beliau juga ada secara terbuka menyebut untuk memecat ketua eksekutif bank yang tidak memberikan pinjaman pada kadar memuaskan, tetapi sehingga kini tidak ada siapapun yang dibuang.

"Ini jelas menunjukkan pendapat bahawa sesetengah pihak boleh mempengaruhi bank adalah meleset," katanya.

Beliau berkata, bank tempatan tidak dapat menafikan bahawa mereka memang perlukan bantuan kerajaan. Penubuhan Pengurusan Danaharta Nasional Bhd, Danamodal Nasional Bhd dan Jawatankuasa Pengurusan Hutang Korporat (CDRC) menunjukkan bank tempatan perlukan bantuan kerajaan.

"Kerajaan tidak mahu selamatkan mereka lagi pada masa depan. Jadi kerajaan mahu mereka bergabung supaya dapat diurus dengan lebih baik," katanya.

Mengulas peranan perhubungan awam ke arah pemulihan ekonomi negara, Daim berkata semua warganegara termasuk pelajar dan pengamal perhubungan awam perlu memainkan peranan perhubungan awam yang baik dengan memberikan maklumat tepat dan betul mengenai negara kepada orang luar.

"Media asing selalu memberikan maklumat berat sebelah mengenai Malaysia. Jadi, kita perlu mainkan peranan untuk menghentikan serangan mereka. Kita tidak boleh biarkan dakwaan mereka tanpa dicabar.

"Setiap warganegara mempunyai tanggungjawab untuk membetulkan pandangan serong media asing dan ia mesti dilakukan dengan segera," katanya.


Last changed: August 27, 1999