[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Janji Palsu Kerana Berita Palsu

Date: 27 Aug 1999
Time: 02:33:27
Remote User: -

Comments

Ulasan

Siapa itu orang keturunan Thai yang pergi jumpa Ku Li. Tak disebutnya siapa. Jadi tidaklah benar berita ini. Hanya rekaan dan palsu sahaja.

Maka janji yang Ku Li pun jadi palsu juga.

Sudahlah jangan bermimpi untuk jadi MB Kelantan.

============================================================================================================================== Ku Li janji selesai masalah kaum Thai

TUMPAT, Khamis - Umno Kelantan memberi jaminan menyelesaikan semua masalah masyarakat keturunan Thai di negeri ini termasuk soal pemilikan tanah, jika rakyat memberi mandat dalam pilihan raya umum akan datang.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Tengku Razaleigh Hamzah, berkata ini berikutan kegagalan kerajaan negeri pimpinan Pas melaksanakan janjinya dalam pilihan raya umum lalu.

Menurutnya, sebagai golongan minoriti, masyarakat keturunan Thai sepatutnya diberi layanan sama rata oleh kerajaan negeri tanpa menafikan hak mereka.

Mereka bukan saja setia, tetapi aktif serta banyak memberi sumbangan terhadap negeri ini dan ada yang berjaya dalam kehidupan, termasuk sebagai pensyarah dan peguam.

"Wakil mereka datang menemui saya baru-baru ini, dan masalah besar yang ditimbulkan ialah mengenai permohonan hak milik tanah masih tidak dapat layanan kerajaan negeri. Ada tanah yang sudah lama dimiliki tapi belum mendapat geran.

"Orang Thai di Kelantan sepatutnya diberi layanan seperti orang lain juga, kerana dia ialah rakyat negeri ini.

"Saya berjanji semua ini akan saya selesaikan jika diberi mandat oleh rakyat Kelantan dalam pilihan raya kali ini," katanya kepada pemberita selepas berucap di Majlis Perpaduan Masyarakat Thai Kelantan di Kampung Terbak, dekat sini, petang ini.

Menurutnya, banyak lagi permohonan masyarakat keturunan Thai yang tidak mendapat layanan kerajaan negeri yang disifatkan sebagai tidak sulit untuk diatasi jika kerajaan BN kembali berkuasa di negeri ini.

Tengku Razaleigh yang juga Ahli Parlimen Gua Musang berkata, sebelum ini Pas pernah menyatakan cadangannya untuk melantik wakil pelbagai kaum di Kelantan menduduki Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Tetapi sehingga sekarang, sama ada masyarakat daripada keturunan Cina, India, Thai, belum dilaksana walaupun mereka mempunyai kuasa berbuat demikian," katanya.

Sementara itu, bercakap kepada pemberita selepas menghadiri perjumpaan dengan pemimpin parti Gerakan negeri di Bangunan Umno di Kota Bharu, hari ini, beliau berkata Umno Kelantan tidak berhasrat mencetuskan keadaan kurang senang atau huru-hara di kalangan rakyat negeri ini menerusi perhimpunan yang dijadual berlangsung di Padang Merdeka pada petang 31 Ogos ini.

Sebaliknya, Tengku Razaleigh berkata perhimpunan berkenaan bertujuan mensyukuri kemajuan yang dicapai selama ini di samping menzahirkan kecintaan terhadap negara sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-42.

Justeru, katanya, rakyat pelbagai kaum tanpa mengira fahaman politik di Kelantan sepatutnya seiring dalam mengenang kemerdekaan negara yang membolehkan semua pihak menjalani kehidupan dengan selesa.


Last changed: August 27, 1999