[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Dakwaan Terpilih

Date: 27 Aug 1999
Time: 04:23:02
Remote User: -

Comments

DUA DITUDUH KERANA MEMINTA WANG UNTUK PILIHAN RAYA KECIL

SHAH ALAM, 27 Ogos (Bernama) -- Dua lelaki hari ini dituduh bersama di Mahkamah Sesyen kerana meminta RM3 juta daripada seorang pengarah syarikat kononnya untuk membiayai kempen calon Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Selangor, kawasan Permatang pada 1997.

Mohd Asri Sahid, 38 seorang pengarah syarikat dari Kampung Medan, Teluk Panglima Garang, Banting dan Mohd Saharuddin Saliman, 37 seorang ejen insurans dari Jalan Taman, Taman Seri Andalas, Klang meminta dibicarakan apabila tuduhan itu dibacakan kepada mereka.

Hakim Mohtarudin Baki menetapkan 30 Sept ini untuk menyebut semula kes itu.

Kedua-dua mereka dikatakan meminta wang itu kononnya untuk membiayai kempen pilihan raya kecil yang ditandingi oleh Datuk Seri Abu Hassan Omar untuk membolehkan beliau mengambil alih jawatan Menteri Besar Selangor setelah Tan Sri Muhammad Haji Muhamad Taib berundur daripada jawatan itu.

Kedua-dua lelaki itu dituduh bersama-sama memujuk seorang pengarah syarikat, Mohamad Zahary Malik, pada lebih kurang 10.30 malam, 14 Mei 1997 di Hotel Concorde, Shah Alam supaya memberikan wang itu dan sebagai balasan kedua-dua lelaki itu berjanji membantu Zahary dalam mendapatkan projek-projek pembangunan di Selangor.

Dengan berbuat demikian kedua-dua lelaki itu dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 3 (a) (i) Akta Pencegah Rasuah 1961 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika didapati bersalah, mereka boleh dikenakan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Razib Othman yang menjalankan pendakwaan bagi Badan Pencegah Rasuah (BPR) meminta supaya mahkamah menetapkan wang ikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin bagi setiap seorang itu memandangkan betapa seriusnya kesalahan itu.

Bagaimanapun Saharuddin merayu kepada mahkamah supaya mengurangkan jumlah wang ikat jamin itu kerana beliau hanya dimaklumkan akan tuduhan terhadapnya itu pagi ini.

Saharuddin juga memberitahu mahkamah yang beliau kini berada dalam jaminan polis.

Tetapi hakim berkata, beliau akan membenarkan permohonan ikat jamin oleh pendakwa memandangkan ia kesalahan serius dan ikat jamin polis itu akan terbatal apabila ikat jamin yang dikenakan oleh mahkamah berkuatkuasa.

-- BERNAMA


Last changed: August 27, 1999