[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Nasib Media Macam Anwar

Date: 27 Aug 1999
Time: 08:51:17
Remote User: -

Comments

PERMOHONAN AKHBAR `THE STAR' DITOLAK DENGAN KOS

KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, menolak dengan kos permohonan Star Papyrus Printing Sdn Bhd untuk menangguhkan perintah penolong kanan pendaftar mahkamah dalam saman fitnah RM150 juta yang dikemukakan oleh Mirzan Mahathir, anak sulung Perdana Menteri.

Hakim Datuk Hashim Yusof menyampaikan keputusan itu dalam kamarnya hari ini selepas mendengar hujah daripada peguam Datuk V.K.Lingam yang mewakili Mirzan dan Mohamed Shafee Abdullah bagi pencetak itu pada Selasa lepas (24 Ogos).

Lingam memberitahu pemberita kemudian yang antara sebab penting dalam menolak permohonan itu ialah kerana hakim mendapati tiada alasan munasabah dalam afidavit pencetak seperti yang diminta oleh undang-undang untuk menangguhkan perintah yang dibuat oleh Terriruddin Mohamed Salleh pada 14 Ogos lepas.

Beliau berkata, Mohamed Shafee telah membuat permohonan bagi menangguh sementara perintah itu sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Hashim dan permohonan itu akan didengar esok oleh hakim yang sama.

Terriruddin telah mengarahkan Star Papyrus untuk memberikan butir-butir lanjut dan lebih baik kepada Mirzan dan jika pencetak itu gagal berbuat demikian sebelum 28 Ogos, maka kenyataan pembelaannya dalam saman itu akan dibatalkan.

Star Papyrus, anak syarikat Star Publications (M) Berhad dan pencetak edisi Kuala Lumpur, akhbar Asian Wall Street Journal telah memfailkan notis rayuan terhadap perintah itu.

Mirzan menyaman pencetak itu terhadap artikel muka depan Asian Wall Street Journal pada 4 Jan lepas yang bertajuk "Mahathir's eldest son limits ambitions" (anak sulung Mahathir menghadkan cita-citanya).

Artikel itu menerangkan kerjaya Mirzan dan bagaimana beliau dibantu oleh bank dan syarikat-syarikat lain di Malaysia dalam mencapai kejayaan. -- BERNAMA


Last changed: August 27, 1999