[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Round Kedua Di Johor

Date: 27 Aug 1999
Time: 08:54:41
Remote User: -

Comments

DR MAHATHIR MULAKAN LAWATAN DUA HARI KE JOHOR

JOHOR BAHARU, 27 Ogos (Bernama) -- Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad tiba di sini petang ini untuk lawatan rasmi dua hari ke Johor.

Ketibaan Perdana Menteri di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Ismail di Senai disambut oleh Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman dan anggota-anggota Exco Kerajaan Negeri.

Yang turut hadir ialah Menteri Belia dan Sukan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau kemudian berkereta menuju ke kawasan lapang Syarikat Telekom Malaysia berhampiran lapangan terbang itu untuk melancarkan Unit Pemuda Gerak Gempur Umno bermotosikal.

Dr Mahathir akan menghadap Sultan Johor di Istana Bukit Serene sebelum menghadiri majlis santapan dengan Sultan Johor di Istana Besar.

Esok, Perdana Menteri akan menghadiri pelancaran majlis menandatangani perjanjian penswastaan Projek Pembangunan Pesisiran Tanjung Puteri. Perjanjian itu ialah antara kerajaan negeri Johor dan Konsortium Hujung Tanah Sdn Bhd.

Pada pukul 11.30 pagi, beliau akan merasmikan Makmal Teknologi Marin, melawat Makmal Einstein dan melancarkan tema universiti "Discovery University" di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai.

Dr Mahathir kemudian akan menutup Kejohanan Badminton Piala Perdana 1999 di Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Johor Baharu di sini pada pukul 3.30 petang.

Pada sebelah malam, beliau akan menghadiri jamuan malam di Saujana, kediaman rasmi Menteri Besar Johor, sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur. -- BERNAMA


Last changed: August 27, 1999