[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Bayangan Guan Eng Hantui MCA Melaka

Date: 27 Aug 1999
Time: 08:56:32
Remote User: -

Comments

MCA PERJELASKAN DASAR BN KEPADA PENGUNDI CINA

MELAKA, 27 Ogos (Bernama) -- MCA akan terus memperjelaskan dasar-dasar kerajaan Barisan Nasional (BN) kepada pengundi Cina di Kota Melaka bagi membendung isu pembebasan bekas anggota Parlimen Kota Melaka dari DAP Lim Guan Eng dijadikan modal oleh parti pembangkang itu.

Naib Presiden MCA, Datuk Dr Fong Chan Onn berkata MCA menerusi wakil-wakil mereka akan terus berinteraksi di samping mengadakan majlis dengan pengundi Cina di kawasan itu.

"Hampir setiap hari program dianjurkan sejak dahulu lagi dan pengundi di kawasan itu memahami usaha kami hasil daripada maklumat balas yang diterima," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Internet Sekolah Rendah Kebangsaan Cina, di sini hari ini.

Fong, yang juga Timbalan Menteri Pendidikan, mengingatkan pengundi Cina supaya jangan diheretkan dengan dilema Guan Eng kerana beliau (Guan Eng) telah melampaui sempadan dengan perbuatannya mencabar institusi kehakiman.

"Sebaliknya kita harus melihat masa depan anak-anak kita dengan terus bekerjasama dengan kaum-kaum lain," katanya.

Guan Eng, anggota Parlimen selama tiga penggal, dibebaskan dari Penjara Kajang Rabu lepas selepas menjalani tempoh setahun daripada hukuman penjara 18 bulan kerana pensabitan mengikut Akta Hasutan dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.-- BERNAMA


Last changed: August 27, 1999