[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Lagi Janji Pilihanraya Di Tabur

Date: 27 Aug 1999
Time: 08:59:58
Remote User: -

Comments

MAKTAB DICADANG JADI KAMPUS SEMENTARA UNIVERSITI DI KELANTAN

BACHOK, 27 Ogos (Bernama) -- Maktab Perguruan Kota Baharu (MPKB) di Pengkalan Chepa, dicadang dijadikan kampus sementara universiti pertama di Kelantan yang akan dibina sekiranya Barisan Nasional kembali memerintah negeri itu selepas pilihan raya umum akan datang. Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Tengku Razaleigh Hamzah berkata Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad telah bersetuju dengan cadangan berkenaan, sekiranya rakyat memberi mandat untuk BN mengambi alih pemerintahan daripada PAS.

"Pada Selasa lepas dalam pertemuan dengan perdana menteri, saya mengemukakan kertas kerja sekumpulan cendekiawan dari universiti-universiti tempatan mengenai cadangan penubuhan universiti di Kelantan itu," katanya kepada pemberita selepas menemui penduduk di Kampung Gajah Mati, Tawang di sini, hari ini.

Tengku Razaleigh berkata, kampus induk universiti itu dicadangkan dibina di kawasan seluas 280 hektar di Tangok di sini dan akan mengambil masa beberapa tahun untuk disiapkan.

Beliau berkata, sementara menunggu kampus induk itu siap, kerajaan akan melengkapkan kemudahan di MPKB sejajar dengan keperluan pembelajaran universiti.

"Bakal-bakal guru yang menjalani latihan perguruan di MPKB boleh dipindahkan ke maktab-maktab lain di pantai barat semenanjung sekiranya ia dipersetujui oleh Kementerian Pendidikan," katanya. Tengku Razaleigh berkata rakyat Kelantan sebenarnya telah lama mengharapkan sebuah universiti dibina di negeri itu bagi membolehkan anak-anak mereka belajar di tempat sendiri kerana selama ini mereka terpaksa merantau ke negeri-negeri lain untuk melanjutkan pelajaran.

"Oleh tidak mendapat kerjasama kerajaan negeri pimpinan PAS kepada kerajaan pusat, maka perkara ini (penubuhan universiti) tertangguh," katanya.

Beliau berkata penubuhan universiti yang akan berteraskan kepada sains dan teknologi itu boleh meningkatkan lagi penguasaan ilmu rakyat Kelantan. --BERNAMA


Last changed: August 27, 1999