[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

KENYATAAN AKHBAR,  Majlis Parti Alternatif Wilayah Persekutuan

Date: 27 Aug 1999
Time: 21:05:13
Remote User: -

Comments

KENYATAAN AKHBAR Majlis Parti Alternatif Wilayah Persekutuan yang terdiri daripada Parti Islam Se Malaysia (PAS) Parti Keadilan Nasional (KeADILan), Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) akan menganjurkan program bersama dalam rangka untuk mendekati rakyat dan memperjelaskan dengan lebih kukuh mengenai kerjasama empat parti gabungan.

Kerjasama di kalangan parti-parti ini terbentuk bukan semata-mata bagi menghadapi pilihanraya tetapi ia digerakkan dengan penuh kesedaran yang dikongsi bersama untuk menggantikan pemerintahan tidak adil Kerajaan Barisan Nasional .

Keadaan tidak adil tersebut telah terjelma sekian lama dengan wujudnya begitu banyak penyelewengan ekonomi, penindasan politik, kepincangan masyarakat dan kezaliman undang-undang serta penganiyaan terhadap tokoh tertentu.

Kebangkitan rakyat sudah meletus, kami menyahut seruan pelbagai kalangan rakyat yang terdiri daripada bekas Hakim yang ditindas, peguam, doktor, jurutera, ahli perniagaan dan ahli akademik sehingga kepada penjaja jalanan yang mahukan perubahan kepada sistem pemerintahan negara yang sudah pincang.

Sehubungan itu, dalam mengajak masyarakat menghayati perjuangan kami, Majlis Parti Alternatif Wilayah Persekutuan menjemput media membuat liputan lawatan pemimpin-pemimpin kami dan program seperti berikut:

a) 28hb Ogos 1999 (Sabtu), jam 10.00 pagi, lawatan ke Pasar Seni. b) 31hb Ogos 1999 (Selasa), jam 9.00 pagi lawatan ke Pasar Chow Kit Road. c) 31hb Ogos 1999 (Selasa), jam 9.00 malam, ceramah di Taman SPPK, Segambut sempena menyambut pembebasan Timbalan Setiausaha Agung DAP, En Lim Guan Eng.

Gabungan parti-parti politik dalam Majlis Parti Alternatif ini menunjukkan komitmen dan ikrar kami untuk memastikan demokrasi tulen tertegak semula setelah dimusnahkan dengan rakusnya oleh pemerintah yang ada.

Kami menggesa rakyat supaya bersikap lebih rasional dan mengetepikan kesetiaan membabi buta terhadap seorang pemimpin yang telah melakukan dosa dan penyelewengan.

Mohamad Rashidi Hassan Setiausaha Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan merangkap Setiausaha Majlis Parti Alternatif Wilayah Persekutuan


Last changed: August 27, 1999