[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

PAS tidak percaya batal pengkorporatan hospital

Date: 27 Aug 1999
Time: 21:10:01
Remote User: -

Comments

PAS tidak percaya batal pengkorporatan hospital Oleh HASHIM ABDULLAH

KUANTAN: Presiden PAS, Dato' Haji Fadzil Mohd Noor menegaskan, PAS tidak yakin dengan janji kerajaan membatalkan hasrat mengkorporatkan hospital di negara ini.

"PAS tak percaya kerana option telah disiapkan dan syarikat-syarikat terbabit sudah dilantik, sebab itu kita tak percaya, janji itu menarik pengundi dan selepas pilihan raya jika mereka berkuasa pengkorporatan dilakukan," katanya.

Presiden PAS berucap semasa memberi 'Amanat Presiden' dalam agenda khas di Konvensyen PAS Pahang, di sebuah hotel terkemuka, di Kuantan, Ahad lalu, sempena Pelancaran Manifesto PAS Pahang yang turut disertai pakar-pakar dari kalangan pimpinan PAS di peringkat pusat.

Konvensyen memberikan tema 'Ke arah Menegakkan Kerajaan Beramanah Dan Berkhidmat Untuk Rakyat' disertai jentera pilihan raya PAS peringkat negeri Pahang dan kawasan.

Sementara itu, dalam ucapannya, Dato' Fadzil mengingatkan seluruh organisasi parti meningkatkan komitmen melalui kesepaduan perancangan dan tindakan bagi menghadapi pilihan raya yang boleh berlaku bila-bila masa dari sekarang.

Selain itu katanya, pasukan kerja PAS perlu juga bersedia menghadapi kemungkinan bahawa pilihan raya kali ini adalah terburuk sebagaimana yang dinyatakan sendiri Presiden Umno, Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad.

Ustaz Fadzil berkata, parti-parti alternatif terutama PAS tidak mampu melakukan tindakan kotor dalam pilihan raya kerana tidak mempunyai kemudahan sebagaimana Umno BN yang menguasai jentera kerajaan.

"PAS begitu bimbang pilihan raya kotor disebabkan Dr. Mahathir bimbang sokongan dan keyakinan rakyat kepada PAS yang begitu meningkat. Dr. Mahathir sedang merancang untuk menghalang rakyat mengundi PAS," katanya.

Tambah Presiden, Umno melalui medianya cuba memberi gambaran seburuknya kepada PAS dengan mengaitkan perkara yang tidak baik kepada pembangkang.

Presiden PAS mengulas cubaan media baru-baru ini yang mengaitkan isu skim cepat kaya kononnya membabitkan pimpinan PAS.

Mengenai sokongan rakyat yang begitu memberangsangkan terhadap PAS, Ustaz Fadzil mengingatkan petugas PAS jangan leka dan lalai.

"Jangan terlalu confiden sehingga meninggalkan kerja, kita ada pengalaman pada pilihan raya 1969 di Perlis, apabila mood rakyat memilih pembangkang (PAS) ada petugas tak mengundi, petugas cuai, menyebabkan calon PAS ketika itu, Abu Bakar Hamzah kalah dengan lima undi saja, ini kita tak mahu," katanya.


Last changed: August 27, 1999