[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Pelajar ITM dipaksa sambut Mahathir

Date: 27 Aug 1999
Time: 21:10:50
Remote User: -

Comments

Pelajar ITM dipaksa sambut Mahathir

KUALA LUMPUR: Pelajar Institut Teknologi Mara (ITM) dipaksa hadir di Stadium Melawati, Shah Alam untuk mendengar ucapan Perdana Menteri, Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad sempena Perhimpunan Perdana Siswazah institut itu.

Perkara itu didedahkan menerusi surat daripada pengetua-pengetua kolej kepada penghuni asrama yang mewajibkan pelajar hadir dan kehadiran mereka direkodkan.

Pada asalnya, program anjuran Persatuan Alumni ITM yang diterajui oleh Dato' Ibrahim Ali adalah untuk bekas pelajar institut itu tetapi kemudiannya kehadiran diwajibkan kepada semua pelajar yang sedang belajar sekarang.

Menurut salah seorang pelajar ITM yang enggan namanya didedahkan, terdapat kira-kira 10,000 pelajar ITM yang berada di kolej dengan majoriti daripadanya adalah pelajar semester satu, dua atau tiga.

"Saya kesal kerana pelajar diperalatkan untuk menghadiri program itu yang sudah semestinya menjadi sebahagian daripada kempen politik Umno," katanya.

Selain itu, ITM juga menangguhkan cuti semester daripada 21 hingga 29 Ogos kepada 4 hingga 11 September untuk membolehkan Mahathir mendapat sambutan ramai, katanya.

Menurutnya, beliau dimaklumkan kira-kira seratus buah bas City Liners telah ditempah untuk membawa pelajar-pelajar ITM menghadiri majlis itu.

"Sepatutnya pelajar tidak diwajibkan hadir kerana ia bukanlah membabitkan mereka dan tidak ada kena mengena dengan persatuan alumni," tambahnya lagi.

"Ibrahim sepatutnya mencari jalan lain untuk membodek Mahathir, bukannya memaksa pelajar menghadiri program itu," katanya.


Last changed: August 27, 1999