[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Dr. Mahathir izin dipanggil Firaun

Date: 27 Aug 1999
Time: 21:11:59
Remote User: -

Comments

Dr. Mahathir izin dipanggil Firaun Susunan: Abu Bakar Rashid (fasehah92@hotmail.com)

SEKALI lagi media-media asing memetik kata-kata Perdana Menteri Dato' Seri Dr. Mahathir yang tidak boleh ditafsirkan dengan apa-apa tafsiran lain dan terpaksa ditafsirkan sebagai suatu pengakuan bahawa beliau adalah Fir'aun. Kali pertama, The Straits Times Singapura (ST) 21 Julai lalu memetik Dr. Mahathir sebagai berkata: "Saya adalah Maha Fir'aun" (I am the great Pharaoh).

Kata-kata yang sama juga dipetik oleh akhbar tempatan pro-Barisan Nasional, Berita Harian Selasa 20 Julai lalu di muka surat keduanya dalam satu sambungan berita dari muka hadapan akhbar itu.

Kali ini, majalah Newsweek 30 Ogos pula memetik apa yang terpaksa ditafsirkan sebagai pengakuan Dr. Mahathir bahawa beliau adalah Fir'aun. Majalah itu memetik Dr. Mahathir sebagai berkata: "It is the residence of the prime minister of Malaysia, not of Dr. Mahathir the Pharaoh" (Ia adalah kediaman perdana menteri Malaysia, bukan Dr. Mahathir si Fir'aun).

Tidak cukup dengan itu, dalam keluaran 24 Ogos pula, ST memetik Dr. Mahathir sebagai berkata: "They can call me Pharaoh if they like" (Mereka boleh panggil saya Fir'aun kalau mereka suka).

Tidak diketahui adakah Dr. Mahathir mengikut jejak langkah suruhannya, Dato' Ibrahim Ali yang dipetik oleh ST dan juga agensi berita Bernama sebagai merelakan dirinya dipanggil "raja katak". Ini kerana, dalam Berita Harian 20 Julai lalu, Dr. Mahathir hanya dipetik sebagai berkata "Saya adalah Maha Fir'aun". Beliau tidak didapati menyuruh mana-mana pihak memanggilnya Fir'aun. Tetapi selepas suruhannya Ibrahim merelakan dirinya dipanggil "raja katak," tiba-tiba Dr. Mahathir pula membuat kenyataan yang kelihatan mengizinkan dirinya dipanggil Fir'aun.

Tidak diketahui adakah Dr. Mahathir mahu dirinya dikenang sebagai Fir'aun apabila beliau meninggal kelak, sedangkan tiga orang perdana menteri yang terdahulu dikenang dengan nama yang baik-baik seperti Bapa Kemerdekaan, Bapa Pembangunan dan Bapa Perpaduan.

Tidak diketahui juga adakah jawatankuasa yang kononnya anti-fitnah tidak akan mengambil apa-apa tindakan apabila rakyat Malaysia yang sudah tidak sabar lagi dengan ketidakadilan, rasuah dan kronisme memanggil Dr. Mahathir dengan panggilan Fir'aun. Tidak diketahui juga adakah media massa arus perdana seperti RTM, TV3, Berita Harian dan Utusan Malaysia akan mengizinkan panggilan Fir'aun kepada Dr. Mahathir apabila beliau sendiri dipetik oleh ST 24 Ogos 1999 sebagai berkata: "They can call me Pharaoh if they like".

Juga tidak diketahui adakah Dr. Mahathir sedar bahawa Fir'aun adalah lambang penentangan, kekafiran dan penderhakaan terhadap Allah s.w.t. Tidak diketahui juga adakah Dr. Mahathir tahu bahawa di kemuncak kedurjanaannya, Fir'aun mendakwa dirinya sebagai Tuhan sehingga ditewaskan oleh angkatan dan kekuatan yang dipimpin oleh Nabi Musa 'a.s. yang antara lain berjuang menentang kezaliman Fir'aun terhadap sesama manusia.

Ketika ST 24 Ogos 1999 memetik Dr. Mahathir sebagai berkata "They can call me Pharaoh if they like," Berita Harian Singapura (BH) pada tarikh yang sama pula melaporkan: "Tengkaran hangat kian mencengkam Malaysia berikutan pendedahan baru-baru ini bahawa Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim menyorok sejumlah dokumen sulit kerajaan di luar negara yang kononnya mengancam keselamatan negara."

Akhbar itu melaporkan, Anwar mengaku dokumen sulit dalam simpanannya berkait dengan amalan rasuah dan penyelewengan lain membabitkan pemimpin kerajaan dan menteri.

Anwar juga, lapor BH, menyeru rakyat Malaysia supaya mendesak siasatan dan tindakan sewajarnya diambil terhadap para pemimpin yang rasuah dalam kerajaan Tun Daim Zainuddin dan Dr. Mahathir.

BH seterusnya melaporkan, dokumen dalam simpanan Anwar itu diserahkan oleh sesetengah kakitangan kanan kerajaan, termasuk pengarah syarikat, pegawai bank dan orang perseorangan tertentu yang yakin boleh digunakan terhadap pemimpin dan menteri kabinet yang terbukti rasuah.

Sesetengah dokumen itu, lapor BH, membabitkan senarai kolatoral daripada menteri-menteri untuk memohon pinjaman bank - yang sekaligus membuktikan jumlah harta sebenar milik mereka.

BH melaporkan naib presiden Parti Keadilan berhujah bahawa dokumen rahsia dalam simpanan Anwar itu tiada kaitan dengan keselamatan negara."Isu itu bukan rahsia rasmi. Ia adalah rahsia sesetengah pemim-pin," akhbar itu memetik beliau sebagai berkata.


Last changed: August 27, 1999