[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Dr. Mahathir cuma jawab, tapi tidak nafi

Date: 27 Aug 1999
Time: 21:15:18
Remote User: -

Comments

Dr. Mahathir cuma jawab, tapi tidak nafi

BAGAI yang ditunggu-tunggu Dr. Mahathir belum membuat penapian terhadap aduan polis yang dibuat oleh bekas Timbalan Presiden Umno berhubung dengan apa yang dikatakan penyelewengan Tun Daim, Dato' Seri Rafidah Aziz dan lain-lain.

Bagaimanapun dia sudah menjawab aduan polis itu tetapi dia tidak menafikan semua tohmah yang ditujukan kepadanya dan dia pula menapikannya.

Sebaliknya dia berdalih bahawa segala aduan tidak sebagai bukti si pengadu hendak menggulingkannya dan menggulingkan kerajaan.

--------------------------------------------------------------------------------

Mengapa ada pendita dan maha guru yang tidak merasa malu beroleh pemimpin dan ketua kerajaan seperti itu? Mengapa ada peguam yang tidak merasa apa-apa dengan orang macam itu?

--------------------------------------------------------------------------------

Orang-orang seperti Dato' Seri Abdullah Badawi dan Tan Sri Khalil Yaakub suka benarlah dengan jawapan seperti itu. Tetapi apakah orang-orang seperti itu sudah puas hati dan sudah lepas dari tanggungjawab terhadap rakyat, negara dan agama?

Oran ramai tidak mahu jawapan yang loyar buruk, temberang dan auta keling. Jawapan Dr. Mahathir itu bukan satu jawapan tetapi helah untuk tidak menjelaskan apa yang berlaku.

Yang orang mahu tahu ialah mengapa Dr. Mahathir tidak menjelaskan betapa Peguam Negara dikatakan telah berpuas hati tentang adanya kes Rafidah Aziz menganugerah saham berjuta-juta kepada menantunya.

Laporan Peguam Negara itu dikatakan telah disampaikan kepada Timbalan Perdana Menteri ketika itu. Timbalan Perdana Menteri pula telah menyampaikannya kepada Perdana Menteri untuk tindakan tetapi belum ada tindakan.

Adalah adat kerajaan sekarang betapa BPR hanya bertindak mendakwa menteri dan pembesar setelah mendapat lampu hijau dari Perdana Menteri. Adapun orang biasa, terserahlah kepada budi bicara BPR.

Hingga kini tidak ada tindakan. Sebaliknya Rafidah Aziz masih menjadi menteri kesayangan Dr. Mahathir.

Kes Rafidah bukan sekadar diketahui melalui aduan yang dibuat oleh bekas TPM tadi, malah ia sudah diketahui melalui jawapan di Parlimen. Parlimen telah diberi tahu betapa Menteri itu adalah pengerusi mesyuarat yang meluluskan saham berjuta tadi kepada menantunya.

Sehingga ini perkara itu seolah-olah tidak pernah berlaku. Tetapi negara ini tidak pula teragak-agak bertindak terhadap orang lain sekalipun keterlibatannya tidak sebesar anak menantu Rafidah itu.

Demikian juga dengan aduan terhadap Tun Daim. Aduan yang dikatakan membawa ringgit ke Switzerland dengan menggunakan dua kerusi MAS. Dan bermacam-macam lagi aduan tetapi tidak ada sebarang tindakan yang diambil oleh Dr. Mahathir terhadap Tun Daim.

Yang terbaru ialah dakwaan betapa Tun Daim dikatakan menggunakan nama tiga orang korporat Tan Sri Wan Azmi Hamzah, Tan Sri Halim Saad dan Tan sri Tajuddin Ramli untuk beberapa hartanya.

Surat yang dikatakan ditulis oleh nama-nama di atas telah disiarkan untuk tatapan umum. Surat tadi menyatakan mereka menerima jumlah yang begitu besar dari Tun Daim dan berjanji untuk memelihara amanah itu.

Semua media tiba-tiba kelu dan bisu. Langsung tidak melayan dan mengulasnya sedang wartawan masing-masing adalah terkenal aktif dan memainkan peranan besar dalam memajukan penyebaran maklumat sebelum ini dan selepas ini.

Mereka lazimnya menjadi murai bila Tok Guru Nik Aziz tersebut tentang wanita cantik dan wanita huduh yang terlalu remeh, tetapi masing-masing tuli dalam kes Dr. Mahathir yang membisu dalam kes Rafidah dan Tun Daim.

Seperti yang disebut tadi Dr. Mahathir hanya mengalih isu dengan tidak menjawab tohmah terhadapnya tetapi menempelak bekas timbalannya itu mengumpul segala salah lakunya dan menteri-menterinya untuk didedah dan seterusnya menggulingkannya.

Jawapannya mungkin menarik. Tetapi ibarat satu peperiksaan, jawapan yang tidak betul sekali sedap dan menarik, tidak akan diberi markah dan tidak akan lulus peperiksaan.

Ataupun ibarat satu mayat yang disoal Munkar dan Nakir dalam kubur. Katakanlah kedua malaikat itu bertanya mengapa mayat itu semasa hidup dulu berzina, maka mayat itu menjawab bahawa dia ditipu oleh iblis.

Jawapan itu betul. Memang iblis tipu dan pedaya dia.

Tetapi adakah malaikat yang berdua itu bersetuju dengan jawapan itu dan melepaskan dia bebas?

Walaupun benar iblis yang mendorongkan dia berbuat begitu, tetapi dia tetap dipukul oleh malaikat berdua tadi, kerana jawapan yang diberinya bukan jawapan yang dikehendaki.

Sekalipun mayat itu hakim, pendakwa raya, perdana Menteri, polis dan lain-lain, jawapan loyar buruk sekalipun munasabah pada pendengaran manusia biasa tetapi Munkar dan Nakir tidak melayannya.

Jawapan loyar buruk Dr. Mahathir itu adalah jawapan standard orang-orang Umno dari dulu dan sekarang apabila berhadapan dengan soalan-soalan yang dikemukakan oleh orang ramai.

Contoh terbaik ialah jawapan yang diberikan oleh Tun Ghafar Baba kepada wartawan dan pejuang hak asasi manusia di Jakarta berhubung dengan tohmah yang dihadapkan kepada bekas Timbalan Presiden Umno yang dipenjarakan itu.

Lain yang ditanya lain yang dijawabnya. Nasib baik dia orang Malaysia. Kalau dia orang Indonesia juga, maka tidak tahu kita, apa akan jadi padanya. Maka dengan jawapan bodoh itu sekalipun menarik, dia disuruh berhambus saja dari Indonesia dan membawa hati setuju dan puas hati dengan jawapan itu. Orang Indonesia yang handal-handal itu pun dirasakan oleh Tun Ghafar seperti Umno juga.

Biasalah Umno menjawab hujah ceramah pembangkang dengan auta mamak tadi. Jika pembangkang mendedahkan dengan bukti dan hujah tentang skendal dan rasuah menteri-menteri, maka apa jawapan Umno?

"Mereka tak dapat jadi menteri, lalu mereka dengki."

Kalau ditegur tentang adanya tokoh Umno yang suka berzina dan kaki perempuan, maka apa jawapannya, 'Biasalah bagi orang besar suka main perempuan.'

Atau kadang-kadang mereka kata: 'Jika mereka berkuasa nanti, mereka pun macam itu juga.'

Jika jawapan itu datang dari orang bodoh Umno di kaki lima dan di ulu-ulu yang sangat fanatik dengan pemimpin dan partinya, boleh tahan juga. Tetapi pemimpin Umno yang dikira sebagai tokoh unggul abad ini dan dikenali dengan ucapan serius dan berpandangan jauh, bila menjawab dakwaan sama seperti orang kaki lima juga, apakah yang dapat rakyat harapkan lagi?

Mengapa ada pendita dan maha guru yang tidak merasa malu beroleh pemimpin dan ketua kerajaan seperti itu? Mengapa ada peguam yang tidak merasa apa-apa dengan orang macam itu?

Apakah imam dan lulusan Azhar yang hafal hadis dan firman tidak merasa tebal muka beroleh ketua tadbir yang tidak mampu menjawab soalan-soalan secara bertanggungjawab?

Bangsa yang merdeka dan berdaulat memerlukan rakyat yang kenal antara batu dan kaca. Rakyat yang bermaruah ialah yang dapat mendengar penjelasan dan jawapan mengenai masalah mereka dengan tepat dan jelas.

Persoalan yang didedahi oleh bekas TPM melalui aduan kepada polis itu adalah untuk mencari kebenaran dan menegakkan keadilan. Sekalipun orang politik menggunakan bukti penyelewengan untuk menjatuhkan seorang pemimpin dan kerajaan, apakah salah baginya menggunakan bahan bukti penyelewengan itu?

Jika tujuan bekas TPM tadi mengumpulkan bahan-bahan itu untuk menjatuhkan Dr. Mahathir, walau ia tanda tidak setia kepada Dr. Mahathir, maka itu tidak salah dan boleh disokong. Dia mungkin berhadapan dengan masalah seperti dipenjara dan lain-lain, tetapi ini tidak bererti Dr. Mahathir diakui betul juga.


Last changed: August 27, 1999