[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Malaysia Jadi Pulau

Date: 27 Aug 1999
Time: 21:59:21
Remote User: -

Comments

Terusan Kra tidak jejas Malaysia

KUALA LUMPUR, Jumaat - Pembinaan terusan di Segenting Kra memberi kebaikan kepada Malaysia, khususnya mengurangkan pencemaran dan kesesakan di perairan Selat Melaka.

Pakar geologi dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Ibrahim Komoo, berkata dengan adanya terusan itu, bilangan kapal yang melalui Selat Melaka berkurangan sekali gus mengurangkan pencemaran di perairan itu.

Mengulas kebimbangan pihak tertentu bahawa pembinaan terusan itu menyebabkan Malaysia menjadi pulau, beliau berkata perkara itu tidak akan berlaku kerana saiz Malaysia jauh lebih besar berbanding Segenting Kra.

Selain itu hanya sebahagian kecil tanah dikorek untuk membina terusan itu dan ia tidak cukup untuk memisahkan Semenanjung Malaysia dengan Thailand.

Katanya, walaupun secara kasar, Semenanjung nanti seolah-olah berpisah dengan Thailand, kedua-dua negara tetap berhubungan kerana Segenting Kra itu sebenarnya tebal berkilometer ke dasar laut.

"Secara geologinya, Malaysia-Thailand tidak berpisah hanya kerana pembinaan terusan ini. Membina terusan bukanlah sesuatu yang baru. Sudah ada beberapa terusan besar di dunia seperti Panama dan Suez.

"Terusan itu membabitkan kepakaran kejuruteraan dan sama seperti membuat sebuah sistem sungai. Ia tidak menjejaskan struktur tanah apalagi dengan kedalaman setakat 15 hingga 20 meter," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau mengulas langkah Thailand yang akan membina Terusan Kra, menghubungkan Lautan Hindi dan Teluk Thailand. Terusan bernilai RM80.18 bilion itu akan membolehkan kapal dihubungkan ke bahagian lain dunia tanpa melalui Malaysia dan Singapura.

Menteri Sains Thailand, Arthit Urairath berkata, Terusan Kra akan mula dibina dalam tempoh tiga tahun tetapi pegawai kerajaan, pakar akademik dan bank dilaporkan berkata, projek itu mungkin diluluskan seawal-awalnya tahun ini.

Rancangan membina terusan di Segenting Kra yang terletak di selatan Thai dan bersempadan dengan Malaysia itu dipertimbangkan sejak beberapa dekad lalu, tetapi ia tidak dilaksanakan kerana kos dan kesannya kepada alam sekitar.

Terusan Kra menawarkan laluan pilihan lebih singkat dan murah bagi hubungan perkapalan Timur-Barat. Ketika ini, kapal dari Timur ke Barat atau sebaliknya terpaksa menggunakan Selat Melaka yang sesak dan berbahaya.

Akhbar Business Daily menganggap terusan yang memintas laluan melalui Singapura itu mungkin mengancam kedudukan republik berkenaan sebagai pelabuhan utama di rantau ini.

Di PELABUHAN KLANG, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Ling Liong Sik, berkata cadangan pembinaan terusan itu mungkin hanya membabitkan pergerakan kapal tangki besar, sekali gus tidak menjejaskan operasi pelabuhan di negara ini.

Katanya, beliau difahamkan Thailand merancang pembinaan terusan berkenaan hanya untuk kapal jenis itu.

Beliau berkata, ketiadaan kapal tangki gergasi di Selat Melaka boleh mengurangkan kesesakan di perairan itu.

"Selain itu, kapal tangki juga tidak banyak menggunakan pelabuhan tempatan. Jika cadangan itu diteruskan dan terusan terbabit dibina, ia sudah tentunya tidak menjejaskan kita sama sekali," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Presiden China Ocean Shipping Corporation, Kapt Wei Jia Fu di Pelabuhan Barat di sini, hari ini.

Dr Ling berkata, cadangan membina terusan itu bukan sesuatu yang baru sebaliknya diilhamkan sejak dua dekad lalu.

"Saya masih ingat ketika Sultan Azlan Shah yang ketika itu menjadi Yang di-Pertuan Agong melawat Thailand, ide yang sama turut dibincangkan di antara kedua-dua negara.

"Bagaimanapun, ketika itu konsep yang diutarakan Thailand ialah menempatkan kapal tangki besar di pesisir pantai, memindahkan minyak ke loji penapisan yang kemudiannya disalurkan merentasi Segenting Kra menggunakan paip, ke kapal lain," katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, jika Thailand memutuskan pembinaan terusan yang sama konsep dengan di Panama dan Suez, Malaysia akan cuba menyesuaikan diri dengan keadaan baru itu.

"Kita akan mengkaji cadangan Thailand itu dan melihat perkembangan terbaru," katanya.


Last changed: August 27, 1999