[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Jiwa BN Belum Merdeka

Date: 28 Aug 1999
Time: 10:16:25
Remote User: -

Comments

Ulasan

Perhimpunan ini terpaksa diadakan kerana terdapat petunjuk-petunjuk bahawa jiwa-jiwa BN tidak merdeka. Mereka menjadi hamba perut dan hamba nafsu.

============================================================================================================================== PERHIMPUNAN JIWA MERDEKA OLEH PEMUDA BN

KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) -- Pemuda Barisan Nasional (BN) akan mengadakan Perhimpunan Jiwa Merdeka di Dewan Tun Hussien Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra di sini Isnin ini.

Setiausaha Pemuda BN, Zulkifli Alwi berkata, perhimpunan itu yang bermula pada pukul 9 pagi dijangka dihadiri 500 wakil Pergerakan Pemuda 14 parti komponen BN.

Perhimpunan berbentuk Persidangan Meja Bulat itu akan disertai beberapa tokoh politik veteran tanah air, antaranya bekas Menteri Luar Tan Sri Ghazali Shafie dan Datuk Dr Rais Yatim, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Persidangan itu akan membincangkan prinsip Rukun Negara dan pada akhir sesi para peserta akan melulus dan melafazkan satu sumpah Jiwa Merdeka Pemuda BN.

Beliau berkata sumpah itu menyatakan komitmen Pemuda BN terhadap misi untuk mempertahankan keamanan, kestabilan dan keharmonian negara daripada ancaman dalam dan luar negara.

Perhimpunan Meja Bulat itu akan menggariskan keprihatinan Pemuda BN untuk mempastikan penyertaan generasi muda dalam proses berpolitik dibuat dalam suasana matang dan bertanggungjawab tanpa menjejaskan pencapaian negara selama ini, katanya.

Pemangku Pergerakan Pemuda BN merangkap Pemangku Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Datuk Hishammuddin Tun Hussein akan memulakan persidangan itu dengan ucap utama sementara Ketua Pergerakan Pemuda MCA Datuk Ong Tee Keat akan mempengerusikan majlis itu.

Sumpah Jiwa Merdeka itu yang berlandaskan prinsip-prinsip Rukun Negara adalah komitmen yang akan dijadikan asas kepada satu plan bertindak Pergerakan Pemuda BN yang akan dirangka di Konvesyen Pergerakan Pemuda BN di Tuaran, Sabah pada 15 hingga 19 Sept ini, kata Zulkifli.

Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad akan menyampaikan syarahan perdana di konvesyen itu pada 18 Sept.

Konvesyen itu dijangka dihadiri 450 orang terdiri daripada pemimpin pergerakan pemuda parti-parti komponen BN.

-- BERNAMA


Last changed: August 28, 1999