[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Ketul hitam berentap antara mereka.

Date: 28 Aug 1999
Time: 10:25:17
Remote User: -

Comments

Ulasan

Nampaknya pandangan rakyat menjadi kenyataan mengenai isu ini. Memang benar MIC akan tolak kerjasama IPF ini. Bagi Pandithan, senator sudah cukup.

======================================================================================================================================================== PEMUDA IPF BANTAH KENYATAAN SAMY VELLU

KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) -- Pergerakan Pemuda Barisan Progresif India (IPF) hari ini membantah kenyataan Presiden MIC Datuk Seri Samy Vellu yang menolak sokongan dan sumbangan IPF pada pilihan raya akan datang.

Ketua pergerakan pemuda parti itu M. Sambanthan berkata, beliau kesal dengan kenyataan itu dan berpendapat hanya Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad selaku Presiden Barisan Nasional (BN) yang berhak memutuskan sama ada mahu menerima sokongan dan sumbangan IPF.

"IPF dalam Perhimpunan Agungnya pada 1 Ogos lepas memutuskan untuk memberi sokongan padu kepada BN dan calonnya walaupun kami bukan parti komponen BN tetapi kenyataan yang dibuat oleh Presiden MIC itu tidak wajar kerana hanya Perdana Menteri yang boleh membuat keputusan itu," katanya.

Sehubungan itu IPF Pusat akan menghantar satu memorandum kepada Perdana Menteri berhubung kenyataan Samy Vellu itu, katanya kepada BERNAMA di sini.

Menurut beliau, IPF turut memainkan peranan dalam memastikan kemenangan calon BN ketika pilihan raya 1995 dan buktinya Perdana Menteri telah melantik Presiden IPF M.G. Pandithan sebagi Senator selepas pilihan raya itu.

Beliau juga menolak dakwaan Samy Vellu yang IPF tidak mempunyai cukup keanggotaan. Sambanthan sebaliknya mendakwa IPF mempunyai 500,000 anggota berdaftar di seluruh negara.

"Kenyataan Samy Vellu akan melemahkan semangat dan komitmen kami untuk membantu kemenangan calon BN sedangkan jentera dan kempen pilihan raya kami untuk BN telahpun kami gerakkan," katanya.

"Sekalipun Perdana Menteri masih belum memutuskan untuk menerima IPF ke dalam BN...kami akan tetap bersama BN sehinggalah kami diterima kerana hasrat kami ialah untuk menjadi sebuah parti yang benar-benar menjaga kebajikan masyarakat India yang miskin," katanya.

-- BERNAMA


Last changed: August 28, 1999