[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Pesta JE dan Nipah bermula.

Date: 28 Aug 1999
Time: 10:30:15
Remote User: -

Comments

PESTA PORT DICKSON `99 BERMULA HARI INI

PORT DICKSON, 28 Ogos (Bernama) -- Pesta Port Dickson `99 yang berlangsung di tapak projek Taman Impian, Batu 1, Jalan Pantai di sini, bermula hari ini.

Acara tahunan itu yang bertemakan `Riang Ria dan Berinfornika' akan berakhir pada 12 Sept.

Menteri Besar Tan Sri Mohamed Isa Abdul Samad dijangka merasmikan pesta itu Rabu ini.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Induk pesta Sainy Edris berkata pelbagai acara menarik diadakan sepanjang pesta itu termasuk sukan, gerai jualan, pertandingan, pameran, pertunjukan, persembahan kebudayaan dan kesenian serta persembahan penyanyi terkenal tanah air.

Turut diadakan ialah sudut laman Perpatih yang akan menonjolkan pelbagai persembahan adat dan kebudayaan negeri ini yang berasaskan adat Perpatih.

Menurutnya, persembahan kebudayaan dari negeri Melaka, Johor, Perak, Pulau Pinang dan Kelantan juga diadakan pada pesta kali ini sempena Tahun Melawat Negeri Sembilan 1999.

Sainy berkata pesta kali ini adalah yang terakhir diadakan di tapak projek Taman Impian dan mulai tahun depan jawatankuasa pesta merancang mengadakannya di dataran Seri Kemang di Teluk Kemang. -- BERNAMA


Last changed: August 28, 1999