[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Ingatkan UTM nak tukar nama.

Date: 28 Aug 1999
Time: 10:38:40
Remote User: -

Comments

Ulasan

Ingatkan UTM nak tukar nama jadi Universiti Discovery. Atau Universiti Disco.

Nampaknya lambai-lambai tangan tapi yang hadir tak ramai mana.

Biar dia lawat puas-puas sebelum dia jatuh.

======================================================================================================================================================== IPT PERLU JADI AGEN PENEMUAN BARU, KATA MAHATHIR

Perdana Menteri melambaikan tangan kepada pelajar UTM sebelum beliau meningalkan Universiti tersebut hari ini.

JOHOR BAHARU, 28 Ogos (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata, institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan perlu menjurus peranan mereka sebagai agen penemuan baru selari dengan perkembangan pesat sektor industri negara.

Beliau berkata, alaf akan datang memerlukan IPT tempatan mengubah arus pembangunan ilmu selari dengan perkembangan sektor berkenaan.

"Peranan universiti telah berubah daripada yang konvensional iaitu daripada gedung ilmu kepada penjana teknologi," kata Perdana Menteri ketika berucap di majlis pelancaran "Discovery University" iaitu tema baru Universiti Teknologi Malaysia (UTM), di kampus UTM, Skudai, dekat sini.

Dr Mahathir tiba di sini semalam dalam rangka kerja lawatan rasmi selama dua hari ke Johor.

Masyarakat kini melihat universiti sebagai sebuah perusahaan yang perlu menghasilkan produk yang memenuhi keperluan pelanggan serta dapat diaplikasikan oleh industri, terutamanya sektor pembuatan, katanya.

Perdana Menteri berkata, arah tumpu industri sekarang adalah kepada perusahaan yang berasaskan teknologi termaju dan memerlukan produk yang lebih didorong oleh pasaran (market-driven).

"Oleh itu, selain daripada mengeluarkan sumber tenaga manusia, hasil-hasil penyelidikan adalah antara produk sesebuah institusi pengajian tinggi yang sesuai mengikut perkembangan semasa," kata beliau.

Dr Mahathir berkata, perkembangan bidang sains dan teknologi memerlukan aktiviti penyelidikan yang kukuh.

Usaha UTM melancarkan temanya sebagai "Dicovery University" merupakan tindakan yang selari bagi memantapkan proses penjanaan produk iaitu tenaga mahir dan teknologi terbaru supaya ianya sesuai digunakan oleh masyarakat.

"Masyarakat negara maju adalah masyarakat yang mempunyai kemahiran dan kepakaran sains serta teknologi yang tinggi, bukan setakat mengubahsuai tetapi boleh mencipta, menambah dan memperbaharui teknologi yang diperlukan," kata Dr Mahathir.

Perdana Menteri berkata usaha UTM dalam memberi penekanan kepada penemuan baru atau "discovery" adalah suatu langkah yang positif ke arah mempercepatkan lagi langkah menuju kepada negara maju.

"Bagi mencapai matlamat ini, pertumbuhan ekonomi yang pesat amatlah penting dan ini berkait rapat dengan sektor industri pembuatan, perdagangan, pelaburan, daya saing, kualiti tenaga kerja serta kekentalan menghadapi cabaran," kata Dr Mahathir.

Beliau mengucapkan syabas kepada UTM kerana telah mempelopori pelbagai bidang teknologi dan yang terbaru teknologi marin yang menurut Perdana Menteri, telah mendapat pengiktirafan "International Towing Tank Conference".

"Pengiktirafan ini membuktikan masyarakat antarabangsa yakin tentang keupayaan kita dan saya juga yakin bahawa teknologi marin akan berkembang dengan pesat di negara ini," kata Dr Mahathir.

Makmal Teknologi Marin yang dirasmikannya di UTM hari ini menambahkan lagi usaha-usaha universiti berkenaan dalam bidang penyelidikan marin dan juga meningkatkan lagi kemahiran negara dalam industri marin.

Beliau juga mengucapkan syabas kepada UTM, khususnya kepada pensyarah yang telah bertungkus lumus sehingga berjaya mengeluarkan lebih daripada 45,000 graduan dalam bidang sains dan teknologi, khususnya jurutera sejak 1972.

"Sumbangan universiti dalam membekalkan sumber tenaga manusia untuk memajukan ekonomi khususnya dalam bidang perindustriaan amatlah releven dalam pembangunan negara," kata Dr Mahathir.

Perdana Menteri berkata, kerajaan telah menyediakan sejumlah besar peruntukan untuk meningkatkan tahap pendidikan di negara ini.

Penuntut yang memasuki IPT adalah sebahagian daripada sumber manusia yang penting kepada negara.

"Ini kerana negara memerlukan lebih ramai sumber tenaga manusia yang berilmu dan mahir dalam pelbagai bidang sains dan teknologi.

"Penuntut-penuntut universiti boleh menjayakan negara sekiranya mereka memahami tanggungjawab sebagai seorang penuntut," kata beliau.

Sebelum itu Perdana Menteri mendengar taklimat ringkas perkembangan UTM oleh Naib Canselor Datuk Dr Ahmad Zaharudin Idrus serta melawat makmal Einstein dan merasmikan makmal Teknologi Marin.

Makmal yang berharga RM30 juta itu menjalankan kerja-kerja penyelidikan dalam bidang reka bentuk, prestasi kapal dan struktur-struktur marin yang lain.

-- BERNAMA


Last changed: August 28, 1999