[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

PERUTUSAN HARI MERDEKA

Date: 29 Aug 1999
Time: 23:47:18
Remote User: -

Comments

PERUTUSAN HARI MERDEKA BERSATU KE ALAF BARU : KE ARAH PEMERINTAHAN BARU Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) merakamkan jutaan tahniah kepada seluruh rakyat Malaysia di atas sambutan ulang tahun kemerdekaan negara ke-42 hari ini. Kemerdekaan ini adalah yang terakhir untuk alaf ini, alaf akan datang menjanjikan persaingan yang lebih sengit untuk rakyat Malaysia. Simbolistik kepada sambutan ini adalah perpaduan yang menyeluruh untuk mempertahankan semangat kebebasan daripada diragut semborono oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Membina keyakinan dan jati diri umat Malaysia adalah sangat penting ke arah menuntut kemerdekaan kedua daripada kongkongan neo-colonialist BN.

Adalah menjadi tanggungjawab yang sangat besar kepada seluruh rakyat Malaysia untuk berusaha keras bagi mempertahankan kemerdekaan ini walaupun terpaksa mengorbankan harta, darah dan nyawa. Inilah aspirasi para pejuang kemerdekaan ketika mereka bergelut dengan pelbagai ancaman dan kepayahan untuk mendapatkan pembebasan total negara ini daripada penjajah. Hari ini, rakyat negara ini sekali lagi terancam kebebasan mereka manifestasi daripada dasar-dasar bejat BN yang menghalakan negara ke arah penjajahan semula. Umno dan BN hari ini sedang memacu negara kepada penjajahan semula tanpa mengambil kira penat lelah pejuang terdahulu mendapatkan kemerdekaan ini.

BN telah melaksanakan semula segala bentuk kekerasan yang pernah dilakukan penjajah terhadap pejuang-pejuang kemerdekaan. Penjajah British satu ketika dahulu pernah melakukan kekeras terhadap pejuang kemerdekaan seperti Tok Janggut, Datuk Bahaman, Abdul Rahman Limbong dan Datuk Sagor kerana menentang penjajahan mereka. Ustaz Abu Bakar al-Baqir, Dr Burhanuddin al-Helmy, Pak Sako, A Samad Ismail, Ahmad Bustaman dan sebagainya ditahan dibawah akta-akta zalim juga kerana menuntut pembebasan daripada penjajah.

Hari ini, para pemimpin pembangkang yang lantang menyatakan kebenaran juga turut nasib yang serupa. Kerajaan BN menggubal akta-akta zalim untuk menyekat rakyat daripada mengkritik dan menentang mereka. ISA dan OSA digunakan bukan sahaja untuk menyekat kritikan daripada rakyat, tetapi juga untuk melindungi segala bentuk kejahatan mereka. Datuk Ishak Baharum dipecat kerana tindakan yang bercanggah dengan dasar sesat kerajaan, Lim Guang Eng ditahan kerana mendedahkan penyelewengan pemimpin BN, Datuk Seri Anwar Ibrahim ditahan kerana menentang kepemimpinan zalim Perdana Menteri, begitu juga berpuluh-puluh pemimpin pembangkang yang lain bukan sahaja ditahan bawah ISA tetapi juga dibuang daerah di bawah Akta Kediaman Terhad. Inilah penjajahan BN yang diwarisi daripada British ke atas rakyat negara ini.

Secara sedar atau tidak, bahawa telah wujud suatu konspirasi ke arah penjajahan minda rakyat negara ini yang rancang oleh pihak pemerintah. Rakyat disekat daripada menerima maklumat yang tepat dan telus demi untuk mempastikan mereka terus memberikan sokongan yang membabi buta kepada kerajaan. Sebarang pihak yang bangkit untuk menyatakan pandangan kedua untuk membuka minda rakyat akan dikekang seberapa maksima yang boleh. Segala akta yang zalim dipergunakan untuk mempertahankan survival mereka atas nama keselamatan negara. Pihak media diperkosa semahunya demi mengelakkan rakyat mendapat maklumat secara adil dan saksama. Ini penjajahan minda yang sedang disusun atur oleh pemerintah bagi mempastikan minda rakyat dapat dipetisejukkan dan seterusnya tunduk kepada segala tindakan tidak bertamadun mereka.

DPP Pusat juga mengajak seluruh rakyat agar menginsafi segala kemelut dan kegawatan penghujung alaf yang berlaku ini sebagai penilaian terhadap pengisian kemerdekaan tajaan BN. Kegawatan politik yang berlaku bermula daripada kes-kes remeh melibatkan politik wang di kampungan sehinggalah kepada penyelewengan, rasuah dan salah guna kuasa para menteri serta juga pemecatan bekas Timbalan Perdana Menteri dengan konspirasi yang jahat lagi memalukan memberikan bayangan bahawa kemerdekaan sudah tersisih daripada dinikmati oleh rakyat negara ini. Sudah tiada lagi nikmat kebebasan, hak asasi dan keadilan di negara ini. Semua itu dikunci mati oleh akta-akta draconian yang dirangka dengan tujuan menambahkan lagi kuasa dan keangkuhan pemimpin kerajaan. Inilah kemerdekaan sempit kelolaan BN!

Kerakusan pemimpin BN membangunkan negara tanpa etika akhirnya menjebakkan negara kepada kegawatan ekonomi yang dahsyat. Tenyata segala projek mega dan megah tidak mampu untuk menyelamatkan rakyat negara ini daripada ancaman kegawatan, sebaliknya rakyat terus tertindas dengan kenaikan inflasi yang mendadak akibat kejatuhan nilai mata wang yang merupakan kesan daripada lambakan hutang luar negara yang semakin meningkat yang digunakan untuk membiayai projek mega kegilaan mereka. Kekukuhan ekonomi yang mereka banggakan selama ini hancur dalam sekelip mata membuktikan bahawa dasar ekonomi negara tidak dirancang dan dibina dengan kukuh oleh BN.

Budaya kronisme, nepotisme dan korupsi terus melingkari teras pembinaan ekonomi negara. Ternyata kemerdekaan ekonomi kini amat terancam dengan sistem ekonomi kapitalisme sekular yang dianut oleh pemimpin BN. Negara hampir tergadai kerana kerakusan mereka berhutang dan membazirkan secara boros dana negara. Spekulator dipersalahkan untuk menutup kejahatan mereka. Mereka berlagak seperti hero yang cintakan kemerdekaan dengan gagasan baru ekonomi setelah negara hampir bangkrup akibat ketidakpatriotisme mereka.

Budaya peribumi yang dilaungkan kononnya akan dipertahankan juga kini tergadai oleh kegilaan sistem sosial yang mereka transformasikan daripada budaya barat yang telah tidak diterima pakai lagi oleh masyarakat barat sendiri. Tanpa ikatan iman yang kukuh bukan sahaja anak-anak muda terjebak dengan budaya sesat penagihan dadah, seks luar nikah, buang anak, minum arak, berjudi sehinggalah kepada masalah murtad. Orang-orang tua juga tidak terlepas dengan kerakusan budaya rasuah, pecah amanah, salah guna kuasa, rogol anak, dan sebagainya. Inilah kesesatan budaya yang perlu dimerdekakan dengan satu perubahan paradigma budaya kepada budaya peribumi yang berteraskan ketaatan kepada Tuhan.

DPP Pusat juga sangat membimbangi usaha-usaha kerajaan BN yang begitu rakus bertindak seperti proksi kepada negara asing di dalam mentadbir negara ini. Di dalam menghadapi kepentingan politik pilihanraya, agen asing seperti Sachi&Sachi menjadi rujukan. Penasihat ekonomi Yahudi seperti Solomon, Smith & Barney diberi peluang merancang ekonomi negara. Segala bentuk budaya asing di bawa masuk untuk muda-mudi kononnya yang popular, terkini dan bertamadun.

Dasar luar menjadi semakin luwes sehingga sanggup mengiktiraf Israel sebagai negara rakan dagangan sedangkan negara umat Islam yang baru merdeka dibiar tanpa sokongan dan pengiktirafan. Mereka menolak IMF yang didakwa sebagai penjajah tetapi menjual bon-bon kerajaan kepada syarikat asing seperti menggadai keselamatan negara. Mereka mendakwa diri sebagai pejuang kemerdekaan dan menuduh pembangkang sebagai agen asing sedang apa yang berlaku sebaliknya. Sikap telunjuk lurus kelingking berkait ini sedang mengancam keselamatan negara yang memerlukan perubahan minda dan tindakan rakyat demi memastikan kelangsungan kemerdekaan negara.

Siri-siri kezaliman, penindasan, tipu daya, putar belit, penyelewengan, salah guna kuasa dan kerakusan yang melingkari rakyat menjadi cabaran paling besar kepada rakyat negara ini di dalam menghadapi perpindahan alaf yang akan tiba lima bulan sahaja lagi ini. Milenium baru ini ternyata menjanjikan seribu permasalahan akibat krisis yang ditempa pada alaf ini di bawah tadbiran BN. Usaha-usaha untuk membebaskan negara dan rakyat daripada kecacamerbaan ini hanya boleh dilakukan melalui proses kemerdekaan kedua yang sedang diusahakan oleh parti-parti alternatif melalui pilihanraya umum yang terdekat ini. Sokongan bulat rakyat kepada gagasan alternatif ini membolehkan penstrukturan semula polisi negara ini selama ini disalahgunakan pemimpin BN sehingga meragut cita-cita kemerdekaan.

DPP Pusat juga menyeru seluruh rakyat agar mempunyai persiapan yang secukupnya untuk mendepani cabaran alaf yang terpaksa ditempuh oleh seluruh umat manusia. Perkembangan jaringan teknologi maklumat dan multinasional corporation telah mewujudkan budaya globalisasi dan borderless telah diperhebatkan melalui proses teknologi, ekonomi dan kewangan antarabangsa yang memungkinkan cabaran yang sangat hebat kepada usaha mempertahankan kemerdekaan negara. Individu dan firma yang terlibat dalam usaha-usaha komersial ini mungkin membelakangkan kepentingan negara demi keuntungan peribadi sehingga mewujudkan ketidakseimbangan dalam pelbagai aspek. Kompleksiti inilah yang memerlukan persedian daripada rakyat dan kerajaan dalam meneruskan kelangsungan kemerdekaan.

Menjadi keperluan untuk dipertegaskan usaha-usaha jahat yang dirancang untuk memecahbelahkan negara ini dari perlbagai sudut meliputi persoalan budaya, agama, bangsa dan juga sempadan geografi. Perpecahan atas semangat sempit ini mungkin diapi-apikan untuk mengekalkan kekuasaan mereka. Semangat kenegaraan mungkin terhakis jika usaha-usaha jahat ini tidak dicegah sepenuhnya. Lebih berbahaya lagi kepada kemerdekaan negara apabila kita tidak boleh lagi membincangkankan kekuasaan kita sendiri ke atas ekonomi, budaya, teknologi dan politik kita sendiri. Perbincangan ini bukan sahaja melampaui batasan budaya dan geografi tetapi juga keterpaksaan kita menerima orang lain yang menentukan nilai mata wang, pelaburan, taraf ekonomi, pengaruh budaya terhadap muda-mudi dan juga pengaturcaraan politik negara kita.

DPP Pusat melihat segala bentuk krisis dan cabaran yang bakal ditempuh oleh rakyat negara ini memerlukan perubahan drastik dengan mengambil semangat kemerdekaan sebagai titik mula kepada usaha-usaha perubahan daripada kezaliman dan penindasan kepada keadilan dan kesejahteraan. DPP Pusat menyeru seluruh rakyat membina perpaduan yang paling kukuh tanpa mengira bangsa, darah, warna kulit, keturunan, darjat, budaya, agama dan negeri untuk bersama-sama mempertahankan kemerdekaan ini dan memperjuangkan kemerdekaan kedua daripada tangan-tangan halus BN. Proses ummatisasi ini perlu dibina dengan jiwa yang besar dengan melupakan segala pertelingkahan dan permasalahan yang lalu, tetapi memikirkan permasalahan dan cabaran baru yang lebih besar terpaksa dirempuh jika tidak mempunyai persiapan diri yang ampuh.

DPP Pusat juga mengajak seluruh rakyat yang cintakan negara ini agar berusaha keras untuk menggerakkan kesedaran rakyat terhadap penyelewengan dan kezaliman yang sedang berlaku. Semangat patriotisme untuk melihat anak-anak bangsa terus hidup harmoni dan sejahtera tanpa penindasan kuku besi BN sewajarnya menjadi pemangkin untuk kita berusaha lebih gigih ke arah hasrat kemerdekaan kedua ini. Slogan ‘Malaysia Boleh’ sudah tentu meyakinkan bahawa rakyat Malaysia boleh membuat perubahan dengan penuh dedikasi demi untuk mempertahankan survival kedaulatan negara ini.

Kemerdekaan kedua ini juga mestilah benar-benar memerdekakan umat Islam daripada kongkongan yang menghalang mereka daripada melaksanakan sistem Islam sepenuhnya dalam kehidupan mereka. Jika kemerdekaan ini hanya menzahirkan Islam sebagai agama di kertas sahaja, tetapi segala sistem dihalang daripada dilaksanakan, maka kemerdekaan ini menjadi menjadi tidak bermakna. Umat Islam mesti membebaskan aqidah mereka daripada isme-isme palsu yang cuba diterapkan kepada mereka. Kemerdekaan inilah yang menjadi tanggungjawab umat Islam untuk menuntutnya.

Pilihanraya Umum yang akan tiba dalam masa yang terdekat ini membuka ruang yang sangat luas untuk seluruh rakyat bagi menjana kemerdekaan kedua pada alaf baru dengan menolak kepemimpinan zalim BN dan digantikan dengan kepemimpinan baru yang lebih telus dan adil untuk rakyat. Kegagalan kita memanfaatkan pilihanraya ini untuk mempertahankan kemerdekaan kita, memungkinkan kita akan terus hidup di bawah kepemimpinan ala penjajah tajaan BN. Ketepatan pilihan kita sudah pasti akan menyelamatkan negara kita daripada terus dihimpit oleh sistem-sistem penjajah yang sedang menguasai kita.

MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!

ALLAHU AKBAR! ALLAHU AKBAR! ALLAHU AKBAR!

HAJI MAHFUZ HAJI OMAR Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat 31 Ogos 1999


Last changed: August 29, 1999