[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Jangan Laung Kuat-Kuat Nanti Banjir

Date: 30 Aug 1999
Time: 00:08:44
Remote User: -

Comments

Ulasan

Bilamana PAS ingin mengadakan sambutan Hari Kemerdekaan secara berasingan di Kedah, pAS dikutuk tapi bilamana UMNO nak buat di Kota Baru, semuanya boleh.

Kita kenal siapa Al Kataki itu sebenarnya. Dia jenis puru sebab itu kena laung kuat-kuat. Tapi kita harap jangan pula sampai hujan turun lebat-lebat sehingga banjir besar di Kota Baru.

Sekarang kita lihat kononnya 80,000 akan hadir. Dulu 10,000, kemudian 20,000, kemudian 25 ribu, kemudian 50,000. Sekarang 80,000!!!

Kita tidak mahu majlis ini diadakan dan kemudian sengaja dicetuskan huruhara oleh Al Kataki seperti satu masa dulu.

============================================================================================================================== PERHIMPUNAN RAKYAT KELANTAN 31 OGOS INI DIJAMIN AMAN

KOTA BAHARU, 29 Ogos (Bernama) -- Perhimpunan raksasa membabitkan kira-kira 80,000 rakyat Kelantan sempena menyambut Hari Kebangsaan ke-42 di sini, 31 Ogos ini, anjuran Badan Perhubungan Umno negeri, akan berlangsung dalam suasana aman dan harmoni.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paduka Ibrahim Ali berkata jaminan itu diberi setelah Pas mempertikaikan tujuan majlis itu serta mendakwa akan berlaku rusuhan serta pelbagai unsur tidak sihat semasa sambutan itu.

"Kita tidak nampak ia menjadi masalah kepada parti lain sehingga menimbulkan syak wasangka terhadap Umno untuk mengadakan perhimpunan 31 Ogos itu nanti," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Seminar Peningkatan Pengurusan Guru-guru Ke Alaf Baru di sini, hari ini.

Ibrahim yang juga pengerusi majlis sambutan perhimpunan itu berkata aspek keselamatan terjamin setelah pihak berkuasa turut mengeluarkan permit kebenaran kepada penganjur majlis untuk mengadakannya di perkarangan pejabat Umno negeri di sini.

Menurutnya pelbagai acara menarik telah diatur bagi perhimpunan bersejarah itu termasuk amanat penting oleh Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Tengku Razaleigh Hamzah serta sembahyang hajat bersama rakyat serta solat asar berjemaah di masjid berhampiran.

Ibrahim berkata Pas yang menerajui kerajaan negeri Kelantan tidak seharusnya menjadikan perhimpunan itu sebagai satu isu politik dan sewajarnya memberi peluang kepada Umno dan ahlinya berhimpun pada hari bersejarah itu.

Ditanya mengenai terdapat segelintir guru-guru kerajaan yang bertindak menghasut rakyat supaya membenci kerajaan pusat, beliau berkara keadaan itu berlaku mungkin kerana guru terbabit tidak menerima maklumat betul mengenai program kerajaan.

"Saya tidak menolak ada segelintir guru berbuat demikian kerana terpengaruh dengan parti-parti pembangkang dan membuat fitnah terhadap kerajaan," katanya.

Ibrahim turut meminta pelajar-pelajar Institut Teknologi Mara (ITM) yang telah dinaik taraf menjadi universiti supaya menggunakan ilmu mereka bagi membangunkan negara dan bukannya menentang kerajaan.

"Saya yakin pelajar-pelajar itu masih mempunyai kekuatan seperti juga pada zaman saya (belajar di ITM) 25 tahun lepas apabila pelajarnya kental memberi sokongan padu kepada kerajaan," katanya. -- BERNAMA


Last changed: August 30, 1999