[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

MTUC Minta Si Kepala Taik Tunai Janji

Date: 30 Aug 1999
Time: 00:13:38
Remote User: -

Comments

MTUC MINTA KERAJAAN TETAPKAN GAJI MINIMA PEKERJA RM1,200

KOTA BAHARU, 29 Ogos (Bernama) -- Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) meminta kerajaan melaksanakan skim gaji minima bulanan pekerja sebanyak RM1,200 seperti yang dijanjikan berikutan kejayaan negara keluar daripada kegawatan ekonomi.

Presiden MTUC Senator Zainal Rampak berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad telah berjanji pada Ogos lepas bahawa sekiranya ekonomi negara pulih maka gaji minima pekerja akan ditetapkan sebanyak RM1,200.

"Kini negara telah pulih daripada kegawatan ekonomi maka sudah tiba masanya kerajaan menunaikan janji untuk menetapkan gaji bulanan minima pekerja itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan kursus kesihatan dan keselamatan pekerja MTUC/Socso di sini, hari ini.

Menurut beliau, MTUC berbangga dengan kejayaan kerajaan membawa negara keluar daripada kemelesetan ekonomi apabila mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 4.1 peratus dalam suku kedua tahun ini.

Beliau berkata berikutan itu MTUC telah menghantar satu memorandum kepada Perdana Menteri pada 12 Ogos lepas yang antara kandungannya meminta kerajaan menunaikan pelaksanaan gaji minima itu.

Zainal berkata, sekarang ini gaji minima pekerja tidak menentu umpamanya bagi syarikat yang tiada kesatuan sekerja, gaji minima adalah antara RM200 dan RM400.

Beliau berkata, antara kandungan memorandum itu ialah untuk melanjutkan usia persaraan daripada 55 tahun kepada 60 tahun.

"Kami harap Perdana Menteri dapat melapangkan masa berjumpa dengan pemimpin MTUC untuk berbincang kandungan memorandum itu," katanya.

Sementara itu, Zainal menggesa majikan segera mengiktiraf kesatuan sekerjanya selewat-lewatnya dalam tempoh tiga bulan selepas ditubuhkan berbanding sekarang yang mengambil masa sehingga dua tahun.

Beliau berkata pengiktirafan itu penting supaya kesatuan boleh berunding dan membuat perjanjian bersama dengan majikan sekiranya wujud ketidakpuasan hati pekerja seperti isu penindasan.

"MTUC berpendapat isu pengiktirafan kesatuan ini harus diambil berat oleh Kementerian Sumber Manusia. Saya juga menggesa majikan supaya bekerjasama dan jangan mempertikaikan kesahihan pemeriksaan keahlian yang dijalankan oleh pihak kerajaan," katanya.

Zainal juga berkata, MTUC kini mempunyai keanggotaan sebanyak 750,000 orang, membabitkan 170 kesatuan gabungannya dan kempen menggalakkan pekerja menyertai kesatuan sedang diperhebatkan khususnya di negeri-negeri pantai timur yang masih kurang mendapat sambutan. -- BERNAMA


Last changed: August 30, 1999