[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

BEKAS TAHANAN MAHU ISA DIHAPUSKAN

Date: 30 Aug 1999
Time: 00:43:04
Remote User: -

Comments

Ulasan

Ahli-ahli UMNO/BN yang pernah kena tahan tak mahu ISA dihapuskankah? Takut nanti bila sudah tukar kerajaan, kita tangkap mereka dalam ISA pulak.

Mungkin mereka suka makan freetak?

============================================================================================================================== BEKAS TAHANAN MAHU ISA DIHAPUSKAN

KUALA LUMPUR, 29 Ogos (Bernama) -- Sekumpulan kira-kira 50 orang bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) hari ini mendesak kerajaan menghapuskan ISA dengan mendakwa bahawa ia telah mengakibatkan ketidakadilan terhadap mereka.

Presiden Parti Rakyat Malaysia (PRM) Dr Syed Husin Ali berkata ISA yang diperkenalkan untuk menangani kegiatan komunis tidak lagi relevan dan telah digunakan terhadap mereka yang berjuang bagi demokrasi dan keadilan di negara ini.

"Hari ini ISA digunakan terhadap sesiapa yang menentang kerajaan. Ia telah disalahgunakan dan oleh itu tidak perlu lagi ia diteruskan," katanya kepada pemberita pada perhimpunan bekas tahanan ISA di Dewan Perhimpunan Cina di sini.

Syed Husin berkata kira-kira 25,000 orang ditahan di bawah ISA sejak 1960, kebanyakannya terdiri daripada ahli politik, pemimpin agama dan pakar akademik.

Syed Husin, yang ditahan selama enam tahun dari 1974, berkata tidak perlu bagi kerajaan menggunakan ISA bagi kes-kes seperti pemalsuan kad pengenalan kerana undang-undang lain seperti undang-undang jenayah boleh digunakan terhadap mereka terbabit.

Bekas anggota Parlimen Petaling Jaya Dr Kua Kia Soong berkata sejarah ISA secara keseluruhannya sejak diperkenalkan pada 1960 telah menunjukkan bahawa ianya lebih menindas dan tidak adil.

Kua, yang pernah ditahan selama dua tahun dari 1987, turut mendakwa ISA tidak konsisten dengan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Nasional yang baru ditubuhkan.

Bekas pejuang Kesatuan Sekerja S.N. Raja berkata penahanan di bawah ISA telah menghalang tahanan daripada melanjutkan pelajaran dan kebanyakan mereka kehilangan kerja.

"Walaupun kehilangan pendapatan adalah amat teruk, kerosakan pada psikologi dan fizikal pula tidak dapat digambarkan," kata Raja, yang ditahan selama 10 tahun dari 1967. -- BERNAMA


Last changed: August 30, 1999