[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Hari Itu Hentam, Sekarang Lembut Pulak

Date: 30 Aug 1999
Time: 01:52:40
Remote User: -

Comments

Ulasan

Hari itu Khalid beria-ia sangat tuduh guru-guru tapi kali ini dia kata tidak. Inilah dia sikap dan sifat para pemimpin UMNO yang tidak konsisten. Sebenarnya ini satu konspirasi jahat terhadap Najib menjelang pemilihan UMNO tahun depan.

==============================================================================================================================

Tiada sebab guru perlu marah kepada Umno

ALOR STAR, Ahad - Guru tidak mempunyai alasan untuk menyimpan dendam atau marah terhadap kerajaan yang ditunjangi Umno kerana Barisan Nasional (BN) tidak pernah menganiaya golongan berkenaan.

Sebaliknya, kerajaan mengutamakan kebajikan guru dengan menyediakan pelbagai kemudahan yang dirangkumkan dalam kemudahan untuk semua kakitangan kerajaan.

Justeru, Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Khalid Yunus berkata, kementerian tidak melihat sebarang sebab menyebabkan guru bersikap anti kerajaan, sama ada dari aspek ekonomi, politik atau sosial kerana hasil kemajuan negara dipulangkan semula kepada rakyat, termasuk guru.

Sehubungan itu, kerajaan mempunyai alasan terbaik untuk mengambil tindakan tegas terhadap guru yang terbukti memburuk-burukkan kerajaan sama ada ketika dalam bilik darjah atau di luar sekolah.

"Saya tidak nampak sebabnya mengapa guru tidak dapat meneruskan perkhidmatan dengan baik. Kalau ada guru yang menentang kerajaan, atas sebab apa. Apa yang kerajaan buat tidak betul.

"Adakah kerajaan melakukan kesalahan yang terlalu besar. Adakah kemudahan yang disediakan kerajaan menyebabkan berlaku kejadian yang tidak baik.

"Adakah segala usaha yang dilakukan kerajaan tidak selari dengan kehendak Islam. Apakah sebabnya guru untuk menyimpan dendam terhadap kerajaan hingga sanggup mencemarkan nama baik profesion perguruan.

"Jangan sampai imej guru yang dipandang tinggi dalam masyarakat kita dicemari tindakan segelintir guru yang melakukan apa-apa yang tidak wajar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam perjumpaan dengan Lembaga Tadbir Asrama Sekolah Negeri Kedah di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Kedah, Mergong, di sini hari ini.

Perjumpaan itu dihadiri kira-kira 2,000 ahli lembaga berkenaan. Turut hadir Pengarah Jabatan Pendidikan Kedah, Hassan Hashim.

Khalid berkata, bagi memastikan kelangsungan pembangunan pendidikan sama ada di peringkat sekolah atau institusi pengajian tinggi (IPT), guru harus memastikan perkhidmatan mereka adalah dengan niat suci untuk melihat anak bangsa mencapai kejayaan dalam pendidikan.

Ketika ditemui kemudian, Khalid yang ditanya mengenai perkembangan seorang guru di negeri ini yang dikatakan bertanya kepada seorang pelajar mengenai pendirian ibu pelajar itu dalam politik, beliau berkata:

"(Datuk Seri) Rafidah Aziz sudah menghantar laporan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak. Laporan itu sedang diteliti."

Perkara itu didedahkan seorang wakil yang menghadiri dialog pergerakan wanita Barisan Nasional (BN) Kedah dengan Rafidah di sini, 22 Ogos lalu.

Berikutan pendedahan itu, ramai wanita yang menghadiri dialog berkenaan terkejut dan bimbang dengan tindakan guru terbabit bertanya kepada pelajar sama ada ibunya menyokong kerajaan atau sebaliknya.


Last changed: August 30, 1999