[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Si Mamat Tipu Orang Kampung

Date: 30 Aug 1999
Time: 01:56:15
Remote User: -

Comments

Ulasan

Sekali lagi kita melihat Si Mamat menipu orang kampung. Agaknya dia ingat orang-orang kampung masih bodoh macam dahulu. Ini zaman teknologi dan internet, mana boleh tipu rakyat?

Siapa yang anggap Malaysia sebuah negara Islam? OIC? atau PBB?

Mana ada hukum Islam yang dijalankan secara menyeluruh?

Jangan bohong. Kira 40% rakyat Malaysia adalah bukan Islam.

============================================================================================================================== Malaysia negara Islam contoh

PASIR MAS, Ahad - Malaysia kini menjadi model kepada negara Islam di seluruh dunia kerana ia lebih ke hadapan, termasuk dalam aspek ilmu pengetahuan dan kemajuan pembangunan.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Mustapa Mohamed, berkata pengiktirafan itu adalah satu penghormatan yang cukup bererti dan membuktikan Malaysia dipandang tinggi oleh negara luar.

Menurutnya, selain berjaya mentadbir negara dengan baik, rakyat juga menikmati keamanan dan kesejahteraan yang sempurna.

"Pada masa yang sama, negara kita turut unggul kerana dapat mewujudkan keseimbangan di antara kehidupan dunia dan akhirat serta berupaya membangunkan ummah dari segi keimanan dan ketakwaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan mesyuarat agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Panglima Raja (SMKTPR), Lemal, dekat sini, semalam.

Mustapa berkata, rakyat tidak boleh menganggap pencapaian negara hari ini adalah nasib semata-mata, sebaliknya hasil usaha dan perancangan rapi oleh pemimpin negara.

Ketika merasmikan majlis perjumpaan peserta Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) Parlimen Jeli di Kompleks Umno, di Jeli, Mustapa menyangkal dakwaan pembangkang kononnya projek pembangunan yang dilaksanakan kerajaan sejak kebelakangan ini lebih bermotifkan politik bagi memancing undi menjelang pilihan raya umum akan datang.

Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno berkata, dakwaan itu tidak berasas kerana sudah menjadi tanggungjawab kepada kerajaan yang dipilih oleh rakyat untuk melaksanakan projek berkenaan.

Menurutnya, sebenarnya projek pembangunan yang dilaksanakan itu adalah berterusan dan tidak hanya tertumpu ketika musim pilihan raya umum yang semakin dekat.

Katanya, keadaan itu boleh dilihat sejak mencapai kemerdekaan hampir 42 tahun lalu, proses membangunkan negara ini terus berjalan sehingga sekarang.

"Jadi tidak timbul seperti mana dakwaan pihak pembangkang itu, Umno dan Barisan Nasional (BN) banyak melaksanakan projek pembangunan sejak akhir-akhir ini kerana pilihan raya semakin dekat.

"Jika ada pun projek yang dilaksanakan dalam tempoh itu mungkin ia adalah secara kebetulan dan sama sekali tiada kaitan bagi mencari kepentingan politik," katanya.

Beliau kesal dengan sikap pembangkang kerana sering menyelewengkan fakta dan menabur fitnah terutama kepada pemimpin dan kerajaan BN.

Menurutnya, dakwaan pihak pembangkang yang sengaja memesongkan fakta itu boleh mendatangkan perasaan benci rakyat kepada BN.

"Oleh itu saya meminta supaya mereka menginsafi akan perbuatan hina ini kerana ia adalah satu dosa yang amat besar," katanya.


Last changed: August 30, 1999