[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Kemelesetan ekonomi masih belum berakhir

Date: 30 Aug 1999
Time: 03:25:18
Remote User: -

Comments

Kemelesetan ekonomi masih belum berakhir Oleh HAJI AZLAN AHMAD

KUALA LUMPUR: Ekonomi negara masih belum boleh dikira sudah keluar dari kemelesetan seperti mana yang dihebohkan oleh 'pemain kompang' media arus utama baru-baru ini.

Ahli ekonomi terkenal Profesor Jomo K.S. berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Gabenor Bank Negara, Ali Abul Hassan, yang mengatakan Malaysia secara rasmi menamatkan kemelesetan ekonomi selama 15 bulan apabila mencatatkan pertumbuhan 4.1 peratus dalam tempoh April hingga Jun atau suku kedua tahun ini.

Katanya, walaupun pertumbuhan positif 4.1 peratus direkodkan bagi suku kedua tahun ini, namun negara mengalami pertumbuhan negatif 1.3 peratus bagi suku pertama atau dalam tempoh Januari hingga Mac tahun ini.

Bagi Bank Negara, bila dikatakannya ekonomi negara meleset, mesti berlaku pertumbuhan negatif selama dua suku tahun berturut-turut sebelum ia diiktiraf meleset, "tetapi, bila dikatakannya kemelesetan sudah berakhir, hanya satu suku tahun yang diambil kira," terang Prof. Jomo.

"Ini tidak tepat kerana sebenarnya, kriteria pemulihan atau terkeluarnya sesebuah negara dari keadaan kemelesetan ekonomi ialah apabila negara itu mengalami prestasi pertumbuhan positif selama dua suku tahun berturut-turut. Dan bukan hanya mengambil kira prestasi satu suku tahun seperti mana yang dilakukan sekarang oleh Bank Negara.

Ekonomi belum pulih - Prof. Jomo "Negara kita masih belum lagi mencapai tahap pertumbuhan ekonomi yang positif selama dua suku tahun berturut-turut kerana ekonomi kita menguncup 1.3 peratus pada tempoh (Januari - Mac) atau suku pertama tahun ini, jadi bagaimana boleh kita katakan kemelesetan sudah berakhir?" soalnya.

Menurut Profesor Jomo, yang lebih membimbangkan, ekonomi negara hanya berkembang pada bulan April dan Mei, dan menguncup sedikit pada bulan Jun berbanding dengan bulan Mei. "Oleh yang demikian, Dr. Mahathir sendiri tidak yakin ekonomi negara dapat pulih lebih dari satu (1) peratus bagi keseluruhan tahun 1999."

Ini sebenarnya adalah keghairahan 'pemain kompang' anggota propaganda Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang didukung oleh media arus utama untuk mengaburi fikiran rakyat menjelang pilihan raya akan datang, katanya.

Sebenarnya, menurut Profesor Jomo, Malaysia merupakan negara yang terakhir di rantau ini yang menunjukkan tanda-tanda pemulihan. "Kegawatan telah tamat pada tahun 1998, dan ekonomi lain di rantau ini seperti Korea Selatan, Filipina, Thailand, malah Indonesia juga, semuanya telah mula pulih pada suku pertama (Januari - Mac) tahun ini, kecuali Malaysia."

Sebagai mengulas kenyataan Gabenor Bank Negara yang mengaitkan pertumbuhan positif pada suku kedua tahun ini dengan pelaksanaan langkah kawalan modal, Prof. Jomo berkata, seluruh rantau sudah pulih disebabkan banyak faktor. "Pemulihan lambat ekonomi Malaysia tidak bermakna dasar ekonomi negara yang dilaksanakan telah berjaya. Kalau begitu, kenapa ekonomi negara-negara lain yang tidak melaksanakan langkah kawalan modal, telah pulih lebih awal dari kita?" soalnya.


Last changed: August 30, 1999