[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Kesatuan dan pegawai BBMB ancam

Date: 30 Aug 1999
Time: 03:28:03
Remote User: -

Comments

Kesatuan dan pegawai BBMB ancam bertindak

KUALA LUMPUR: Pertelagahan atau perbalahan industri mungkin akan berlaku di antara pihak pengurusan dengan kesatuan pegawai Bank Bumiputra Malaysia Bhd. (BBMB) sekiranya pihak pengurusannya mengambil tindakan negatif ke atas ahli-ahli kesatuan berikutan isu penggabungan BBMB dengan bank lain.

Setiausaha Kesatuan Pegawai-pegawai BBMB, Mohd. Hanafi Mohd. Yusof menyuarakan kekecewaan pihak kesatuan kepada Ketua Eksekutif BBMB berkaitan sikap tidak menghormati dan tidak prihatin pihak pengurusan mengenai isu-isu kritikal yang membabitkan pegawai-pegawai BBMB dan anak-anak syarikatnya berhubung isu penggabungan tersebut.

Katanya, memandang terlalu banyak percanggahan kenyataan pihak pengurusan dengan realiti perlakuannya baru-baru ini, maka pihak kesatuan telah mengemukakan protes dan memberi tempoh tujuh hari kepada pihak pengurusan untuk menjawab ke atas perkara seperti berikut:

Kerap kali pihak pengurusan menyatakan bahawa "ia adalah suatu penggabungan", tetapi hakikat sebenarnya ia merupakan satu 'takeover' (ambil alih) kerana surat tawaran penerusan perkhidmatan akan datang daripada Bank of Commerce dan tidak daripada entiti bank yang baru digabungkan.

Kedua, menurutnya, pihak pengurusan juga menyatakan "faktor kakitangan merupakan isu penting sebelum penggabungan dilaksanakan", namun hingga sekarang ia belum lagi diselesaikan.

Ketiga, surat tawaran ini seharusnya mengemukakan syarat dan faedah pekerjaan yang terbaru (yang telah digabungkan) seperti dinyatakan pada 8 Julai lalu, tetapi sebaliknya menawarkan syarat dan faedah yang sama dan sedia ada, katanya.

Keempat, syarat dan faedah pekerjaan yang baru bagi pegawai-pegawai ini seharusnya telah dikemukakan terlebih dahulu kepada pihak kesatuan dan mendapat maklum balas sebelum ditawarkan kepada pegawai-pegawai.

Menurut Mohd. Hanafi, pihak pengurusan BBMB akan bertanggungjawab sepenuhnya ke atas sebarang tindakan pihak kesatuan dan ahli-ahlinya sekiranya mereka tidak memenuhi tuntutan tersebut dalam tempoh tujuh hari dari tarikh protes yang dikemukakan kepada mereka.


Last changed: August 30, 1999