[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Institut ke universiti:sekadar mainan politik?

Date: 30 Aug 1999
Time: 03:30:47
Remote User: -

Comments

Institut ke universiti:sekadar mainan politik?

Pihak penganjur sudah pasti akan menafikan bahawa pertemuan para siswa, tenaga pengajar, para pentadbir, dan siswazah Institut Teknologi Mara (ITM) dengan Perdana Menteri di Stadium Melawati, Shah Alam, pada 26 Ogos yang lalu mempunyai sebarang motif politik. Malah lawatan Perdana Menteri ke China beberapa hari sebelum itu pun sudah dinafikan motif politiknya - meskipun motif tersebut terang bagaikan siang.

Namun, memandangkan bahawa tenaga utama di sebalik penganjuran pertemuan itu Ibrahim Ali; memandangkan anggaran belanjawannya yang begitu besar, dengan banner iklannya tergantung di setiap tiang elektrik dari KL ke PJ ke Shah Alam; memandangkan setiap anggota ITM dipaksa menghadirinya - maka motif politik pertemuan itu tentulah sukar untuk dinafikan.

Memandangkan persiapan yang begitu besar-besaran dan belanjawannya yang begitu besar, maka jumlah peserta sebanyak 10,000 orang - menurut anggaran akhbar The Sun - tidaklah menandakan kejayaan yang begitu besar, kerana jumlah tersebut sudah dapat dicapai dengan hanya "memaksa" semua pelajar, tenaga akademik dan tenaga pekerja ITM yang ada menghadirinya.

Tema yang terpampang di setiap tiang elektrik tersebut mendorongkan kita agar berterima kasih dan bersyukur, agar kita bersatu padu untuk memasuki alaf baru. Apakah yang lebih jelas motif politiknya daripada itu?

Betapa penting sebuah perhimpunan besar seperti itu sebagai alat simbolik untuk menutup "keterlanjuran" Perdana Menteri menghina pelbagai aspek masyarakat dan pendidikan Melayu selama beberapa minggu sebelumnya tentulah mudah dapat kita fahami. Tambahan pula, lawatan PM ke Beijing tampaknya tidaklah mendatangkan dampak politik seperti yang diharapkan dari komuniti Cina di negara ini, untuk mengimbangi kemerosotan kredibiliti beliau di kalangan orang Melayu.

ITM sejak beberapa tahun yang lalu telah menjadi semacam lambang tentang kejayaan institusi pendidikan yang telah menyongsong kebangkitan penyertaan orang Melayu dalam pemodenan dan pertumbuhan ekonomi kapitalis negara ini. Institut yang pada mulanya direncanakan untuk menjadi lembaga pendidikan yang lebih rendah daripada universiti, untuk menyediakan kemudahan pendidikan jenis "vokasional" kepada anak-anak penduduk luar bandar itu, telah berkembang melewati tujuan asalnya itu.

Institut itu malah menjadi sumber tenaga terlatih Melayu dalam pelbagai bidang profesional dan bidang perniagaan. Banyak para graduannya yang tidak puas dengan sekadar pendidikan bertaraf diploma dan amali telah menjadikan kelulusan ITM mereka sebagai batu loncatan dan pembuka pintu ke pendidikan universiti yang sebenarnya - baik dalam negeri mahupun luar negeri.

Oleh kerana itu, tempat melanjutkan pendidikan di ITM kini menjadi sesuatu yang amat dihargai dan direbut-rebut di kalangan orang Melayu - tidak sekadar di kalangan penduduk luar bandar tetapi juga di kalangan penduduk kelas menengah di bandar yang sepatutnya tidak bermasalah memanfaatkan kemudahan-kemudahan pendidikan yang lain. Oleh kerana "peningkatan" statusnya itu, ITM sendiri sejak beberapa lama kini melaksanakan kegiatan-kegiatannya dengan gaya yang tidak berbeza daripada IPT lain di negara ini. Bukan sahaja kelayakan yang bertaraf ijazah, malah yang bertaraf sarjana juga sudah sejak lama dikeluarkan oleh institut tersebut.

Dilihat dalam konteks ini, pengumuman Perdana Menteri di perhimpunan tersebut bahawa "status" ITM akan ditingkatkan ke tahap "universiti" tidaklah merupakan suatu langkah yang begitu bermakna. Malah pengumuman tersebut lebih mengesahkan lagi motif politik di sebalik perhimpunan tersebut sejak mulanya lagi.

Untuk menjadikan kesan pengumuman tersebut lebih dramatis lagi, maka Dr. Mahathir telah membuat pengakuan kepada para wartawan bahawa selama ini beliau telah menentang usaha menaikkan ITM ke taraf universiti. Tetapi kini masanya cukup sesuai untuk menukarkan status tersebut - "memandangkan bahawa institut ini telah meningkat mutunya".

Bagi saya kenyataan ini memerlukan sedikit lagi penjelasan. Apakah ini bermakna bahawa yang meningkat mutunya hanya ITM, yakni sebuah institusi yang menyediakan pendidikan profesional untuk orang Melayu, sedangkan mutu pendidikan profesional di kalangan orang Melayu sendiri sebenarnya sudah merosot atau tidak meningkat?

Jika Dr. Mahathir kini menyatakan bahawa mutu pendidikan profesional di kalangan orang Melayu sebenarnya telah meningkat maka dia sebenarnya menyanggah pandangannya sendiri yang telah diucapkan beberapa minggu lalu - ketika dia menyatakan bahawa para pelajar Melayu hanya gemar berpolitik?

Sebenarnya banyak lagi tanda-tanda tentang hakikat bahawa pengumuman itu dibuat sebagai keputusan tergesa-gesa untuk mendapat sedikit mileage politik dari golongan menengah dan profesional Melayu. Ketika pengumuman dibuat, menurut pengakuan Menteri Pendidikan Najib Tun Razak, aspek-aspek teknikal pemindaan Akta ITM belum lagi dimulakan. "Pertindihan" nama singkatannya (UTM) dengan Universiti Teknologi Malaysia juga belum sempat diselaraskan.

Sebenarnya tidak ada sebarang pencapaian yang dapat dibanggakan dengan penukaran nama institut kepada universiti ini - selain tujuan politik dan tujuan melaksanakan "damage control" untuk membetulkan keterlanjuran PM. Jika tujuannya untuk memungkinkan ITM menganugerahkan ijazah, maka hal itu sebenarnya sudah berlaku - bukan kerana penukaran nama tetapi kerana perkembangan semula jadi institusi pendidikan tersebut.

Tambahan pula, untuk memungkinkan sebuah IPT menganugerahkan ijazah atau disanjung tinggi sebagai pusat kecemerlangan akademik, maka mempunyai nama "universiti" tidaklah bermakna apa-apa. Dua kelayakan atau ijazah yang amat dihargai di seluruh dunia hari ini dalam bidangnya masing-masing tidaklah dianugerahkan oleh institusi-institusi yang bernama "universiti" tetapi oleh sebuah institut dan sebuah sekolah - Massachussets Institute of Technology (MIT) dan London School of Economics and Political Science (LSE).

Jika ITM benar-benar bermutu, maka institusi ini tidaklah memerlukan pertukaran nama yang diumumkan PM itu dan para pelajar serta siswazahnya tidak akan semudah itu terpedaya oleh mainan politik murahan seperti ini.


Last changed: August 30, 1999