[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Kerajaan BN dikelilingi pahat-pahat tumpul.

Date: 30 Aug 1999
Time: 03:41:29
Remote User: -

Comments

Kerajaan BN dikelilingi pahat-pahat tumpul

APAKAH Ezam gatal mulut atau mahu memerangkap otak Dr. Mahathir dan Tun Daim Zainuddin tidak diketahui, tetapi kenyataannya menyebut betapa beberapa kotak berisi dokumen negara telah diseludupkan ke luar.

Maka gegak gempitalah sekalian zat di bawah dagu Dr. Mahathir menjadikannya sebagai isu baru betapa konon ia adalah bukti kedurjanaan bekas Timbalan Perdana Menteri atau idola KeADILan sebagai tali barut kuasa asing untuk menjajah semula Malaysia dan ia satu jenayah besar yang boleh dihukum.

Zat-zat di bawah dagu PM seperti Rafidah Aziz, Dato' Abdullah Badawi, media eletronik dan cetak mendakyahkan perkara itu dengan harapan rakyat percaya dan marahkan pembangkang terutama penyokong KeADILan.

Berikutnya polis pun segera menemui Ezam. Tentulah pertemuan itu satu penyiasatan. Memang cepat jentera kerajaan bertindak terhadap mana-mana anasir yang mengkritik kerajaan dan pemimpinnya.

Apa yang kita boleh kata atas reaksi segera jentera kerajaan terhadap pembangkang baik yang mana sekalipun?

Dari segi politiknya ia adalah contoh kerajaan seorang diri Dr. Mahathir sedang berusaha keras untuk mengalihkan isu sebenar.

Dakwaan itu sangat mudah diyakinkan. Pertama dalam mana-mana negara pimpinan kuku besi atau diktator, jentera kerajaan tidak lagi mengutamakan profesionalisme. Mereka bertindak atas kemahuan sang pemimpin, tidak kira relevan atau tidak.

Sekarang pemimpin kerajaan berhadapan dengan krisis keyakinan yang parah dan ditentang oleh rakyat dari segenap penjuru.

Pemimpin dan kerajaan tidak tahu bagaimana hendak menghadapi kebangkitan rakyat atas isu penyingkiran TPM dan pemecatan Timbalan Presiden Umno.

Ketika isu itu cuba diredakan melalui teori mengalihkan isu, kerajaan juga terlalu lambat mengendalikan kes Rahim Noor. Memanglah payah bagi polis untuk bertindak ke atas ketuanya sama seperti payahnya Dato' Abdullah Badawi dan Siti Zaharah Sulaiman hendak menegor Dr. Mahathir.

Tetapi ke mana perginya Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri dan timbalannya yang boleh mengarahkan mana-mana polis bertindak ke atas polis yang tertinggi itu?

Polis tentunya mahu menunjukkan kecekapannya. Contohnya ia tidak membuang masa untuk menemu dan menyoal Ezam. Kecepatan itu boleh ditunjukkan kerana Ezam tidak ada apa-apa kedudukan dalam kerajaan. Tetapi polis tentu tidak boleh bertindak cepat dalam kes Rahim Noor dulu.

Dan sekarang apa masalahnya?

Tetapi Peguam Negara ada dan buat apa?

Begitu cepat Peguam Negara menunjukkan kehebatannya dan profesionalisme terhadap kenyataan Dr. Chandra Muzaffar. Macam ribut tindakannya. Tetapi macam semut pula ia menangani kes Rahim dan lain-lain.

Untuk memulakan penyiasatan terhadap Rahim Noor, terpaksa rakyat menjadi penukul dan menjadikan Peguam Negara seperti pahat. Sesudah penukul ketuk pahat, barulah kayu ditebuk. Jenuhlah penukul jika yang diketuknya pahat tumpul!

Gembirakah kerajaan dan pemimpin dikelilingi oleh pahat tumpul?

Rakyat masih ingat akan penyingkiran dan pemecatan TPM yang merengkok di penjara sekarang. Tetapi langkah melambat-lambat tindakan oleh kerajaan, maka ingatan rakyat tadi tidak lagi tajam. Ia adalah hasil jentera kerajaan dijadikan pahat dan pahat itu tumpul pula.

Bagaimanapun perbicaraan yang berterusan mengingatkan terus orang awam akan kesumbangan dan kesumbingan pemerintah yang kebanyakan rasakan zalim sekarang.

Pentadbiran seorang diri Dr. Mahathir cuba mengalihkan isu tadi melalui tuduhan-tuduhan di mahkamah. Dakwaan rasuah dan salah laku seks di luar tabii. Pada mulanya orang keliru. Tetapi kerana terlalu banyak keliru, keliru itu pun akhirnya hilang kekuatan.

Sebaliknya cerita dari mahkamah tentang bagaimana layanan, apa yang dimakan pagi dan petang, bunyinya bubur nasi berlaukkan ikan kering, duduk dalam bilik berpagar berbelas-belas lapis, badan mulai kurus dan cengkung, rambut mulai gugur mempengaruhi kawan dan lawan.

Kawan sedih dan lawan tak lelap tidur. Dengan cerita itu dipercayai Dr. Mahathir payah tidur jika Dr. Mahathir dengar.

Setakat ini orang mulai lupa hakim lama, tetapi orang ingat pula hakim baru. Tetapi orang bertanya berapa ramai hakim lagi yang rakyat akan tengok selepas ini?

Orang dari penjara terus membuat aduan kepada polis. Setakat rencana ini ditulis sudah empat aduan. Aduan terhadap Rafidah yang memberi saham berjuta unit kepada menantu. Tidak diketahui adakah penyiasatan dan tindakan? Atau akan digunakan siasatan lama?

Tun Daim juga sudah diadukan. Betapa kononnya dia menggunakan beberapa orang kroninya untuk menjadi penama kepada harta-harta yang dikatakan UMNO punya. Ada surat bukti disertakan untuk menyokong aduan itu.

Tidak diketahui adakah yang diadukan disiasat dan kroni-kroni terhormat yang dinamakan itu disiasat juga?

Sekarang aduan terhadap Perdana Menteri dan Peguam Negara pula yang kononnya menghalang tugas penghakiman terhadap Rahim Tamby Chik.

Bekas TPM didakwa dan dihukum penjara selama enam tahun kerana kesalahan yang dikatakan menghalang polis menjadikan tugas. Maka sekarang aduan seperti itu juga dihadapkan kepada Perdana Menteri dan Peguam Negara.

Bagaimana siasatan hendak diadakan terhadap mereka?

Setakat ini mereka boleh disiasat. Mereka tidak ada kekebalan seperti yang pernah ada pada raja-raja dulu. Dulu raja-raja, jika melakukan kesalahan, betapa berat salahnya tidak boleh disiasat dan didakwa. Sebabnya raja-raja ada kekebalan.

Adakah Dr. Mahathir pula ada kekebalan? Beberapa tahun dulu ada raja Melayu yang disaman oleh orang Singapura. Saman itu diterima dan diketahui umum. Ertinya raja pun sudah boleh disaman. Ia bukti kekebalan itu tidak berbisa lagi.

Jika kali ini Dr. Mahahtir yang diadukan itu tidak disiasat dan Peguam Negara juga tidak disiasat dan tidak berani sesiapa menyiasatnya, maka ini adalah bukti bahawa Dr. Mahathir dan Peguam Negara yang adalah lebih berdaulat dari raja-raja. Atau ada orang baru yang ada kekebalan.

Cerita mahligai dan dalam mahligai itu kononnya akan dibina klinik jantung yang setaraf dengan Institut Jantung Negara dan beberapa pakar dan pegawai. IJN untuk orang awam dan klinik jantung di mahligai untuk siapa?

Bagaimanapun mahkamah setiap hari memuat cerita Azizan, Musa Hasan, Sukma, Hakim Ariffin, Gurbachan, Karpal Singh dan bekas TPM. Lepas ini kes siapa pula?

Mungkin kes Dr. Chandra Muzaffar, dan apa pula hasil siasatan atas Ezam? Mungkin cerita dokumen yang diseludupkan keluar akan berlanjut ke mahkamah. Tetapi orang mulai bertanya apakah isu-isu baru itu akan ke mahkamah dulu dari isu Rahim Noor dan isu Rafidah?

Dr. Mahathir mulai terbang ke sana sini bukan untuk mengalihkan pandangan dari orang-orang awam di Malaysia, dia juga cuba mengalihkan orang-orang luar negeri seperti Al Gore, Madelene Albright dan lain terhadap komplotan di Seri Perdana itu.

Jika orang awam Umno di kampung-kampung cuba dan sudah dibodohkan, maka kini pemimpin dunia pula cuba dibodohkan oleh Dr. Mahathir. Demikianlah usaha pengalihan isu itu dilanjutkan hingga datang pilihan raya. Tetapi dapatkah ia dialihkan? Aduan dari penjara akan datang lagi dan mungkin jumlahnya sampai 50 juga seperti Dalil 50 itu.


Last changed: August 30, 1999