[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Khalid, betulkan sikit.

Date: 30 Aug 1999
Time: 04:00:36
Remote User: -

Comments

Ulasan

Kamu mesti kenakan tindakan kepada guru-guru yang membawa risalah politik UMNO ke sekolah. Ini telah berlaku malah kemudahan sekolah dipergunakan untuk aktiviti politik. Ini lagi teruk. Orang kampung semua dah tahu bagaimana kemudahan sekolah - bilik, dewan, padang digunakan oleh UMNO.

============================================================================================================================== GURU DIBERI AMARAN BERHENTI KERJA JIKA HERET POLITIK DI SEKOLAH

KUALA TERENGGANU, 30 Ogos (Bernama) -- Guru-guru diberi amaran akan dikenakan tindakan disiplin termasuk diberhentikan kerja sekiranya terbukti mereka cuba mengheret fahaman politik mereka, ke sekolah.

Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Mohamed Khalid Yunus berkata kementerian telah menerima beberapa laporan dari negeri-negeri mengenai tindakan beberapa guru yang berbuat demikian.

Katanya jawatankuasa tatatertib di kementerian sedang meneliti laporan-laporan itu dan beliau bagaimanapun menegaskan bahawa sebarang tindakan hanya akan berasaskan bukti-butki yang sahih yang dikemukakan kepada jawatankuasa itu.

"Kita tidak mahu iklim persekolahan dicacatkan dengan suasana yang tidak sihat dan mengheret pelajar dengan aktiviti berpolitik," katanya kepada pemberita selepas merasmikan penubuhan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sek Men Keb Kompleks Gong Badak di sini hari ini.

Katanya kementerian tidak mempertikaikan hak seseorang itu untuk berpolitik tetapi janganlah ia dibawa ke kawasan sekolah seperti membawa akhbar `Harakah' (akhbar rasmi PAS) dan risalah lain semata-mata mempengaruhi pelajar untuk membenci kerajaan.

Khalid bagaimanapun menarik perhatian bahawa walaupun ramai guru yang didakwa terlibat dengan politik termasuk yang menyokong pembangkang tetapi tidak sedikit juga guru-guru yang masih setia dan menjalankan tanggungjawab mereka sebagai pendidik.

"Janganlah ingat mereka (guru) yang sokong pembangkang boleh membuat sebarangan di sekolah sedangkan ada juga guru yang sokong kerajaan dan jika mereka (guru yang sokong kerajaan) turut sama bertindak, apa akan jadi di sekolah itu," katanya.

Timbalan Menteri itu berkata golongan ibu bapa juga perlu memainkan peranan untuk memastikan anak-anak mereka mendapat pendidikan yang sempurna dan bukannya dicampur-adukkan dengan perkara lain.

"Kalau minda pelajar dicampur-aduk dengan perkara lain yang tidak berkaitan dengan pelajaran, generasi sekarang akan rosak dan melahirkan pelajar yang tidak cemerlang dalam pelajaran mereka," katanya.

Khalid juga berkata penaiktarafan Institut Teknologi Mara kepada universiti tidak perlu dijadikan satu isu politik kerana Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir sendiri telah memberitahu dasar pengambilan pelajar tidak akan diubah untuk Bumiputera sahaja.

Semalam, Presiden Parti Rakyat Malaysia (PRM) Dr Syed Husin Ali berkata Universiti Teknologi Mara patut dibuka kepada semua bangsa kerana dengan mengehadkan universiti itu kepada pelajar Bumiputera sahaja, akan memberi implikasi buruk terhadap hubungan antara kaum di negara ini pada masa akan datang kemungkinan kaum lain juga akan mendesak bagi penubuhan universiti mereka sendiri. -- BERNAMA


Last changed: August 30, 1999