[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Raksaksa Akan Turun?

Date: 30 Aug 1999
Time: 04:15:58
Remote User: -

Comments

Ulasan

Nampaknya UMNO Kelantan begitu desperate untuk tarik rakyat Kelantan untuk hadir dalam majlis ini. Terpulanglah kepada rakyat Kelantan samada untuk hadir atau tidak.

Untuk mendapat 100,000 orang bukan senang. Untuk kumpulkan 10,000 di ITM pun sakit. Itu pun kena angkut dan diberi elaun dan makan.

Yang ini, Ku Li guna taktik yang sama dengan Si Kepala Taik. Takkan ada kejutan. Kejutan apa?....bersumpah? manifesto PAS 1990?...apa lagi?

Ini berita basi dan susah untuk menarik rakyat datang hadir.

Ini bukan perhimpunan Merdeka. Ini perhimpunan politik semacam mana yang parti-parti alternatif buat.

Sama-samalah kita dengar berita nanti. Mengapa Si Kepala Taik tak datang? Kan dia suka kalau ramai orang datang.

Sahlah bahawa bukan Si Kepala Taik yang menjadi raksaksa yang akan turun hari itu. ============================================================================================================================== PERHIMPUNAN RAKSASA MESEJ PERUBAHAN POLITIK KELANTAN

Oleh Mohd Bakri Darus

KOTA BAHARU, 30 Ogos (Bernama) -- Esok, bersempena dengan perayaan hari kemerdekaan negara ke-42, satu perhimpunan raksasa rakyat Kelantan akan berlansung di Padang Merdeka, di sini, sebagai tanda bermulanya gelombang perubahan politik negeri ini.

Perhimpunan rakyat anjuran Umno Kelantan itu, yang akan mengumpulkan kira-kira 80,000 orang, menggambarkan bahawa rakyat Kelantan inginkan perubahan dalam pemerintahan kerajaan negeri dan mahu melakukannya pada pilihan raya umum akan datang.

Kain-kain pemidang dan poster-poster mengenai perhimpunan yang akan bermula pukul 2 petang itu, boleh dilihat di merata tempat di seluruh negeri ini.

Bendera Barisan Nasional dan Umno turut berkibar sama, tidak kurang juga bendera Pas, yang secara tidak langsung Jalur Gemilang - bendera keagungan Malaysia - tidak bersendirian pada kali ini.

Banyak peristiwa menarik akan berlaku pada perhimpunan itu ekoran bahang pilihan raya umum yang akan berlaku bila-bila masa sahaja.

Sempena perhimpunan itu, majlis sembahyang hajat sebelum solat Asar akan berlansung di Masjid Muhammadi, berhampiran tapak perhimpunan berkenaan.

Pada perhimpunan itu Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Tengku Razaleigh Hamzah akan membuat kejutan dengan pengumuman penting selain merealisasikan niatnya untuk bersumpah bagi membuktikan Pas berbohong.

Tengku Razaleigh memilih jalan bersumpah untuk membuktikan dakwaannya bahawa Pas berbohong dengan tidak menunaikan janji-janjinya yang dibuat terhadap Parti Melayu Semangat 46 (S46), ketika kedua-dua parti itu berada dalam angkatan Perpaduan Ummah.

Pemimpin-pemimpin Umno lain termasuk timbalan ketua perhubungan Umno Kelantan Datuk Annuar Musa, timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paduka Ibrahim Ali dan Ketua Umno bahagian Jeli Datuk Mustapa Mohamad akan berucap.

"Kehadiran orang ramai itu akan menggambarkan bahawa rakyat Kelantan mahu kepada setiakawan yang kukuh. Kalau itu berlaku ia merupakan mesej, bukan sahaja kepada rakyat Kelantan, malah seluruh rakyat Malaysia sudah bersedia melakukan perubahan politik di Kelantan," kata Tengku Razaleigh.

Beliau berkata kenderaan dan wang tidak disediakan untuk orang ramai datang ke perhimpunan itu, semata-mata untuk menguji semangat ketahanan diri rakyat supaya datang beramai-ramai untuk menunjukkan kesungguhan mereka mahu bersatu.

"Pas menang pilihan raya umum sebelum ini bukan kerana parti itu kuat. Pas tidak kuat, tetapi Umno berpecah ketika itu. Jadi kalau kita (Umno) bersatu, Insya-Allah Pas akan ditewaskan pada pilihan raya umum akan datang," katanya.

Sempena perhimpunan itu juga, BN dan Umno Kelantan mengambil kesempatan untuk mengedarkan manifesto PAS pada pilihan raya umum 1990 untuk rakyat menilai sejauh manakah janji-janji terhadap mereka telah ditunaikan oleh PAS.

Annuar pula berkata, rakyat boleh membuat penilaian berdasarkan janji-janji itu sama ada ingin terus memilih Pas pada pilihan raya umum nanti.

Ketua Pemuda Pas Kelantan Takiyuddin Hassan membuat laporan polis terhadap timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paduka Ibrahim Ali kerana mendakwa cuba menghasut orang ramai dalam satu ceramah politik di Pasir Mas supaya menyertai perhimpunan besar-besaran itu yang dikatakan dibuat secara haram kerana tiada permit.

Ibrahim selaku pengerusi majlis sambutan perhimpunan itu memberi jaminan perhimpunan itu akan berlangsung dalam suasana aman dan harmoni walaupun Pas mempertikaikan tujuan majlis itu serta mendakwa akan berlaku rusuhan serta pelbagai unsur tidak sihat semasa sambutan itu.

"Aspek keselamatan terjamin setelah pihak berkuasa mengeluarkan permit kebenaran kepada penganjur majlis itu," katanya.

Ibrahim berkata, Pas tidak seharusnya cuba menganggu perhimpunan besar-besaran penyokong Umno itu memandangkan beberapa perhimpunan besar-besaran yang dianjur oleh Pas tidak diganggu oleh Umno.

Ketua Daerah Polis Kota Baharu ACP Mohamed Fauzee Awang berkata polis telah meluluskan permit bagi perhimpunan raksasa itu dan akan mengawasi keadaan bagi mengelakkan berlaku kelakuan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam, pada hari berkenaan. --BERNAMA


Last changed: August 30, 1999