[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Mahkamah Kata Kita Boleh Panggil Dia Mahafiraun.

Date: 30 Aug 1999
Time: 05:11:40
Remote User: -

Comments

Ulasan

Kalau macam inilah gaya hakim membuat keputusan maka dengan ini kita istiharkan bahawa Mahathir Mohamed adalah Mahafiraun mengikut pandangan hakim dan mahkamah.

Ini disebabkan beliau sendiri yang kata dia mahafiraun. Tapi Si Kepala taik lagi sensasi.

==============================================================================================================================

ANWAR GAGAL DALAM SAMAN MALU TERHADAP PERDANA MENTERI

KUALA LUMPUR, 30 Ogos (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini menggugurkan saman malu RM100 juta yang dikemukakan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad oleh bekas timbalannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hakim Datuk Dr R.K.Nathan, semasa membenarkan permohonan Dr Mahathir untuk menggugurkan saman berkenaan, menyatakan bahawa saman itu remeh, menyakitkan hati serta melanggari proses mahkamah.

"Saya benarkan permohonan defendan dan memerintahkan saman ini digugurkan mengikut Perintah 18 Peraturan 19 (1)(a),(b),(d) Peraturan Mahkamah Tinggi dan juga mengikut bidang kuasa mahkamah.

"Kos juga akan dibayar kepada defendan," katanya.

Anwar memfailkan samannya pada 25 Jan, mendakwa bahawa Perdana Menteri telah secara palsu dan dengan niat jahat bercakap kepada pemberita tempatan dan asing pada persidangan media yang diadakan di Jabatan Perdana Menteri menuduh beliau melakukan perbuatan tidak bermoral.

Bekas timbalan perdana menteri itu mendakwa bahawa Dr Mahathir menuturkan perkataan itu dengan pengetahuan bahawa ia akan diterbitkan di dalam dan luar negara.

Dalam pernyataan pembelaannnya yang difailkan pada 22 Mac, Dr Mahathir menyatakan bahawa beliau menuturkan perkataan itu selaku perdana menteri secara perlindungan bersyarat.

Beliau berkata perkataan itu dituturkan semasa perbincangan mengenai perkara-perkara mengenai kerajaan dan politik melibatkan Anwar berhubung ketidaksesuaian beliau memegang jawatan itu dan selepas siasatan terhadap perkara itu dijalankan.

Anwar, dalam jawapannya berkata pembelaan perlindungan bersyarat tidak terdedah kepada perdana menteri kerana beliau telah bertindak dengan niat jahat dan tidak wajar dengan menuturkan dan mengeluarkan perkataan yang menyinggung untuk diterbit dan diterbitkan semula.

Selain ganti rugi, faedah dan kos, Anwar juga memohon injunksi bagi menghalang Dr Mahathir daripada terus menuturkan perkataan seumpama itu terhadap beliau.

Nathan, dalam penghakimannya setebal 25 muka surat berkata setelah menimbangkan kesemua isu yang dikemukakan kedua-dua pihak beliau tidak teragak-agak merumuskan bahawa dakwaan Anwar itu "jelas tidak kukuh".

Beliau berkata perkataan Dr Mahathir itu adalah jawapan terhadap permintaan supaya beliau memberi penjelasan mengenai penyingkiran Anwar sebagai timbalan perdana menteri serta timbalan presiden Umno.

"Ini pada pendapat saya menunjukkan tiada niat jahat dalam pemikirannya," katanya.

Berhubung kata-kata yang dituturkan pada persidangan media pada 22 Sept 1998, Hakim itu berkata beliau tidak teragak-agak untuk memutuskan bahawa kata-kata perdana menteri itu hanya kenyataan berdasarkan fakta yang telah pun disiarkan dengan meluas sebelum perkataan yang dipersoalkan itu dituturkan.

"Walaupun defendan telah diberi penerangan oleh polis sebelum itu, beliau bagaimanapun tidak membuat sebarang kenyataan berhubung perkara itu sehingga maklumat berkenaan telah disiarkan secara meluas di semua akhbar berikutan pensabitan Munawar dan Sukma," kata Nathan.

Dr Munawar Ahmad Anees, bekas penulis ucapan Anwar, dan Sukma Darmawan Sasmitaat Madja, adik angkat Anwar, masing-masing dihukum penjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen berasingan pada 19 Sept tahun lepas kerana membenarkan Anwar meliwat mereka.

Hakim itu berkata adalah jelas bahawa perkataan yang dituturkan oleh Dr Mahathir adalah berdasarkan maklumat yang dikumpul oleh beliau daripada sumber-sumber yang dikenal pasti olehnya dengan perkataan yang dituturkan pada persidangan media bersama-sama dengan pemerolehan berita berhubung pensabitan Munawar dan Sukma yang disiarkan oleh semua akhbar pada 20 Sept 1998, dua hari sebelum perkataan itu dituturkan.

Beliau berkata adalah jelas daripada pertuduhan itu, fakta kes yang diakui oleh Munawar dan nota prosiding dan alasan penghakiman bahawa plaintif memainkan peranan aktif dalam perbuatan seks luar tabii dengan Munawar seperti tuduhan. Selain itu, perbuatan itu juga dinyatakan berlaku di rumah Anwar.

"Dengan itu, saya mendapati bahawa semua fakta berhubung dengan tuduhan yang dihadapi Munawar dan pensabitan jelas menunjukkan pembabitan plaintif dan mengesahkan perkataan yang dituturkan defendan adalah benar dari segi kandungan dan faktanya.

"Oleh itu adalah jelas bahawa pembelaan berasaskan justifikasi boleh digunakan oleh defendan," katanya.

Beliau berkata dalam hal Sukma pula, juga terdapat pengakuan yang ditandatangani oleh beliau dan dikemukakan ke mahkamah sebagai sebahagian daripada rayuan beliau.

Adalah jelas bahawa perbuatan seks di luar tabii yang dilakukan oleh Munawar dan Sukma membabitkan dua orang dan "seorang lagi yang terbabit dalam kedua-dua kejadian itu tidak lain adalah plaintif sendiri," katanya.

Hakim itu berkata perkataan yang dituturkan oleh Dr Mahathir pada persidangan media itu, dari segi berita, bukan dinyatakan buat pertama kali kerana pertuduhan dan pensabitan yang dihadapi Munawar dan Sukma sudah diketahui umum.

Beliau berkata Dr Mahathir bertanggungjawab untuk memaklumkan kepada umum mengenai penyingkiran Anwar.

"Pada penghakiman saya, berdasarkan fakta yang tidak dapat dipertikaikan di hadapan beliau, berdasarkan kejadian yang berlaku sebelum defendan menuturkan perkataan itu, dan gesaan yang dibuat terhadap defendan bagi membuat penjelasan mengenai penyingkiran plaintif sebagai timbalan perdana menteri dan timbalan presiden Umno, defendan, sebagai perdana menteri bertanggungjawab mendedahkan maklumat mengenai bekas timbalannya," katanya.

Beliau berkata prosiding jenayah berhubung Munawar dan Sukma juga jelas mengenal pasti Anwar sebagai pasangan aktifnya dan bahan berita berhubung prosiding itu, yang disiarkan oleh semua akhbar yang diedarkan di negara ini, tidak dinafikan meningkatkan minat orang ramai, termasuk para wartawan yang mahu bertanya kepada Dr Mahathir mengenai berita itu yang tidak dapat dinafikan menarik minat negara.

Beliau berkata perkataan yang dituturkan itu adalah sebagai jawapan kepada soalan yang ditanya kepada perdana menteri.

Nathan juga menyatakan bahawa defendan, sebagai perdana menteri dan presiden Umno, bersedia dan terpaksa menjawab serangan Anwar terhadap kerajaan, diri beliau sendiri dan Umno, mengenai "konspirasi politik peringkat tertinggi".

Katanya Dr Mahathir menuturkan perkataan itu untuk menyangkal tuduhan yang dibuat Anwar dan bahawa ia adalah "bona fide" (secara jujur) dan relevan dengan tuduhan yang dibuat oleh Anwar.

Nathan menegaskan bahawa defendan menuturkan perkataan itu secara perlindungan bersyarat dan membabitkan kerajaan serta hal ehwal politik negara ini yang berkaitan dengan penyingkiran Anwar daripada kabinet dan Umno.

"Perkataan defendan itu, saya dapati, sebenarnya mengenai soalan terhadap kesesuaian plaintif memegang jawatan awam yang disandangnya sebelum itu dan pada pemikiran saya, perkara ini, oleh itu, jelas menjadi perkara yang menarik minat orang ramai," katanya.

Beliau berkata adalah jelas bahawa Dr Mahathir boleh menuturkan perkataan yang didakwa itu sebaik sahaja beliau dimaklumkan oleh polis tetapi beliau tidak berbuat demikian dan beliau hanya menuturkan perkataan yang didakwa itu berikutan pensabitan Munawar dan Sukma.

"Adalah penting bahawa "primus inter pares" negara ini dan anggota kabinetnya dilindungi daripada saman yang remeh, menyakitkan hati dan disalahguna itu.

"Jika tidak, daripada mentadbirkan negara ke arah mencapai keamanan dan kemakmuran bagi rakyatnya, para pegawai kerajaan akan sentiasa dibayangi rasa takut dihadapkan ke mahkamah bagi saman yang tidak sepatutnya tetapi diperbesar-besarkan," katanya.

Dr Mahathir diwakili Datuk Mohamed Adnan Shuaib, Cecil Abraham dan N. Chandran manakala Anwar diwakili Karpal Singh.

Karpal Singh, semasa ditemui kemudiannya berkata Anwar akan merayu terhadap keputusan itu. -- BERNAMA


Last changed: August 30, 1999