[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Letter from Prof Jomo to Utusan

Date: 31 Aug 1999
Time: 19:56:04
Remote User: -

Comments

Letter from Prof Jomo to Utusan:

Kpd, Pengarang, Utusan Malaysia

Pandangan Diputarbelitkan Secara Tidak Jujur Sekali lagi, akhbar UMNO/BN cuba memutarbelitkan apa yang dikatakan saya demi tujuan propaganda (Mingguan Malaysia, 29 Ogos 1999). Rakyat Malaysia mesti berwaspada terhadap semua berita yang disiarkan dalam media cetak ataupun media siaran di bawah kuasanya. Menurut laporan itu, kononnya, saya memuji Mahathir kerana menentang IMF. Memang tidak boleh dinafikan bahawa saya telah lama menentang syarat yang dikenakan IMF, tetapi saya juga telah menentang dasar kewangan kerajaan Mahathir, yang telah membawa kepada krisis rantau ini.

Saya setuju bahawa langkah kawalan modal perlu dipertimbangkan, malah patut diperkenalkan sebelum krisis bermula untuk melindungi ekonomi kita, tetapi kawalan modal di Malaysia diperkenalkan 14 bulan setelah krisis itu bermula. Sudah tentu, kesannya berlainan sekali. Tetapi persoalan yang pokok ialah tujuan kawalan modal itu, misalnya sama ada untuk melindungi atau memulihkan ekonomi. Langkah pemulihan di Malaysia lebih bertujuan menyelamatkan, malah memperkuatkan segelintir kuncu pemimpin utama, bukan rakyat jelata, yang menghadapi nasib seumpama 'sudah jatuh, ditimpa tangga'.

Jenis kawalan modal yang sesuai bagi Malaysia sepatutnya merupakan suatu sistem tetap (sehingga aliran modal antarabangsa dikawal dengan cara lain), tetapi fleksibel dan berdasarkan pasaran - bukan seperti apa yang diperkenalkan pada 1 September 1998 ataupun dipinda pada Februari 1999. Namun, saya setuju dengan kesan penetapan nilai ringgit, walaupun sebenarnya, kesan kadar pertukaran tetapnya tidak disengajakan, malah songsang dari segi tujuan asalnya kerana nilai matawang lain di rantau ini semua bertambah lebih kuat daripada nilai ringgit beberapa minggu setelah nilai ringgit ditetapkan. Penetapan nilai ringgit pada waktu itu membantu pengimport yang ingin membuat rancangan, dan akhirnya, telah meningkatkan eksport murah kita dan mengurangkan import mahal dari luar, yang telah membaiki imbangan perdagangan kita, dan membolehkan Malaysia lebih mampu menghadapi aliran modal keluar mulai 1hb September nanti.

Oleh kerana sistem kewangan kita telah dikawal dengan lebih rapi (oleh Anwar dan Ahmad Don) dibanding dengan ekonomi lain yang dilanda krisis di rantau ini, tiada sebabnya Malaysia terpaksa meminta bantuan IMF dan menerima syaratnya - seperti terpaksa dilakukan oleh kerajaan Thai, Korea Selatan dan Indonesia. Selain daripada beberapa suara sumbang yang tidak memahami keadaan sebenar, tiada siapa di Malaysia, termasuk Anwar, yang mahu melaksanakan dasar IMF di Malaysia.

Oleh demikian, saya menentang tuduhan palsu terhadap Anwar oleh Mahathir serta kuncunya. Malah, Profesor Krugman, yang kononnya membela dasar kawalan modal kerajaan, telah meminta supaya kawalan itu dibubarkan, dan telah memuji dasar yang pernah dilaksanakan Anwar. Krugman hairan tiada sesiapa di Malaysia yang mempersoalkan dasar kerajaan; katanya, tanpa demokrasi dan kebebasan, tiada perbahasan, idea tidak berkembang dan dasar ekonomi salah tidak dapat dibaiki.

Malah, menurutnya, kezaliman Mahathir terhadap Anwar Ibrahim juga menyebabkan dunia luar kurang yakin terhadap kerajaan Malaysia. Sekarang, ekonomi Malaysia merupakan ekonomi terakhir, di antara ekonomi Asia Timur yang dilanda krisis, yang baru mula pulih pada suku tahun kedua tahun 1999. Ekonomi lain (Korea Selatan, Filipina, Indonesia dan Negeri Thai) semua telah mula pulih pada suku tahun pertama 1999. Malah, pada suku kedua pula, Korea Selatan tumbuh 9%, Singapura 6.7% dan Negeri Thai 6%, dibanding dengan Malaysia 4.1%.

Pemulihan yang agak lambat ini cukup membimbangkan kerana keadaan ekonomi dan sistem kewangan kita sebelum krisis jauh lebih baik dibanding dengan ekonomi jiran, dan oleh itu, kesan krisis terhadap kita kurang besar kalau dibanding dengan mereka. Oleh itu, kelambatan pemulihan ekonomi kita cukup merisaukan. Angka pemulihan pada suku kedua 1999 yang baru diumumkan mencerminkan pertumbuhan dibanding dengan suku kedua tahun 1998 ketika ekonomi Malaysia merosot sebanyak -6.8%. Malah, pada bulan Jun 1999, ekonomi telah kecut sedikit dibanding dengan bulan Mei 1999! Itulah sebabnya Mahathir dan Daim masih mengakui kadar pertumbuhan tahun 1999 barangkali masih pada paras yang rendah.

Tiada banyak bukti bahawa pemulihan yang berlaku itu disebabkan dasar ekonomi Mahathir, Daim atau MTEN. Dari tiga sektor yang banyak pulih, pertumbuhan elektronik dan minyak kelapa sawit tidak disebabkan oleh dasar ekonomi mereka, sedangkan kenaikan penjualan kereta disebabkan oleh permintaan terpendam yang terpaksa ditangguhkan, yang digalakkan oleh kredit yang mudah diperolehi dengan kadar bunga rendah. Kalau begini, sejauh manakah pertumbuhan mampan dapat dikekalkan?

Prof. Jomo K. S. Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Univerisiti Malaya 29 Ogos 1999


Last changed: August 31, 1999