[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

25 Tahun Tapi Kedua Tercorot

Date: 31 Aug 1999
Time: 20:03:35
Remote User: -

Comments

Ulasan

Nampaknya Wan Mokhtar telah 25 tahun tadbir Terengganu. Pada tahun ini Terengganu duduk nombor dua tercorot walaupun di bawah BN dan punyai sumber alam yang banyak. Mengapa jadi begini? Tak lain tak bukan adalah kegagalan Wan Mokhtar memerintah.

Itulah kebenaran.

Kita melihat ini sebagai satu tanda beliau tidak akan bertanding dalam pilihanraya akan datang.

Selepas pencen beliau akan jadi ahli panel Forum Perdana RTM setiap minggu.

============================================================================================================================== 25 TAHUN MEMBANGUN BERSAMA TERENGGANU

Oleh Sharin Sahad

KUALA TERENGGANU, 31 Ogos (Bernama) -- Selama 25 tahun, berbekalkan pengalaman sebagai guru dan kelayakan sarjana dalam bidang agama, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad berjaya mencorakkan pentadbiran Terengganu dengan bancuhan pembangunan rohani dan jasmani di negeri yang kaya dengan hasil bumi ini.

Menjadi antara Menteri Besar yang paling muda dan kini paling lama di negara ini, Wan Mokhtar tidak mensia-siakan masa, menukar Terengganu daripada sebuah negeri yang mundur dan miskin kepada negeri yang kini membangun dengan kadar kemiskinan diturunkan dari tahap 68 peratus dalam dekad 70-an kepada antara 12 dan 10 peratus sekarang.

"Proses membangunkan Terengganu masih berjalan dan kini memasuki fasa kedua sehingga tahun 2010 dan saya bertekad untuk memastikan matlamat menjadikan Terengganu sebagai sebuah negeri yang maju tercapai," katanya dalam satu temubual di sini.

Beliau berkata dengan adanya Lebuhraya Pantai Timur dan Simpang Pulai-Kuala Berang serta cadangan menjadikan Lapangan Terbang Sultan Mahmud sebagai lapangan terbang antarabangsa, ia mampu menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negeri pada masa hadapan.

"Bagaimanapun, segala perubahan itu tidak akan dicapai tanpa kerjasama dan sokongan padu rakyat negeri Terengganu sendiri dan untuk itu saya berterima kasih kepada mereka yang sama-sama menjayakan pembangunan negeri ini," katanya.

Era pemerintahannya sebagai Menteri Besar bermula pada 1 Sept 1974, selepas memenangi pilihan raya keempat bagi kawasan Dewan Undangan Negeri Chukai, di Kemaman.

Di tangan Wan Mokhtar, Terengganu tidak lagi dipeluk sepi daripada deru ombak Laut China Selatan dan sebagai arkitek negeri Terengganu, beliau menukar wajah Darul Iman dengan pembangunan ekonomi dan kemajuan politik serta sosial.

"Limpahan pembangunan Terengganu akan diseimbangkan di seluruh negeri untuk dinikmati oleh semua rakyat di samping usaha membangunkan jatidiri insan dalam menghadapi cabaran di masa hadapan," katanya.

Setelah suku abad pemerintahannya, hasil perancangan itu jelas kelihatan dan Terengganu yang mempunyai pantai serta pulau yang cantik kini bukan sahaja menjadi tumpuan pelancong, tetapi pelabur dari dalam dan luar negara.

Bagaimanapun, dengan asas pendidikan agamanya, beliau sentiasa memastikan pembangunan material Terengganu berjalan selaras dengan pembangunan ke arah menegakkan syiar dan akidah Islam di kalangan rakyat.

Wan Mokhtar berpegang pada prisip untuk melahirkan sebuah negeri yang cemerlang dan beriman, rakyatnya perlu dididik dari segi jasmani dan rohani dan lahirlah konsep Wawasan SIHAT, cetusan idea Wan Mokhtar pada tahun 1994 yang menitikberatkan hubungan antara manusia dengan alam, manusia dengan manusia dan manusia dengan penciptanya.

Hasrat itu terangkum di dalam makna SIHAT itu sendiri - S membawa erti Sihat fizikal, spiritual, mental dan alam sekitar; I dan H - Ilmu yang diHayati; A - Akhlak yang mulia dan T - Takwa kepada Allah.

Wan Mokhtar, 66, menjadi Menteri Besar Terengganu ke-10, menggantikan Datuk Haji Nik Hassan Abdul Rahman semasa berusia 41 tahun dan pada ketika itu antara menteri besar paling muda.

Wan Mokhtar mendapat pendidikan hingga peringkat sarjana di Universiti Al-Azhar, Mesir dan pernah menjadi kerani am dan guru di Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu.

Pada awal pelantikannya, ramai sangsi tentang kebolehan seorang tokoh agama menguruskan sebuah negeri yang pada ketika itu berada pada tahap kemiskinan yang tinggi.

Beliau menganggap jawatan itu sebagai amanah Allah kepadanya dan dijalankan dengan penuh tanggungjawab dan bijaksana.

Tanggungjawab dan disiplin yang tinggi itu, akhirnya membuahkan hasil apabila Terengganu sepanjang tempoh 1987 hingga Jun 1996, dari segi pelaburannya menduduki tangga kedua selepas Selangor dengan cadangan modal pelaburan sebanyak RM29,684.0 juta iaitu 15.9 peratus daripada jumlah cadangan modal yang diluluskan di seluruh negara.

"Mungkin orang mengatakan, Wan Mokhtar bernasib baik kerana dalam era pentadbirannya itu dijumpai emas hitam dari laut yang memberikan banyak keuntungan kepadanya," kata seorang pemerhati politik.

Bagaimanapun, jika emas hitam itu tidak diurus dengan baik dan penuh tanggungjawab mungkin keuntungan itu hanya dikecapi untuk sementara waktu, katanyaa.

Wan Mokhtar berkata walaupun ramai pengkritik mempersoalkan ke mana wang royalti minyak itu kerana tidak ada bangunan tinggi di Kuala Terengganu, mereka perlu sedar pembangunan kerajaan negeri meliputi keseluruhannya.

Beliau bertanggungjawab merangka program pembangunan 30 tahun yang dikenali sebagai Fasa Pembangunan Terengganu I dan II dalam tempoh 30 tahun untuk dilaksanakan bermula tahun 1980.

Lantaran itu, tidak dapat dinafikan jika berkunjung ke `Negeri Cantik, Budaya Menarik' ini, pengunjung pasti menikmati pelbagai kemudahan dan keindahan terutama kemudahan jalan rayanya yang merupakan antara yang terbaik di negara ini.

Tidak kira jika berada di Kampung Kemat, Hulu Terengganu atau di Kampung Padang Luas, Besut, atau di Kampung Padang Air Putih, Kemaman, semua jalan rayanya berturap dengan tar.

Wan Mokhtar berkata Fasa Pembangunan Terengganu I (1980-1995) dirangka untuk membangunkan kawasan-kawasan luar bandar termasuk pelbagai kemudahan asas seperti bekalan air dan elektrik, klinik kerajaan, sekolah, telefon, balai raya dan masjid sebagai asas kepada kemajuan.

Sesuai dengan peribadinya yang dilihat sebagai seorang yang berpegang kuat pada agama, Wan Mokhtar memberi perhatian khusus dalam pendidikan agama dan ia jelas dapat dilihat daripada peningkatan peruntukan mengurus sekolah agama dari RM9.6 juta pada tahun 1981 kepada RM45.3 juta pada tahun 1997.

Penubuhan Maahad Tahfiz Terengganu, Kolej Sains Pendidikan Islam Negeri Terengganu (Kospint), Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (Kusza) serta Yayasan Islam Terengganu menunjukkan usaha kerajaan membantu melahirkan lebih ramai lagi cerdik pandai dalam bidang agama.

Dalam menghadapi kemajuan sains dan teknologi dan sebagai persediaan untuk memasuki alaf baru, Wan Mokhtar kini memberikan tumpuan khas dalam bidang IT bagi melahirkan masyarakat yang celik komputer di Terengganu.

Antaranya, mewujudkan pusat-pusat hypermedia di setiap daerah, program subsidi satu bagi setiap komputer di sekolah-sekolah, Terengganu-Net, sistem pentadbiran elektronik dan sebagainya.

Selain itu, rakyat Terengganu juga mengalami perubahan dalam pembangunan ekonomi negeri yang dulunya berasaskan pertanian dan perikanan semata-mata, kini mula bergerak ke arah perindustrian dengan kawasan-kawasan perindustrian bercambah pesat terutama di Kertih, Paka, Teluk Kalong, Marang, Batu Rakit dan Besut.

Wan Mokhtar yang terlibat secara langsung dalam membangunkan pelancongan negeri Terengganu sentiasa memastikan keindahan alam semula jadi yang merupakah aset penting industri pelancongan, tidak tercemar dan digugat dengan pembangunan yang berlebihan.

Kini, Terengganu memasuki Fasa Pembangunan Terengganu II (1996-2010) yang mengutamakan kepada hala tuju negeri, pembangunan insan dan pengisian daripada fasa pertama.

"Kita telah letakkan asas iaitu pendidikan kepada semua masyarakat dan terpulang kepada mereka untuk menentukan hala tuju masing-masing... setelah kerajaan memberikan banyak kemudahan kepada mereka kerana untuk mengubah nasib mereka, ia bertitik-tolak poda diri manusia itu sendiri (untuk berubah)," katanya.

-- BERNAMA


Last changed: August 31, 1999