[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]
Date: 31 Aug 1999
Time: 20:07:12
Remote User: -
NIK AZIZ AKAN BERI PENJELASAN KEPADA SULTAN
KOTA BAHARU, 31 Ogos (Bernama) -- Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akan menghadap Sultan Kelantan untuk menjelaskan mengenai kenyataan Setiausaha Akhbarnya Wan Ismail Wan Jusoh yang mendakwa rakyat negeri itu tidak lagi mempedulikan sultan.
Beliau berkata, adalah menjadi tanggungjawabnya untuk menjernihkan keadaan walaupun sultan tidak memanggilnya supaya memberikan penjelasan berhubung dakwaan itu.
"Tuanku kini berangkat ke Eropah, sama ada tuanku akan tanya saya atau tidak, saya bertanggungjawab menjernihkan keadaan, saya akan beri penjelasan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan Hari Kebangsaan ke-42 peringkat negeri di sini, hari ini.
Wan Ismail ketika berceramah di Arau, Perlis malam Sabtu lepas, mendakwa rakyat Kelantan tidak lagi memperdulikan Sultannya malah jika bertanding menentang Nik Abdul Aziz pada pilihan raya umum akan datang, raja pun akan kalah.
Nik Abdul Aziz, yang juga Mursyid Am Pas, berkata beliau merasa dukacita dengan apa yang berlaku. Beliau berkata, apa yang didakwa oleh Wan Ismail itu bukan kenyataan dari Pas kerana parti berkenaan bukan bersikap sedemikian.
"Itu masalah peribadi, ia adalah perasaan peribadi dia (Wan Ismail), Pas bukan bersikap seperti itu," katanya.
Beliau menyifatkan dakwaan berkenaan sebagai cerita luar biasa dan akan meminta setiausaha akhbarnya memberikan penjelasan terperinci berhubung perkara itu.
-- BERNAMA