[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Azmi Mesti Berlaku Adil

Date: 31 Aug 1999
Time: 20:10:46
Remote User: -

Comments

Ulasan

Kita harap Azmi berlaku adil kerana ada di antara para pemimpin UMNO/BN yang melampaui batas. Al Kataki contohnya telah memaki hamun hadirin dalam beberapa majlis.

Seperkara lagi kerajaan mesti memastikan bahawa peristiwa-peristiwa itu benar-benar tindak-tanduk ahli parti-parti alternatif.

============================================================================================================================== K'JAAN SEDANG AWASI KEGIATAN PARTI PEMBANGKANG

KUALA LUMPUR, 31 Ogos (Bernama) -- Kerajaan sedang mengawasi pergerakan parti pembangkang bagi memastikan mereka tidak bertindak melampaui batas undang-undang dalam usaha mereka mencari pengaruh menjelang pilihan raya akan datang.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Azmi Khalid berkata polis tidak akan teragak-agak untuk bertindak sekiranya mendapati mereka cuba menyebarkan unsur-unsur menghasut yang menggugat ketenteraman awam.

"Kita jangka mereka akan buat apa saja untuk kepentingan politik, tetapi kita nasihati mereka jangan melampau...jangan melanggar batas," katanya ketika ditemui pemberita selepas perbarisan dan perarakan Hari Kebangsaan di sini hari ini.

Katanya buat masa ini kerajaan hanya mengikuti perkembangan pihak yang terlibat dan masih belum bercadang untuk mengambil sebarang tindakan. Azmi berkata demikian ketika mengulas laporan berhubung tindakan Pas menggunakan penceramah bukan Islam dalam ceramah yang mereka anjurkan untuk menuduh Umno sebagai bukan parti Islam.

Beliau berkata kerajaan juga sedar mengenai kewujudan sesetengah pihak yang sengaja cuba membangkitkan huru-hara agar mereka ditangkap bagi membangkitkan kemarahan rakyat.

"Ada juga golongan ini yang sengaja berbuat demikian supaya mereka ditangkap, supaya mereka jadi mata, supaya rakyat lebih memarahi kerajaan...ini juga kita ketahui, jadi kita sedang menimbang dan meninjau," katanya.

Ketika diminta mengulas mengenai tindakan kerajaan terhadap kenyataan Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kelantan Wan Ismail Wan Jusoh yang mendakwa Sultan Kelantan tidak lagi berpengaruh di kalangan rakyat, Azmi berkata ia adalah satu isu politik dan belum boleh dianggap sebagai menghasut.

"Unsur hasutan ada iaitu kita tidak boleh mempersoalkan kedudukan raja-raja...dalam kes ini ia adalah satu isu politik jadi pada setakat ini tidak nampak lagi bahawa dia terlalu keterlaluan hingga memerlukan kita mengambil tindakan di bawah akta berkenaan (Akta Hasutan)," katanya.

Dalam kenyataan itu antara lain Wan Ismail mendakwa rakyat Kelantan sudah tidak mempedulikan keluarga raja dan sekiranya Sultan Kelantan sendiri yang bertanding dalam pilihan raya menentang Menteri Besar Datuk Nik Aziz Nik Mat, Sultan akan kalah. -- BERNAMA


Last changed: August 31, 1999