[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Batu Nisan Mahathirisma Dirasmikan

Date: 31 Aug 1999
Time: 20:18:21
Remote User: -

Comments

MENARA KEMBAR PETRONAS SIMBOL CITA-CITA TINGGI NEGARA, KATA MAHATHIR

KUALA LUMPUR, 31 Ogos (Bernama) -- Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad berkata Menara Kembar Petronas menjadi simbol bagi cita-cita tinggi Malaysia untuk menjadi negara maju.

Perdana Menteri berkata bangunan 88 tingkat itu yang menggabungkan seni bina kaca dan besi juga menjadi simbol kemajuan negara.

Menara Kembar Petronas mendapat perhatian antarabangsa apabila menjadi satu daripada lokasi penggambaran bagi filem keluaran Hollywood "Entrapment" baru-baru ini yang dibintangi oleh Sean Connery dan Catherine Zeta Jones.

" Kami bukan sebuah negara besar ataupun negara paling kaya. Tetapi kami membina apa yang mampu, dan kami membina Menara Kembar Petronas kerana kami mampu," kata Dr Mahathir ketika merasmikan bangunan tertinggi di dunia itu di sini malam ini.

Perdana Menteri berkata Malaysia mampu membina menara itu, milik Petronas, seperti juga ia mampu membina Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) yang canggih, pusat pentadbiran baru Persekutuan di Putrajaya dan bandaraya bestari Cyberjaya.

" Projek-projek besar ini tidak menyebabkan kedudukan kewangan negara susut sehingga terpaksa meminta wang. Malaysia menyelesaikan masalah kewangannya berdasarkan kedudukan kewangannya sendiri," kata beliau dalam upacara yang diadakan di tengah-tengah pertunjukan cahaya dan bunyi yang menerangi angkasa sempena ulang tahun ke-42 Hari Kebangsaan.

Dr Mahathir juga berkata Menara Kembar Petronas dibina kerana "negara memerlukan sesuatu untuk mendongak ke atas".

" Sudah tentu kita perlu mendongak ke atas untuk melihat menara itu," kata beliau.

Dr Mahathir berkata sesetengah rakyat Malaysia mungkin tidak bersetuju dengan pandangannya mengenai menara itu tetapi berkata tanggapan berbeza antara seorang dan seorang yang lain.

Perdana Menteri berkata jika Malaysia menghadapi masalah ekonomi apabila keputusan untuk membina Menara itu dibuat beberapa tahun lalu, maka sudah tentu kita telah membuat keputusan tidak membina menara itu.

Ini kerana projek RM1.8 bilion itu tidak termasuk dalam projek yang diberi keuatamaan seperti projek infrastruktur, contohnya projek empangan hidro elektrik Bakun atau lapangan terbang antarabangsa yang baru.

Dalam pada itu, disebabkan nilai ringgit telah merosot, maka sudah tentu kos projek itu meningkat sekurang-kurangnya dua kali ganda dan jika demikian, maka lebih baik jika peruntukan itu diagihkan kepada industri Malaysia yang teruk terjejas akibat krisis ekonomi 1997.

Tetapi Menara itu dibian ebelum nilai ringgit turun dan dalam konteks nilai ringgit sekarang (RM3.80 = AS$1), kos yang terbabit ialah yang paling rendah.

" Kita tidak rugi apa-apa dengan membina menara itu. Sebenarnya, kita memiliki menara itu pada kos separuh dalam konteks nilai ringgit sekarang".

Dr Mahathir yakin bahawa lama kelamaan, kontroversi dan kritikan terhadap menara itu akan hilang dan rakyat akan memikirkan projek itu sebagai simbol kemajuan Malaysia.

Dr Mahathir juga menyifatkan upacara perasmian malam ini sebagai "permulaan bagi usaha futuristik" Malaysia dengan menara itu sebagai simbol.

Dr Mahathir berkata Menara Petronas itu adalah bangunan yang amat canggih dan pembinaannya memerlukan kepakaran yang terkini.

Walaupun kontraktor terdiri daripada orang asing, pengurusan dan integrasi berpuluh kontrak and spesifikasi dibuat oleh rakyat Malaysia.

Banyak pengalaman telah diperolehi oleh rakyat tempatan daripada pengurusan pembinaan menara kembar yang canggih dan kompleks itu dan pengalaman itu tetap akan menambahkan pengetahuan dan kepakaran rakyat Malaysia.

Menara kembar itu dibina di kawasan Kuala Lumpur City Centre (KLCC) yang dahulunya padang lumba kuda yang bernilai tinggi iaitu tidak kurang daripada RM1,000 sekaki persegi.

Menurut perdana menteri, biasanya tuan punya tanah yang bernilai begitu tinggi akan cuba membangunkan keseluruhan tanah dengan padat tetapi tidak dengan Petronas.

Tetapi sebaliknya, Petronas memperuntukkan 50 peratus daripada tanahnya yang mahal nilainya itu untuk taman rekreasi bagi puluhan ribu warga kota dan rakyat Malaysia yang menggunakan setiap hari dengan senang hati satu kemudahan riadah yang disediakan dengan belanja yang amat besar oleh Petronas.

"Taman ini adalah sumbangan Petronas secara langsung kepada rakyat negara ini. Jika dibangunkan bangunan yang rendah sudah tentu seluruh tanah akan digunakan untuk bangunan supaya pulangan yang setimpal didapati daripada tanah mahal harganya ini".

Beliau menjelaskan bahawa dengan membangunkan menara yang tinggi, ruang pejabat menjadi cukup luas untuk mendapat pulangan daripada harga tanah yang mahal.

Lagipun, bangunan yang berprestij itu dapat menarik penyewa yang berkualiti dan berkemampuan untuk sewaan yang agak tinggi.

Mengenai Petronas sendiri, Perdana Menteri berkata sungguhpun Malaysia bukan sebuah negara pengeluar petroleum yang besar tetapi ia telah berjaya menubuhkan syarikat minyak itu yang kini sudah diiktiraf sebagai satu daripada 500 syarikat terbesar di dunia.

Perdana Menteri berkata: " Adakalanya Petronas menjadi syarikat yang teruntung sekali di dunia. Negara dan rakyat berbangga dengan kecapaian Petronas, satu lagi contoh kebolehan Malaysia".

Dr Mahathir berkata negara dan rakyat banyak mendapat faedah daripada kejayaan Petronas dan sumbangan syarikat itu kepada kewangan kerajaan adalah besar.

Di samping itu, Petronas juga memberi pekerjaan kepada beribu rakyat Malaysia dan membantu nmeningkatkan kecekapan rakyat dalam bidang pengurusan dan kejuruteraan tinggi.

Hari ini, Petronas aktif di merata tempat di dunia dalam aktiviti yang bukan sahaja menyumbang kepada pendapatannya tetapi juga menjamin bekalan minyak bagi negara apabila sumber dalam negeri sudah berkurangan.

Perdana Menteri mengucapkan syabas dan tahniah kepada Petronas dan semua pihak kerana sumbangan mereka dari segi keringat, dedikasi dan pengorbanan dalam sama-sama menjayakan pembinaan Menara Kembar itu. -- BERNAMA


Last changed: August 31, 1999